Tidak wajar kosong walau sehari... - Utusan Malaysia

Tidak wajar kosong walau sehari…

Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menyediakan latihan dan seminar yang mengongsikan pengalaman berbeza pelbagai peringkat dan situasi kepimpinan. – FACEBOOK AKEPT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 benar-benar menguji nilai dan daya kepemimpinan, seterusnya mampu menyerlahkan sifat sebenar seseorang pemimpin. Gambaran realiti kepimpinan ini lebih jelas lagi akan terlihat dalam kalangan pemimpin politik dan institusi pendidikan seperti universiti. Lebih menariknya dalam mengharungi pandemik ini, krisis yang berlaku boleh dijadikan proses saringan amat berkesan kerana ia akan memperlihatkan kualiti sebenar seorang pemimpin, sama ada sememangnya layak atau jawatan tersebut disandang kerana percaturan politik atau faktor-faktor lain.

Pandemik membuktikan kebenaran kata-kata bahawa ujian sebenar seorang pemimpin apabila mereka berhadapan krisis. Bagaimana reaksi dan tindak tanduk mereka ketika krisis inilah yang akan memperlihatkan seterusnya menentukan mereka ini pemimpin sebenar atau pemimpin jadi-jadian. Andainya mereka terbukti gagal menonjolkan nilai kepimpinan yang diharapkan semasa mereka dipilih, lebih baik berundur dan beri ruang kepada orang lain untuk menerajui.

Dalam konteks kepimpinan universiti, pandemik ini memberikan dampak yang amat besar kerana ia ‘melumpuhkan’ rutin biasa sesebuah universiti kalaupun tidak mengubah pelbagai aspek. Perubahan ini selanjutnya benar-benar meruntun pemimpin universiti yang ‘bukan biasa-biasa’, melampaui kelayakan akademik walau setinggi mana pun. Pandemik ini memaksa universiti untuk reset dan memerlukan pemimpin yang mampu mengolah dan membina hala tuju baharu. Kemampuan ini tidak akan didapati melalui mana-mana buku melainkan gabungan nilai, keberanian dan kemampuan berfikir di luar kotak yang tidak boleh dikuasai dengan segera. Ia perlu melalui proses persediaan kepimpinan yang mungkin makan tahun, kalau tidak bulan.

Namun begitu, proses membina kepimpinan sebeginilah yang diperlukan dan ia boleh dilakukan melalui latihan atau seminar yang mengongsikan pengalaman berbeza pelbagai peringkat dan situasi kepimpinan seperti mana yang dibuat oleh pelbagai institusi latihan seperti Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang sememangnya mengkhusus dalam latihan sebegini.

Demi untuk memperlihatkan dengan lebih kukuh lagi proses pemilihan dan pembentukan pemimpin universiti, suatu yang sangat serius dan perlu berstruktur serta bebas daripada campur tangan politik – perlu ada satu sistem di peringkat nasional yang mengenal pasti bakat calon-calon. Mereka perlu diprofilkan secara profesional supaya kekuatan dan kekurangan mereka boleh dikenal pasti seterusnya dikembangkan dan diasah lagi supaya apabila menjadi pemimpin nombor satu universiti, mereka sudah mempunyai kualiti yang diperlukan dan terus hit the ground and run dengan lajunya.

Bukannya baru mahu belajar pelbagai perkara kerana sebelum ini mereka tidak pernah memegang jawatan besar atau hanya sibuk mengejar gelaran profesor penuh.

Malah lebih parah lagi kalau semasa memegang jawatan ini, mereka membuat pelbagai kesilapan atau takut-takut bertindak kerana tiada keyakinan dan pengalaman cukup. Yang dipimpin ini adalah sebuah universiti – institusi yang paling bijak. Seandainya cara pemimpin ini menangani krisis sama seperti institusi lain, maka ada sesuatu tidak kena. Atau mereka lebih sesuai menjadi pengurus atau pengikut cemerlang. Sebaik sahaja menduduki tampuk utama universiti, ia bukan masa untuk baru belajar ilmu pengurusan dan asas kepimpinan. Ia masa untuk terus membawa perubahan dan menyumbang kepada dunia, bukan sekadar menjalankan kerja-kerja rutin seharian seperti sebuah kilang tambahan dalam musim pandemik yang penuh cabaran.

Pandemik ini jelas memerlukan pemimpin universiti yang mampu berfikir di luar kotak selaras era norma baharu. Kalau pemimpin universiti pun masih lagi berpegang kepada norma lama kerana begitulah acuan mereka sebelum ini, maka amat sukarlah untuk kita melepasi pandemik. Setiap pemimpin universiti perlu memastikan proses libat sama dan pemerkasaan komuniti adalah sebahagian indeks petunjuk prestasi (KPI) rasmi universiti. Tidak cukup ia sekadar aktiviti hujung minggu persatuan-persatuan pelajar atau sebagai aktiviti sukarela bagi ahli akademik atau pentadbir.

Senario dan landskap pendidikan tinggi sekarang sudah jauh berbeza dan ditambah pula dengan keadaan kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA) yang semakin menguasai suasana, maka proses pencarian dan penyediaan perlu melalui perubahan drastik bagi melahirkan pemimpin universiti yang mempunyai kompetensi baharu – VUCA-proof.

Begitu juga kepimpinan bidang lain, ramai yang masih muda tetapi jauh lebih menyerlah. Meletakkan pemimpin yang sudah menghampiri hujung perkhidmatan walaupun mungkin banyak pengalaman, tetapi untuk membawa agenda universiti memerlukan semangat, tenaga dan jiwa berkobar-kobar bagi melihat dan membawa perubahan.

Antara syarat-syarat tetapi dilihat paling kritikal walaupun tidak ternyata secara jelas adalah restu politik daripada kepimpinan semasa. Suatu ketika, ada beberapa pelantikan dipersoalkan kerana dilihat tidak menepati kriteria. Namun, kerana mendapat restu politik, mereka terlantik walaupun tiada dalam senarai potensi pemimpin yang sudah diprofil dan melalui proses pembinaan kapasiti.

Dengan sebegini peri pentingnya kepimpinan nombor satu di universiti, adalah tidak wajar untuk membiarkan ia kosong walaupun untuk sehari. Ini kerana akhirnya ia memperlihatkan bagaimana persediaan dan keseriusan yang diberikan terhadap jawatan tersebut terutama dari aspek pelan penggantian. Jawatan tertinggi di dalam mana-mana organisasi pun memerlukan persediaan yang sangat kritikal. Kalau penyandang hanya mendapat kepastian penamatan tempoh, sebulan sebelum tarikhnya maka penggantinya pun akan dimaklumkan dalam tempoh singkat yang sama, bagaimana mereka mahu merancang sebaiknya?

Jelas sekali proses pemilihan dan penamaan pemimpin universiti-universiti awam perlu dilaksanakan berteraskan norma baharu.

Pemimpin-pemimpin universiti juga memerlukan ‘vaksin’ tersendiri. Vaksin ini adalah ujian-ujian kepimpinan dan pengurusan sebelum meletakkan mereka di barisan paling hadapan sesebuah universiti. Seperti juga vaksin, ia tidak menjamin sepenuhnya daripada dijangkiti Covid-19, tetapi paling tidak apabila universiti ini dipimpin oleh mereka yang telah divaksin, tidaklah terlalu parah akibatnya demi menjaga tingginya nilai, makna dan misi sebuah institusi pendidikan tinggi. Zaman ini universiti bukan lagi menara gading, terpisah daripada masyarakat tetapi universiti dan komuniti adalah sebuah universiti – komuniversiti.

Profesor Madya Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian & Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×