Sifat warak bantu cegah wabak - Utusan Malaysia

Sifat warak bantu cegah wabak

MEMATUHI SOP yang ditetapkan kerajaan ketika beribadat di rumah Allah melambangkan sikap warak seseorang individu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SALAH faham terhadap tatacara beribadah di musim wabak Covid-19 dilihat menjadi punca jangkitan kerana menimbulkan kekeliruan sehingga ada segelintir sanggup melanggar peraturan, mengabaikan aspek kesihatan diri serta tanggungjawab sesama manusia. Adakah sikap sedemikian bertepatan dengan konsep warak menurut Islam?

Warak berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud menahan diri. Imam al-Jurjani, Imam al-Ghazali dan Imam al-’Izz bin Abdus Salam juga turut menguraikan maksud warak secara terperinci.

Warak dalam konteks ibadah di musim pandemik merujuk kepada sifat komited individu dalam melaksanakan ibadah dengan cara meraikan norma baharu serta ketetapan semasa yang diputuskan oleh ulil amri. Sifat warak seharusnya berperanan membantu dalam memutuskan rantaian wabak, bukan sebaliknya.

Antara pendekatan yang bertepatan dengan konsep warak adalah:

1. Merujuk pandangan Mufti

Bagi situasi di Malaysia, fatwa-fatwa khusus mengenai ibadah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dan mufti di setiap negeri. Menurut al-Ghazali, salah satu ciri warak adalah mereka yang menjauhi perkara-perkara yang telah difatwakan haram oleh para mufti.

Dalam era Revolusi Industri 4.0, masyarakat semakin mudah mengakses data dan informasi menerusi rangkaian sistem siber-fizikal (CPS). Penjelasan mengenai fatwa dan hukum boleh dirujuk di laman web jabatan mufti di negeri masing-masing.

2. Mematuhi SOP

Individu yang memiliki sifat warak sudah pastinya berusaha sedaya upaya mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi merebut pahala ibadah.

Pendekatan berhati-hati ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih, iaitu menolak mafsadah itu adalah lebih utama berbanding mencapai maslahah.

3. Jujur

Sifat amanah dan jujur adalah refleksi terhadap tingkat keimanan yang tinggi. Dalam situasi semasa ini masih terdapat sebilangan individu yang tidak jujur. Sesetengah ahli jemaah tidak memaklumkan status sebagai kontak rapat kepada pesakit positif ataupun mengalami gejala-gejala tertentu. Akhirnya, niat baik mereka menyebabkan orang lain ditimpa kesusahan. Perkara ini jelas bertentangan dengan perintah syarak yang melarang sama sekali menyebabkan mudarat kepada orang lain.

Kesimpulannya, warak dalam beribadah merupakan salah satu sifat terpuji dalam Islam. Ia bukan sahaja meningkatkan ketakwaan seseorang malah turut melahirkan sifat ihsan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran pandemik ketika ini, sifat warak sebenar bukan sahaja berperanan menyelamatkan diri sendiri, malah ahli keluarga dan masyarakat sekali gus mencegah penularan wabak dengan lebih efektif.

MUHAMMAD AMMAR HARITH IDRIS
Pegawai Penyelidik
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.