Jenguk juga pekerja kontrak di sekolah - Utusan Malaysia

Jenguk juga pekerja kontrak di sekolah

PENGAWAL keselamatan di sekolah juga memainkan peranan penting dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dipatuhi oleh guru, pelajar dan pelawat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memutuskan supaya guru diberi keutamaan untuk mendapat vaksin seperti tiga kumpulan lain iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

Ketiga-tiga kumpulan itu dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula 12 April lalu. Keputusan itu akan membolehkan kira-kira 500,000 guru dalam sektor swasta dan awam di seluruh negara mendapat vaksin lebih awal.

Pemberian vaksin kepada guru akan dapat meredakan kebimbangan ibu bapa dan waris pelajar mengenai kemungkinan berlaku penularan pandemik apabila sekolah dibuka semula.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyambut baik pemberian vaksin lebih awal kepada guru di sekolah bagi memastikan kelangsungan pendidikan pelajar.

Pada masa sama, kami ingin mengingatkan bahawa kerajaan tidak boleh melupakan pekerja kontrak seperti kakitangan pembersihan dan pengawal keselamatan yang menjadi barisan hadapan di sekolah. Mereka juga harus diutamakan.

Pelajar termasuk dalam kumpulan mudah terdedah dan boleh menjadi pembawa virus di antara sekolah dan rumah.

Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan penjarakan fizikal dan pemeriksaan suhu guru, murid dan pelawat.

Oleh yang demikian, mereka wajib disenaraikan sebagai penerima vaksin secepat mungkin kerana terdapat kecenderungan untuk tidak mengendahkan sumbangan mereka. Kerajaan juga harus mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada golongan pekerja ini.

Selain pengutamaan vaksinasi, pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan juga menuntut supaya keadaan mereka dipantau oleh pihak berkuasa dengan segera semasa tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh selama 14 hari sehingga 14 Jun ini.

JPKK menerima pelbagai aduan mengenai salah laku kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang buruh termasuk membuat potongan gaji pekerja walaupun ini adalah kontrak kerajaan dan kerajaan tidak membuat sebarang pemotongan gaji.

Dengan ini, kami berharap kerajaan akan ambil maklum sumbangan pekerja-pekerja ini dalam pembangunan negara dan mereka harus diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan di sekolah.

Langkah sedemikian akan membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kelompok yang terdedah wabak Covid-19.

Selain memastikan kakitangan pembersihan dan pengawal keselamatan menikmati faedah seperti yang diterima oleh pekerja barisan hadapan, kerajaan juga perlu menghapuskan segala kesengsaraan yang dialami mereka akibat sistem kontrak yang banyak kekurangan.

Pastikan segala kebajikan pekerja terbabit yang termasuk dalam kategori golongan berpendapatan rendah (B40) sentiasa terjamin.

DANIAL HAKEEM
Penyelaras JPKK

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.