MEMPERJUANGKAN kesejahteraan rakyat bukanlah sesuatu yang mudah tetapi demi memastikan masyarakat hidup secara harmoni, SENATOR DATUK RAZALI IDRIS tidak mengenal penat dan lelah.
Beliau yang merupakan Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berazam untuk terus menyuarakan hak rakyat agar sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dalam satu temu bual menerusi panggilan video, Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu berharap orang ramai tidak lagi memandang Dewan Negara sebagai rubber stamp, sebaliknya menjadi institusi yang dipercayai dalam menyuara dan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan pemimpin negara, selain mengangkat institusi Parlimen terutama Dewan Negara.
UTUSAN: Boleh kongsikan peranan Datuk sebagai Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara?
RAZALI: Penubuhan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara termaktub dalam penyata khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara menurut Peraturan 71 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara di Parlimen. Kaukus ini sangat penting dalam memartabatkan institusi Parlimen. Dalam kerangka struktur Parlimen kita, di samping Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di kedudukan atas sebagai ketua serta sistem perundangan negara, maka dalam sistem demokrasi berparlimen, Dewan Negara adalah dewan tertinggi diikuti Dewan Rakyat.

Atas dasar memartabatkan fungsi Dewan Negara, antara langkah berani ialah penubuhan kaukus ini yang diberikan nafas baharu pada 15 Disember tahun lalu.
Saya berbesar hati kerana diberikan mandat dalam Dewan Negara kerana ia satu amanah yang sangat besar, satu tanggungjawab yang sangat berat serta memikul satu hala tuju yang baharu bagi memastikan imej dan reputasi Dewan Negara didengari selain memastikan tiada lagi stigma Dewan Negara sebagai rubber stamp. Itu tanggapan yang sudah lapuk.
Sejauh mana fungsi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara?
Ia berfungsi untuk meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh majlis termasuk apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau apa-apa dokumen lain yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat berdasarkan keadaan dan isu semasa.
Kaukus juga boleh menyediakan dan membentangkan sebuah penyata yang mengandungi syor-syor berkaitan dan penyata kaukus tersebut boleh dipertimbangkan untuk dibentang dalam Dewan dengan kebenaran Yang di-Pertua.
Adakah ini bermakna fungsinya sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam mengelakkan ketirisan dan salah tadbir urus?
Sama tetapi tidak serupa. Yang membezakannya ialah kaukus ini boleh menegur, meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya.
Selain itu, kaukus ini tidak melibatkan kewangan, audit dan akaun dalam sesuatu organisasi tetapi mempunyai kuasa seperti memanggil orang hadir di hadapannya atau diminta dikeluarkan surat-surat.
Kaukus mempunyai suara yang tegas, berani dan berpengaruh demi kesejahteraan rakyat, ekonomi dan negara.
Antara isu-isu yang disuarakan?
Banyak isu membabitkan kesejahteraan rakyat disuarakan oleh kaukus secara tegas. Cadangan, syor, gesaan dan desakan terarah perkara yang lebih baik, ditambah nilai serta diperbetulkan.
Suara kaukus ini tiada batasan kepada politik tertentu kerana kami adalah satu suara ahli-ahli Dewan Negara yang merentasi parti politik demi kesejahteraan rakyat.
Pada awal penubuhan, kami berhubung rapat dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam membicarakan hak asasi kemanusiaan yang menekankan pembentukan masyarakat yang bermoral, beretika, bertanggungjawab dan penyayang serta bertolak ansur.
Di samping itu, kaukus juga mendengar permasalahan peneroka serta meneliti perkara-perkara melibatkan urus tadbir dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV). Kaukus menerusi kenyataan-kenyataan akhbar juga bersuara dan menasihatkan Felda supaya mengambil kira kepentingan dan perlindungan peneroka dan warganya sepanjang proses pengambilalihan FGV. Dalam hal ini, kaukus mahu perkara ini diberikan jaminan kepada peneroka selaku pemegang saham FGV terarah kepada pelan pemulihan lebih mampan dan menguntungkan ekonomi negara selain warga Felda menerima manfaat sewajarnya.
Begitu juga dengan isu buku Sejarah tingkatan 4 yang dikatakan dimanipulasi. Kita juga akan memanggil kementerian, pakar sejarah dan sebagainya untuk mencari penyelesaian terbaik.
Adakah ini platform terbaik bagi menonjolkan peranan ahli Dewan Negara itu sendiri?
Kaukus adalah platform bagi mengikis pandangan umum bahawa Dewan Negara itu adalah rubber stamp. Sebenarnya imej itu sudah terpadam sejak sekian lama kerana pengalaman ahli Dewan Negara sekarang cukup kompeten dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing.
Ahli Dewan Negara sebagai ahli jawatankuasa kaukus ini begitu prihatin, sensitif, peka dan proaktif dalam isu-isu negara seperti kartel daging haram, memerangi Covid-19, memperluaskan konsep food bank dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) termasuk capaian internet.
Adakah Datuk setuju jika saya katakan peranan Senator dan Dewan Negara perlu diperluas kerana dilihat hanya berkhidmat untuk parti yang memerintah?
Masih ramai yang sangsi dan memandang rendah keupayaan ahli Dewan Negara. Sememangnya ini adalah agenda utama saya untuk membawa perubahan yang besar dalam Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.
Matlamat kaukus sangat jelas dan ia memberi signal bahawa fungsi kaukus mempunyai ketegasan, keberanian serta mampu membawa perubahan yang sangat besar.
Sebagai contoh, kaukus ini pernah menyuarakan ketegasan mengutuk segelintir rakyat yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik terutama dalam platform media sosial dengan sewenang-wenangnya menghina institusi diraja, Perdana Menteri dan keharmonian negara. Namun, disalahertikan kononnya kaukus ini hendak mempertahankan atau bersuara semata-mata bagi melindungi Perdana Menteri. Itu adalah satu tohmahan yang silap dan pendek akal. Kaukus mempertahankan institusi Perdana Menteri dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan begitu juga Perdana Menteri yang mendatang. Kita mempertahankan institusi (Perdana Menteri) itu sendiri dan bukannya individu. Jangan salah faham.
Kaukus adalah satu badan atau kumpulan kolektif ahli Dewan Negara yang dipilih yang berpandangan jauh dalam sesuatu isu serta tidak membawa apa-apa kepentingan atau individu tertentu. Semua perkara yang disuarakan demi kesejahteraan rakyat dan negara sahaja.
SENATOR MUDA
Apa perancangan semasa dan masa depan?
Kaukus sudah bergerak dengan menyuarakan pandangan dan ketegasan menerusi media massa serta gerak kerja secara dalaman yang berhubung dengan kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi isu-isu melibatkan kesejahteraan rakyat, kesihatan awam, sosioekonomi, perpaduan dan keselamatan negara.
Menerusi kaukus, saya juga menyasarkan pelaksanaan dan penubuhan Dewan Negara Muda sebagai satu platform baharu bagi mewujudkan senator muda yang berusia antara 18 hingga 30 tahun. Sama seperti Parlimen Belia Malaysia, cuma mekanismenya adalah sama dengan proses pelantikan dan prosiding Dewan Negara. Dalam hal ini, ada beberapa pindaan atau syarat disesuaikan bagi kehendak Dewan Negara Muda ini.
Yang penting, negara ini bakal mempunyai senator muda yang berinovasi dan berwawasan yang merentasi pemikiran politik jelik dan jumud. Kaukus juga akan bekerjasama rapat dengan GLC dan NGO bagi memperbanyakkan program yang menyantuni serta mendekati rakyat.
Pada masa sama, kaukus juga melaksanakan bengkel dan seminar secara maya. Kita akan libatkan pemikiran intelektual ahli Dewan Negara dengan rakyat, para akademik, golongan profesional, agamawan serta pemain industri dalam kepelbagaian isu dan bidang. Malahan, kaukus juga aktif dalam menyampaikan pandangan, aktiviti dan suara menerusi platform media sosial seperti Facebook.
Adakah ini bermakna peluang untuk Undi 18 akan segera dilaksanakan?
Kerajaan bersetuju untuk laksanakan Undi 18, namun terdapat sedikit salah faham mengenai perkara ini. Ia sudah pun diluluskan di Parlimen, namun terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan supaya tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.
Namun, saya rasakan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuat pada tahun ini, ia tidak sempat tetapi jika dilakukan pada penghujung 2023, maka saya percaya kita boleh lakukan. Ia melibatkan banyak proses seperti Jabatan Pendafataran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana itu memakan masa.
POLITIK SEMASA
Kerajaan hari ini didakwa gagal. Adakah Datuk melihat Muhyiddin mampu mengekalkan jawatan pada PRU-15?
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan telah melaksanakan sehabis baik demi keselamatan nyawa rakyat serta memulihkan ekonomi, merangsangkan semula ekonomi serta membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Covid-19.
Sehingga saat ini pun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus bekerja tanpa henti, tidak kenal penat lelah bersama-sama para petugas barisan hadapan tanpa mengeluh. Jadi, di mana yang dikatakan kerajaan itu gagal?
Yang saya rasa gagal ialah mereka yang suka kritik, komen secara terbuka tanpa memberi jalan penyelesaian, meraung dan provokasi dalam media sosial. Itu pihak yang gagal.
Saya yakin Muhyiddin tidak bimbang dengan kedudukan sekarang kerana beliau secara gentleman telah menyuarakan hasrat untuk memberi laluan pada PRU-15, bila tiba masanya.
Saya percaya, setiap kerja yang ikhlas akan memberi jawapan kepada rakyat. Kuasa penentu adalah rakyat. Rakyat berhak memilih siapa yang mereka rasakan layak. Jadi, mengapa perlu kita bimbang akan hal ini?
Kerajaan dilihat semakin goyah selepas UMNO memilih untuk mengundurkan diri daripada PN. Mampukah PN bergerak tanpa sokongan parti itu?
Kerajaan mula goyah ketika pertengahan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga menyaksikan peralihan kuasa kepada PN. Yang dikatakan UMNO memilih untuk mengundur diri, mungkin ada tindakan individu tertentu tetapi dalam kerajaan PN itu sendiri ada menteri-menteri UMNO, timbalan menteri UMNO. Maka kerajaan terus menjalankan kuasa eksekutif demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Masa dan rakyat akan menentukan sejauh manakah kemampuan kerajaan PN, tetapi sehingga sekarang rakyat dilihat terus memberi sokongan kepada kerajaan.











