Saat dipeluk erat arwah ayah masih segar dalam ingatan saya. Ketika menghadapi kerumitan, pelukan dan kata-kata semangat daripada ayah memberikan saya kekuatan dan keyakinan untuk terus melangkah.
Tarikh 26 Jun 2018 sangat bermakna dalam hidup saya. Itulah hari terakhir saya berpeluang bergurau-senda dan bermesra bersama ayah. Hari yang bermula ceria bertukar cemas apabila ayah tiba-tiba dikejarkan ke hospital selepas waktu Asar. Dua hari kemudian, ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Segala-galanya berlaku begitu pantas dan mengelirukan saya yang ketika itu berusia 15 tahun. Mujurlah saya teringat pesanan guru silat, Cikgu Wan. Dia selalu mengingatkan saya supaya melatih diri agar kuat bukan sahaja fizikal, tetapi juga rohani. Katanya, sebagai satu-satunya lelaki dalam keluarga, saya perlu kuat dalam menghadapi apa jua keadaan. Saya menjadi tonggak kepada keluarga apabila ayah tiada.
Saat paling menyedihkan bagi saya adalah ketika selesai urusan solat jenazah dan jenazah ayah mula bergerak keluar dari masjid menuju tanah perkuburan. Kakak-kakak telah dibawa oleh seorang rakan arwah ayah, manakala ibu dibawa pulang ke rumah oleh sahabat karib keluarga kami.
Saya bergegas mencari saudara yang sepatutnya menumpangkan saya. Namun, saya telah ditinggalkan bersendirian. Masjid sudah pun lengang. Tiada sesiapa yang saya kenal di situ memandangkan itu bukan masjid kariah kami. Dalam kekalutan itu, saya tersedar bahawa saya telah tertinggal telefon dalam beg ibu sebelum ikut memandikan jenazah ayah. Tidak dapat saya gambarkan perasaan saya ketika itu, bagaikan jatuh ditimpa tangga.
Risau tidak dapat melihat pengebumian ayah, saya nekad mengambil keputusan berjalan ke sana. Saya bertekad untuk melihat jenazah ayah disemadikan. Saya terus berusaha dan berdoa walaupun dalam keadaan tidak pasti.
Alhamdulillah, sebaik sahaja keluar dari pekarangan masjid, terdengar nama saya dipanggil. Kawan rapat ayah, Pakcik Burhan terkejut dan kehairanan melihat saya berjalan seorang diri lalu terus membawa saya ke dalam kereta bersamanya. Sempatlah saya tiba di tanah perkuburan sebelum jenazah ayah dikebumikan.
Peristiwa itu menyedarkan saya bahawa kita tidak boleh berputus asa ketika berhadapan dugaan. Kejadian tersebut menjadikan saya lebih tabah dalam menghadapi pahit getir kehidupan. Cabaran demi cabaran kami hadapi selepas ketiadaan ayah. Namun, saya tangani juga dengan keazaman jitu dan tawakal kepada Allah.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh ayah serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.
PENULIS ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.











