Terima kasih, Allah sahaja dapat balas - Utusan Malaysia

Terima kasih, Allah sahaja dapat balas

Isteri penulis yang dikuarantin di rumah dan dua anaknya yang dijaga keperluan mereka oleh sanak saudara serta jiran, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang dikongsikan ini hanya satu daripada ribuan tulisan tentang Covid-19 – musuh senyap membawa virus maut yang sedia menyerang bila-bila masa khususnya ketika manusia alpa.

Pengalaman berdepan serangan ‘halimunan’ ini memberi peluang kepada saya melihat gambaran dari sudut lebih jelas dan nyata apa dikatakan tentang perjuangan menentang koronavirus.

Bukan cerita pengorbanan besar petugas barisan hadapan atau kisah getir pesakit, saya mahu menyentuh kehadiran orang sekeliling yang secara diam memainkan peranan penting membantu mangsa atau individu berisiko mengharungi detik-detik sukar melawan Covid-19.

Semuanya berlaku dengan pantas. Sebaik sahaja gelang pink dililitkan di tangan, pergerakan pemakainya terbatas. Mereka tidak lagi boleh keluar ke mana-mana, perlu dikuarantin sehingga keputusan ujian calitan saringan diketahui.

Hakikatnya, fasa awal ini nampak biasa tetapi cukup kritikal untuk diharungi.

Bagi keluarga yang membuat persediaan mencukupi sebelum ke klinik berdekatan selepas dipanggil melakukan pengambilan sampel nasofarinks dan tekak (RT-PCR), mereka lebih mudah menguruskan tempoh kuarantin di rumah.

Namun, bagaimana dengan golongan yang tidak sempat berbuat demikian? Ramai yang tidak cukup masa kerana hanya menyedari mereka berisiko selepas mengalami simptom atau menjadi kontak rapat kepada pesakit. Tiba-tiba sahaja nama berada dalam senarai yang dipanggil melakukan RT-PCR dan dipakaikan gelang pink.

Situasi ini turut dialami seorang ibu kepada dua anak kecil. Tidak mahu bersikap pentingkan diri selepas menyedari mempunyai simptom, dia ke klinik berdekatan membuat saringan Covid-19.

Seterusnya, dia dipakaikan gelang pink dan perlu mengasingkan diri di dalam bilik kerana tidak mahu menjadi kontak rapat kepada dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun serta merisikokan mereka.

Cuma, bagaimana urusan penjagaan seperti makan minum kedua-dua anaknya? Sudah tiada orang dewasa lain di dalam rumahnya. Pastinya, memikirkan semua ini ditambah kebimbangan dijangkiti Covid-19 membuatkan fikiran si ibu tertekan dan terganggu.

Ibu ini bernasib baik kerana tinggal di kampung berdekatan sanak saudara dan jiran tetangga yang prihatin. Dia mendapat sokongan mereka yang sentiasa menghantar barang keperluan serta makanan sepanjang menjalani kuarantin di rumah walaupun tidak diminta.

Setiap pagi, tengah hari dan petang, ada sahaja makanan ditinggalkan di atas meja di luar rumah. Kadangkala, dia sendiri tidak tahu siapa yang menghantar. Apa sahaja yang diperlukan, segera mereka dapatkan. Yang jauh pula sentiasa bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat.

Seorang rakan menghantar barangan keperluan asas seperti biskut, beras, teh dan minyak masak.

Terima kasih kepada jiran, Kak Bidoh, Mok Zah, Mok Ti, Tok Su, Kak Mah, Mok Ani, Kak Liza, Kak Zana, Pok Yek, sanak saudara dan semua yang membantu. Mereka ini mewakili masyarakat yang peduli dan mempunyai perasaan empati tinggi. Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik mereka.

Mujur bagi ibu ini, konsep hidup bermasyarakat dan berjiran masih menebal dalam kalangan penduduk kampungnya yang menjadi aset penting ketika negara berperang dengan pandemik. Sepanjang dikuarantin, makan minum anaknya terjaga sementara menanti suaminya, iaitu saya sendiri yang bekerja jauh di negeri lain pulang menguruskan mereka.

Pada saat kerajaan, barisan kepemimpinan negara dan pelbagai pihak bertungkus-lumus memerangi Covid-19, rakyat pula memainkan peranan masing-masing mempraktikkan #kitajagakita.

Sekuat mana kita berusaha, perjuangan ini tidak boleh dilakukan sendirian. Kita semua perlu bekerjasama untuk melindungi diri dan orang lain.

Semoga Allah SWT mengangkat pandemik Covid-19 ini pergi jauh dari bumi Malaysia dan lenyapkannya dari seluruh dunia. Amin.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×