Pandemik Covid-19 di negara ini belum nampak tanda-tanda pulih. Keadaan tersebut sudah tentu banyak merubah corak kehidupan segenap lapisan masyarakat.
Sama seperti bidang lain, profesion undang-undang turut tidak terkecuali daripada menanggung ‘bala’ akibat penularan virus berbahaya tersebut.
Namun, setiap krisis pasti mewujudkan peluang menguntungkan dan tidak kurang juga merugikan. Bagi pengamal undang-undang, salah satu peluang yang datang ialah dengan usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi mempermudahkan tugas harian.
Suka atau tidak, boleh dikatakan peguam kini sudah mula sebati dengan kaedah bicara dalam talian yang dijalankan oleh badan kehakiman negara.
Menyorot kembali usaha tersebut, badan kehakiman mula memperkenalkan kaedah bicara dalam talian selepas mengambil kira keadaan penularan Covid-19 yang membimbangkan pada Mac 2020. Tujuan utama kaedah tersebut ialah untuk memberikan akses keadilan kepada orang awam di samping mengelakkan penangguhan kes-kes mahkamah khususnya kes sivil.
Kes bicara dalam talian pertama yang disiarkan secara langsung melalui saluran Youtube kepada orang ramai ialah pada 24 April 2020. Ia melibatkan rayuan sivil di Mahkamah Rayuan antara Zhao Fangliang lwn. Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn. Bhd. J-04(NCvC)(W)-552-10/2019.
Selepas itu, pada 28 April 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam berpeluang menjawab persoalan yang ditimbulkan pihak-pihak berhubung kesahan prosiding bicara dalam talian menerusi kes SS Precast Sdn. Bhd. lwn. Serba Dinamik Group (2020) MLJU 400. Untuk rekod, ketika itu belum ada peruntukan khas berkenaan tatacara pengendalian kes bicara dalam talian.
Kekurangan itu kemudiannya diatasi apabila pada 26 Ogos 2020, pindaan ke atas Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955 diluluskan di Parlimen. Bagaimanapun, rata-rata wakil rakyat pembangkang ketika itu mencadangkan pindaan diteliti semula kerajaan terutama dalam aspek teknologi, peruntukan kewangan serta jaminan terhadap sistem keselamatan.
Selepas itu pada 14 Disember 2020, kerajaan menyiarkan warta berkenaan pindaan tatacara mahkamah dengan memasukkan pindaan baharu dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 iaitu Aturan 33A berkaitan Prosiding Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh.
Tidak terhenti setakat itu, pada 7 Januari lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan Arahan Amalan Bil. 1/2021 berkenaan pengendalian prosiding kes sivil melalui teknologi komunikasi jarak jauh bagi mahkamah di seluruh negara. Arahan amalan tersebut menyediakan garis panduan yang komprehensif berhubung tatacara bicara, e-mel, sistem e-Review dan sidang video serta kaedah pemberian keterangan oleh saksi.
Sudah tentu, wujud pelbagai pandangan dan kritikan dalam kalangan komuniti pengamal undang-undang terhadap kaedah bicara dalam talian, lebih-lebih lagi selepas setahun pelaksanaannya. Ada yang positif, tidak kurang juga negatif.
MANFAAT
Antara perkara positif yang dapat dilihat ialah secara harfiahnya, bicara dalam talian menjadi pilihan terbaik dan paling selamat kerana dapat mengelakkan pengumpulan beramai-ramai di mahkamah semasa penularan wabak. Di samping itu, kaedah tersebut boleh menjimatkan masa dan tenaga semua pihak khususnya peguam kerana tidak memerlukan pergerakan dari satu kawasan ke kawasan lain.
Dari segi dokumentasi, corak perbicaraan tidak memerlukan cetakan dokumen atas kertas, sebaliknya hanya berbentuk salinan digital (soft copy).
Manfaat turut diraih orang awam seperti saksi atau pihak-pihak dalam prosiding memandangkan mereka akan berasa kurang gementar atau tertekan berbanding ketika berada di mahkamah. Selain itu, kita dapat lihat sejak pelaksanaan bicara dalam talian, kes-kes cenderung dipanggil tepat pada masanya dan juga selesai lebih cepat.
Namun begitu, terdapat beberapa kekangan sama ada di bawah kawalan ataupun luar kawalan peguam sendiri. Seperti diketahui umum, sesi bicara dalam talian sangat bergantung kepada sambungan internet, kestabilan rangkaian dan perkakasan komputer atau peranti mudah alih lain.
Di sesetengah kawasan, kerap berlaku masalah sambungan internet tidak stabil dan ini menyukarkan atau menjejaskan sesi bicara. Jika perkara demikian berlaku, sudah tentu pihak yang akan menanggung kesan teruk ialah anak guam kerana diprejudis daripada mendapat hak perbicaraan yang sempurna.
Kebimbangan seterusnya berhubung tahap keselamatan dokumen memandangkan ia disimpan dalam alam maya atau storan cloud. Ini terdedah kepada pencabulan data dan sifat-sifat kerahsiaan.
Di samping itu, ketelusan atau integriti pemberian keterangan oleh saksi dan proses perbicaraan turut menjadi isu. Antara persoalan yang sering timbul, apakah perkara yang berlaku di sebalik kamera khususnya ketika saksi memberikan keterangan? Maknanya, ia tidak dapat lari daripada wujudnya teori konspirasi, usaha membimbing saksi dan sebagainya.
Dalam kalangan peguam pula, wujud jurang atau keadaan dikenali sebagai equality of arms. Ini kerana kemahiran dan pengetahuan terhadap teknologi digital khususnya antara peguam muda dengan peguam kanan adalah berbeza. Malah, jurang turut wujud antara firma guaman bersaiz besar dengan saiz kecil, lebih-lebih lagi firma dikendalikan pemilik tunggal. Bagi firma guaman besar, mereka mempunyai kelebihan serba-serbi kerana mampu menyediakan teknologi termoden dan kakitangan sokongan teknikal.
Lebih merunsingkan lagi, bicara dalam talian mendedahkan kepada kemerosotan kualiti berhujah atau aspek kepeguaman dalam kalangan peguam. Hal ini ada kaitan dengan kurangnya sifat ‘sentuhan’ kemanusiaan semasa prosiding. Secara umumnya, ‘sentuhan’ kemanusiaan amatlah penting dalam kes-kes mahkamah apatah lagi kes jenayah, bukan sahaja kepada peguam malah kepada hakim sendiri. Bicara dalam talian akan mengehadkan peluang hakim menyaksikan perilaku saksi, tertuduh ataupun pihak-pihak dalam prosiding.
Justeru, bukan semua kes sesuai dijalankan secara bicara dalam talian. Apa yang penting sekarang, perlu wujud keseimbangan dan keutamaan dalam pelaksanaan kaedah tersebut. Natijahnya, sedar atau tidak, bicara dalam talian sudah sebati dan kekal menjadi sebahagian daripada profesion undang-undang masa kini.
PENULIS pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia selama 15 tahun sebelum beralih ke profesion perundangan.










