Sabarlah bakal tetamu Allah - Utusan Malaysia

Sabarlah bakal tetamu Allah

PENYIMPAN Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha pada pukul 8 malam ini.- GAMBAR HIASAN /AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tindakan legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mengetepikan dua botol Coca-Cola di atas mejanya dalam sidang akhbar Rabu lalu agak menarik untuk dianalisis.

Rupa-rupanya perbuatan biasa apabila dilakukan oleh orang yang luar biasa memberi kesan amat luar biasa. Apa tidaknya, penyerang Juventus itu mengakibatkan nilai pasaran Coca-Cola kerugian AS$4 bilion (RM16.4 bilion).

Ronaldo yang menjaringkan dua gol lewat permainan ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary kemudian menasihatkan orang ramai mengambil minuman air kosong ketika berdepan dengan media.

Yang tersirat daripada yang tersurat adalah mesej jagalah kesihatan. Walaupun dalam Islam, minum Coke atau lain-lain minuman yang tidak beralkohol itu adalah harus, namun yang terbaik adalah mengelak daripada mengambilnya. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghidap diabetes.

Bagi umat Islam, pastinya air yang paling suci dan enak adalah zamzam. Namun, kini kita terhalang untuk mengunjungi Haramain disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum nampak kesudahannya.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat 16 Jun lalu, sebanyak 176,303,596 kes disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Jumlah kematian yang dilaporkan adalah 3,820,026. Sementara jumlah yang telah mendapat suntikan vaksin Covid-19 adalah 2,310,082,345.

Di Malaysia setakat 16 Jun 2021, sejumlah 673,026 kes disahkan positif dengan jumlah kematian 4,142. Bilangan yang sembuh adalah 600,935 kes.

Adapun di Arab Saudi, kes positif Covid-19 setakat 16 Jun lalu adalah 469,414. Jumlah kematian pula 7,621 manakala pesakit yang sembuh 451,187.

Satu lagi berita yang amat berat untuk kita terima adalah pembatalan penghantaran jemaah haji Malaysia tahun ini. Ia berikutan pengumuman kerajaan Arab Saudi pada 12 Jun lalu yang mengehadkan jemaah haji hanya untuk warga negaranya dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut. Jumlah jemaah haji tahun ini hanya 60,000.

Ini bermakna, tahun ini adalah kali kedua Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji bermula 2020. Pada musim haji 2020, lapan rakyat Malaysia di Arab Saudi adalah antara 10,000 umat Islam yang terpilih untuk mengerjakan ibadat haji.

Daripada jumlah itu, tiga adalah jemaah lelaki dan bakinya wanita. Semua mereka adalah pelajar dan pekerja di Arab Saudi.

TETAMU ALLAH

Walaupun ia pahit untuk diterima, namun hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang perlu diberi keutamaan dalam mengambil sebarang keputusan.

Yang pasti, bersabar dan redalah bakal dhuyufur rahman. Yakinlah, tentu ada hikmahnya penangguhan ibadat haji tuan-tuan walaupun sudah dua tahun ia tergendala.

Ini juga menguatkan lagi hakikat bahawa walaupun segala persiapan dan syarat-syarat sudah dipenuhi tetapi sesuai dengan nama ‘tetamu Allah’, maka tiada daya dan upaya kita selagi belum diizinkan Allah menjejak kaki ke tanah haram.

Tidak dinafikan mereka yang sudah menerima panggilan mengerjakan haji pasti amat teruja dan bagaikan mahu terbang ke Mekah. Ia bagi melengkapkan rukun Islam kelima. Tambahan pula ada yang berpuluh tahun menyimpan wang untuk mencukupkan tambang haji.

Mungkin ada juga yang khuatir, adakah rezeki mereka ke tanah suci akan tercapai sementelah usia sudah mencecah warga emas? Kesihatan pun sudah agak kurang memuaskan berbanding dua tahun lalu semasa menerima pengesahan menunaikan haji.

Apa pun, yakinlah bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik. Segala yang berlaku adalah dengan izin Allah dan Allah amat Mengetahui apa hajat hamba-hamba-Nya baik yang diucapkan ataupun yang tersimpan dalam hati.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (at-Taghabun: 11)

Membaca dan menghayati ayat Allah di atas akan menjadikan kita tenang. Seterusnya reda dengan qada dan qadar Allah. Tidak timbul keluh kesah atau putus asa dengan rahmat Allah.

Lihatlah penangguhan itu secara positif. Berbekalkan keyakinan tahun hadapan keadaan akan bertambah baik dan wabak Covid-19 semakin berkurang, insya-Allah musim haji 2022 akan dapat dilaksanakan sebagaimana kebiasaan sebelum adanya pandemik itu.

Teruslah menambah ilmu berkaitan ibadat haji baik secara bertanya kepada para pembimbing haji atau mengikuti kelas-kelas dalam talian. Jadikan penangguhan ini untuk memantapkan lagi ilmu berkaitan haji baik dari segi rukun dan wajib mahupun perkara-perkara sunat serta pantang larangnya.

Ibadat haji tidak semudah kita menyebutnya. Ia memerlukan kepada mujahadah an-nafs. Ia memerlukan perjuangan sungguh-sungguh melawan hawa nafsu dan menghindari perbuatan yang dilarang Allah SWT. Hawa nafsu itu terdiri daripada tiga jenis iaitu ammarah, lawwamah dan muthmainnah.

Nafsu ammarah adalah yang mendorong manusia kepada keburukan. Ia diterangkan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan ” (Yusuf: 53)

Nafsu lawwamah pula yang menyesali setiap perbuatan buruk. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “dan aku bersumpah dengan jiwa yang Amat menyesali (dirinya sendiri).” (al-Qiyamah: 2)

Nafsu muthmainnah pula adalah nafsu yang tenang. Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai jiwa yang tenang Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.” (al-Fajr: 27-28)

Pada masa sama, tingkatkan ibadat untuk taqarrub kepada Allah SWT. Banyakkan istighfar memohon ampun daripada Allah, solat sunat terutama qiamullail dan solat tahajud.

Marilah berazam untuk mendapat haji yang mabrur. Haji mabrur disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: “Haji yang mabrur tidak ada ganjaran yang selayaknya melainkan syurga.” (Riwayat Bukhari)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN