Kuasa, rakyat dan kejujuran - Utusan Malaysia

Kuasa, rakyat dan kejujuran

Kamarazaman Yacob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rakyat meneka-neka atau tertanya, apakah hasil pertemuan raja-raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun ini? Yang jelas, itu bukanlah persidangan raja-raja Melayu atau Durbar tetapi perbincangan khas sahaja. 

Seorang ahli Parlimen dari PKR menimbulkan persoalan sama ada pertemuan itu adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya. Bagi saya, persoalannya bukanlah sama ada ia selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya kerana ia hanyalah pertemuan raja-raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Agong, tetapi yang lebih pokok ialah agendanya, hasilnya dan kesannya kepada kerajaan. 

Sebenarnya, pertemuan tersebut tidak boleh menukar kerajaan yang ada. Ia juga tidak mampu menurunkan Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Dan saranan hasil daripada mesyuarat itu juga tidak akan menjadi dasar negara kalau ia tidak dipersetujui oleh Kabinet. 

Lebih mengetuk benak rakyat adalah tentang pertemuan pemimpin-pemimpin parti politik bersama Yang di-Pertuan Agong. Apakah perkara-perkara yang mereka kemukakan kepada Seri Paduka yang boleh membawa laba kepada rakyat? 

Pelbagai cadangan dikatakan telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Tun Dr. Mahathir Mohamad katanya cuba menyemaikan benih ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) ke benak Yang di-Pertuan Agong dan pada masa sama cuba menjulang namanya sebagai tokoh paling cocok untuk menerajuinya. Kononnya beliau orang yang paling berpengalaman dalam menghadapi krisis dan kononnya beliau tiada apa-apa kepentingan melainkan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara sahaja.  

Rakyat mengakui Dr. Mahathir mampu berbuat apa sahaja semasa menghadapi krisis. Ini terbukti di mana beliau menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 untuk menangkap antara 106 hingga 119 musuh politiknya.

Pentaksub Dr. Mahathir, iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tanpa menggunakan logik akal menyatakan Dr. Mahathir tiada kepentingan. Kata beliau, orang setua Dr. Mahathir tidak gila kuasa. Betulkah Khairuddin? Kalau tidak ada apa-apa, masakan tempua mahukan Mageran di ranting rendah.

Semua pemimpin parti politik, selepas keluar dari Istana Negara mengatakan mereka menyampaikan idea untuk kepentingan rakyat dan negara. Kononnya mereka menyayangi rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi. Semuanya untuk rakyat. Benarkah begitu?

Tiba-tiba pemain politik ini seolah-olah meninggalkan amalan biasa mereka di pintu Istana Negara. Sedangkan sebelum ini falsafah politik mereka ialah permainan mendapat dan mengekalkan kuasa, berbuat apa sahaja demi kuasa.

Suka saya memetik kata-kata ahli falsafah Islam, Ali Shariati, yang mengatakan: “Berfikir dengan betul, bertindak dengan betul, menghasilkan yang betul. Berfikir dengan salah, bertindak dengan betul, menghasilkan yang salah.”

Nyata sekali cara berfikir pemimpin-pemimpin politik inilah yang menentukan kejayaan atau kegagalan negara. Oleh itu, cara berfikir pemimpin UMNO, PKR, DAP, Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan lain-lain mestilah di landasan yang betul.

Cara mereka berfikir akan menentukan kejayaan menghadapi pandemik Covid-19 serta menyelesaikan isu sekitar pemberian suntikan vaksin, masalah penghidupan rakyat dan seterusnya. 

Kalau semuanya berfikiran betul, semuanya mahu menyelesaikan masalah pandemik masa kini, maka semuanya mestilah bertindak dengan betul untuk menghasilkan yang betul.

Dalam konteks ini, semua pemain politik tanpa sempadan parti mestilah bersatu dalam satu tujuan, duduk bersama dalam sebuah organisasi atau jawatankuasa yang khusus menangani masalah negara.

Duduk di dalam ‘khemah besar’ yang bukan bertujuan mendapatkan kuasa, sebaliknya untuk kepentingan rakyat dan negara, suatu mantera yang serasi dengan bibir pemain politik.

Khemah besar itu bolehlah dinamakan sebagai Jawatankuasa Kesejahteraan Nasional (JKN).

Semua pemain politik terutama pembangkang mestilah menerima realiti bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri dan kerajaan yang memerintah hari ini adalah Perikatan Nasional.

Sekiranya kedua-dua perkara asas ini boleh diterima, maka perkara-perkara yang menyusul selepasnya lebih mudah diatasi.

Kalau perkara asas ini tidak dapat diterima kerana kepentingan politik, maka selama itulah rakyat menjadi mangsa kepada pemain-pemain politik yang menjadikan politik sebagai ladang untuk mendapat dan mengekalkan kuasa.

Jika benar pemimpin pembangkang jujur mahu turut serta menyelesaikan masalah negara, maka mereka perlu duduk bersama sebagai ahli JKN. Mereka mesti menerima Muhyiddin sebagai Pengerusi JKN sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Apakah Dr. Mahathir boleh melupakan cita-cita mahu menjadi pengerusi sebuah kerajaan ala Mageran lantas tunduk berada di bawah Muhyiddin dalam JKN?

Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melupakan usaha-usaha beliau dalam mengutip nombor yang dikatakan akan membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan? Bolehkah beliau melupakan hasrat ingin membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat? Mampukah beliau menerima Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat JKN?

Bagaimana pula Lim Guan Eng? Bersediakah beliau menerima Muhyiddin mengepalai JKN sehingga ekonomi kembali pulih? Bolehkah beliau melupakan mantera yang serasi dengan mulut celuparnya, iaitu ‘negara muflis, hutang trilion.’

Sekiranya Dr. Mahathir, Anwar, Guan Eng, Mohamad Sabu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan geng mereka tidak boleh melekangkan cita-cita ingin berkuasa dengan apa cara sekalipun dan tidak bersedia berada di dalam khemah besar iaitu JKN, maka jelaslah apa yang diperkatakan kepada wartawan selepas keluar dari Istana Negara itu hanyalah lakonan semata-mata. 

Semuanya bercakap dalam bahasa hipokrit dengan seribu topeng. Tegasnya, nyanyian di luar pagar Istana Negara itu hanyalah untuk halwa telinga rakyat, untuk mempersonakan mereka, sedangkan hasrat sebenar pemain politik ini adalah untuk mendapatkan atau mengekalkan kuasa. 

Yang jelas menjadi mangsa kepada pemain-pemain politik ini adalah rakyat. Dan rakyat selamanya, hidup dengan janji, mati membawa harapan.

PENULIS ialah bekas aktivis pelajar dan penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya