Hadapi generasi yang hilang - Utusan Malaysia

Hadapi generasi yang hilang

Penularan wabak Covid-19 menjejaskan kualiti lepasan persekolahan dan graduan universiti. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Norma baharu kehidupan manusia yang terhasil daripada pandemik Covid-19 mencetus satu gelombang perubahan yang signifikan dalam pembentukan generasi masa depan.

Dalam usaha membanteras wabak ini, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan seperti pengisytiharan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua pendekatan ini mengehadkan pergerakan dan pergaulan bersemuka dalam kalangan rakyat. Banyak sektor ekonomi dan sosial terpaksa ditutup. Dalam masa setahun, negara mula merasai kesan pandemik ini dengan kemuncupan ekonomi, ketidakstabilan politik, peningkatan jumlah pengangguran, penurunan tahap pendapatan rakyat, gangguan sistem pendidikan, serta gangguan emosi dan mental akibat tekanan kehidupan yang semakin mencengkam.

Banyak kajian di peringkat antarabangsa membangkitkan satu isu yang agak membimbangkan, iaitu kewujudan generasi yang hilang atau yang akan mewarisi masa depan kita. Generasi ini terbentuk hasil daripada pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui ketika ini demi menghentikan penularan wabak Covid-19. Menurut laporan Bank Dunia, penutupan sekolah menyebabkan 1.6 bilion pelajar di seluruh dunia tidak dapat bersekolah pada April 2020. Pastinya jumlah ini akan terus meningkat sekiranya pandemik masih belum dapat dikawal.

Apabila ini berlaku, bermulalah episod kecelaruan malah kemusnahan dalam dunia pendidikan khususnya di peringkat sekolah. Kesan lebih buruk dirasai di negara-negara miskin dan dunia ketiga.

Kajian Bank Dunia turut mendapati penutupan sekolah berisiko menyebabkan 72 juta murid berdepan ancaman ‘kemiskinan pembelajaran’ yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula dalam laporannya bertajuk Averting a Lost Covid Generation menyatakan, walaupun jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 20 tahun adalah kecil iaitu satu daripada sembilan orang, namun kesan jangka panjang terhadap pendidikan, pemakanan dan kesejahteraan seluruh generasi kanak-kanak dan orang muda dijangka menjejaskan kehidupan masa depan mereka.

Oleh kerana kesiapsiagaan pemerintah yang agak lemah dalam menangani masalah keciciran pendidikan, ditambah kekurangan infrastruktur pembelajaran dalam talian seperti peranti teknologi komunikasi maklumat, kemudahan internet dan persediaan guru turut memburukkan keadaan. Dalam masa 12 bulan ini, jutaan pelajar tertinggal dalam banyak aspek pendidikan seperti subjek pelajaran, kemahiran komunikasi, insaniah, interpersonal, kepimpinan, kokurikulum, sukan dan pelbagai lagi akibat tidak dapat hadir ke sekolah.

Bayangkan, apabila mereka yang sepatutnya berada di sekolah lebih 40 minggu dalam setahun takwim persekolahan, namun hanya mampu hadir selama 10 hingga 20 minggu sahaja! Di sesetengah tempat, ada yang terus tidak dapat ke sekolah. Bagaimana dengan mata pelajaran yang sepatutnya diajar di makmal tapi hanya mampu diikuti di paparan komputer riba mahupun telefon pintar? Ada pelajar universiti yang berada di rumah lebih setahun mengikuti pembelajaran secara maya. Bagi pelajar dari keluarga miskin ataupun yang tinggal jauh di ceruk pedalaman, situasi mereka berganda, lebih menyulitkan.

Bagaimana mereka belajar? Berapa peratus daripada pengisian persekolahan yang mereka peroleh dengan pembelajaran dari rumah? Fenomena ini sudah pasti menjejaskan input ilmu, kemahiran dan pengalaman seseorang pelajar. Itu belum lagi mengambil kira keciciran pembelajaran bagi golongan pelajar orang kurang upaya (OKU) atau pendidikan khas.

Bagaimana jika pandemik berlarutan lagi setahun atau beberapa tahun lagi? Apabila wabak ini berakhir kelak, mereka akan ketinggalan malah kehilangan ilmu pengetahuan, bakat dan kemahiran.

Kegawatan ini secara relatifnya akan menjejaskan kualiti seseorang lepasan persekolahan mahupun graduan universiti. Bagaimana peluang generasi yang hilang ini untuk memasuki dunia pekerjaan? Dengan kemerosotan ekonomi yang melanda, sudah pasti peluang kerjaya turut berkurangan. Majikan pula akan lebih selektif dalam memilih pekerja dan sudah pasti kelompok generasi yang hilang ini akan menjadi calon bukan pilihan.

Kebimbangan terhadap kesihatan mental dalam kalangan generasi muda turut dibangkitkan oleh Dr. Nazrul dan Dr. Nurul (2021) dalam tulisan mereka bertajuk The Fear of Covid-19 among Malaysian Youths. Mereka merumuskan pandemik Covid-19 mencetuskan ketakutan dan kegusaran kepada golongan muda khususnya apabila melihat peningkatan angka pesakit dan jumlah kematian setiap hari.

Di Malaysia, masih belum ada satu kajian dan cadangan penyelesaian yang bersepadu bagi mengatasi isu generasi yang hilang ini. Namun, ia mula rancak diperbincangkan di pelbagai wacana kajian, forum, webinar mahupun penulisan. Sudah tiba masanya kerajaan melalui kementerian-kementerian berkaitan, berganding bahu bersama pihak-pihak berkepentingan merangka satu pelan strategik jangka panjang khusus bagi menangani isu generasi yang hilang ini. Fokus pemerintah harus melangkaui usaha menghentikan rantaian penularan Covid-19.

Isu generasi yang hilang ini bukan lagi isu picisan yang boleh dipandang remeh atau ditangguhkan tindakan menanganinya. Isu ini akan menjadi krisis global, oleh itu kerajaan perlu bersedia untuk memberi sokongan dan pelaburan kewangan yang sucukupnya demi memastikan negara tidak kehilangan upaya daya maju dan modal insan berkualiti pada masa depan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×