Politik hari ini pat pat siku lipat... - Utusan Malaysia

Politik hari ini pat pat siku lipat…

Jika UMNO, Bersatu, Pas dan GPS tidak menyerang dan membuka keaiban sesama sendiri, penguasaan politik bumiputera akan lebih kukuh dan kuat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Teori domino kini semakin menguasai politik Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH). Apa yang dilihat apabila pemain utama dalam PH iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PKR kehilangan kuasa dalam krisis 25 Februari 2020. Ini berlaku setelah perletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Berikutan perletakan jawatan tersebut, berlakulah satu gerakan dinamakan Langkah Sheraton yang menyebabkan sebahagian besar ahli Parlimen PKR keluar parti dan komponen PH. Susulan tersebut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut keluar daripada PH. Akibatnya, kerajaan PH yang didukungi oleh lima komponen parti, runtuh.

Hanya tinggal Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebahagian ahli Parlimen PKR. Kemudian Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan setelah berpecah daripada Bersatu. Secara keseluruhan, sokongan untuk pembentukan semula kerajaan diterajui PH gagal kerana pemain utama, PKR kurang mampu mendapatkan sokongan kembali pemain sampingan iaitu Bersatu dan sebahagian ahli Parlimen yang melompat keluar parti.

Pada masa kini, kelihatan sokongan untuk kerajaan diterajui PN yang ditubuhkan pada Februari tahun lalu didukungi empat komponen utama iaitu Bersatu, Pas, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Gabungan PN yang dianggotai oleh Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) dan Gerakan hanya mengandungi 54 ahli Parlimen. Gabungan BN pula disokong oleh 41 ahli Parlimen dan GPS terdiri daripada 18 ahli Parlimen.

Apa yang berlaku adalah sokongan tersebut mampu meraih 114 ahli Parlimen. Kemudian berlaku kekosongan satu kerusi Parlimen disebabkan kematian wakil Ahli Parlimen Grik. Seterusnya berlaku dua ahli Parlimen meninggalkan kerajaan diterajui PN iaitu Ahli Parlimen Machang dan Ahli Parlimen Padang Rengas. Kini jumlahnya hanya 111 ahli Parlimen yang menyokong PN.

Tetapi timbul persoalan, di mana Ahli Parlimen Pasir Salak yang dipecat daripada jawatannya sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, masih tertanya-tanya kedudukannya dalam PN? Seterusnya, penolakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia oleh Ahli Parlimen Jerantut juga masih dalam perkiraan sama ada masih kekal dalam kerajaan PN atau tidak? Diikuti Ahli Parlimen Pengerang yang sehingga kini masih dalam teka teki kedudukannya dalam PN? Andai kata berlaku terkeluarnya dua atau tiga atau satu ahli Parlimen, maka teori domino mengandaikan jika pemain utama dalam kerajaan PN iaitu Bersatu bakal runtuh.

Kenapa ini berlaku adalah disebabkan ketiga-tiga parti Melayu dan GPS yang merupakan pemain utama dalam politik bumiputera kurang mampu menjaga hubungan baik antara satu sama lain. Masing-masing cuba mendedahkan yang tidak sepatutnya antara satu sama lain. Sedangkan jika keempat-empat parti iaitu Pas, UMNO, Bersatu dan GPS cuba memperbaiki imej dan kekuatan parti tanpa menyerang dan membuka keaiban sesama sendiri, maka penguasaan politik bumiputera akan lebih kukuh dan kuat.

PENDESAK

Pas boleh menjadi pendesak manakala UMNO pelaksana yang diseimbangkan melalui peranan Bersatu dan GPS. Tetapi kelihatan peranan tersebut kurang dihayati dan dimainkan. Masing-masing cuba menunjukkan kelebihan dan mengikut arus belakang tabir tanpa ada perbincangan dan saling memahami secara terbuka. Perkara ini amat bahaya dalam politik kerana apa sahaja boleh berlaku apabila kepentingan diri menguasai.

Sepatutnya keempat-empat parti ini perlu bersedia menerima kekurangan masing-masing. Kesemua empat parti ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Apa yang tidak berlaku adalah sifat mengalah dan saling memaafkan dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Usah saling ungkit mengungkit jika kekuatan tersendiri untuk menguasai politik negara ini masih belum menampakkan kekuatan sebenar. Ini dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Maka tiada siapa yang akan menang dan berjaya menubuhkan kerajaan. Apakah kita mahu lihat perkara ini berlaku? Tidak cukupkah lagi pengajaran yang boleh dipetik?

Dunia politik hari ini dikuasai oleh politik pemasaran. Dalam produk politik pemasaran ada agenda politik. Sokongan rakyat ke atas mana-mana parti ditentukan oleh persepsi ke atas produk politik tersebut. Apa yang menarik, dunia digital yang semakin berkembang telah menentukan hala tuju dan keputusan parti politik untuk melaksanakan produknya. Secara tanpa disedari dunia hari ini, manipulasi, eksploitasi, kontroversi dan persepsi dibina dengan begitu mudah melalui jaringan jalur lebar.

Akibatnya, politik dunia hari ini lebih cepat berubah daripada kesedaran pemimpin politik untuk berubah. Ini memaksa setiap pemimpin politik ada kalanya hari ini berubah ke utara. Esoknya tidak pasti sama ada akan kembali semula ke jalan asal walaupun sudah membuat keputusan ke utara semalam.

Dalam kata lain, politik hari ini tidak lagi memikirkan soal kepentingan rakyat tetapi lebih kepada pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat. Ini dikatakan politik hari ini memerlukan kepintaran dan kebijaksanaan strategi dengan sokongan platform asas yang kukuh dalam parti yang dianggotainya. Agak sukar untuk menyatakan siapakah musuh kita hari ini kerana belum tentu esok hari musuh kita akan menjadi kawan.

Penjajaran politik sentiasa berjalan mengikut suasana politik. Adakalanya kita melihat nun jauh di sana tiada hujan tetapi secara tiba-tiba hujan turun di tempat kita berdiri walaupun langit masih cerah. Kepelikan dalam dunia politik pada hari ini dianggap sebagai normalisasi baharu. Demikianlah perubahan politik yang berlaku pada masa kini setelah tamatnya politik baharu.

Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×