Apa selepas ini? - Utusan Malaysia

Apa selepas ini?

Belum ada mana-mana sumber rasmi mengenai agenda perbincangan dalam pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan raja-raja Melayu, esok. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pagi Ahad lalu, seorang wartawan bertanya menerusi telefon, apakah agaknya isu negara yang akan dibincangkan dalam pertemuan Yang di- Pertuan Agong dengan raja-raja Melayu, esok?

Saya jawab, sehingga kelmarin, rakyat belum dimaklumkan oleh mana-mana sumber rasmi mengenai agenda perbincangan diraja tersebut. Oleh itu, apa sahaja yang disebutkan oleh puluhan pengamal media (tempatan dan luar negara) kebelakangan ini adalah hanya spekulasi atau ramalan awal. Mungkin tepat, mungkin meleset.

Namun begitu, mengambil kira kenyataan media pemimpin politik beberapa hari lalu (termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) selepas kedua-dua mereka menghadap Seri Paduka, kebarangkalian besar persidangan diraja itu akan membincangkan setidak-tidaknya dua isu besar, iaitu Parlimen bersidang dalam masa terdekat dan pelanjutan tempoh darurat.

Dewan Rakyat

Saya ingatkan wartawan itu, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini menyatakan Parlimen boleh bersidang pada bila-bila masa (Mingguan Malaysia, 6 Jun 2021) yang memberi erti Dewan Rakyat dapat bersidang dalam masa terdekat, jika tidak secara fizikal, boleh secara hibrid.

Sekiranya Dewan Rakyat boleh bersidang secara maya atau hibrid, andainya Perdana Menteri berhasrat tempoh darurat (luput 1 Ogos ini) dilanjutkan lagi, maka adalah amat sesuai sekali usul itu dibentangkan untuk dibahaskan dan diputuskan oleh 220 ahli Parlimen.

Andainya penjelasan atau huraian Perdana Menteri mengenai perkara tersebut meyakinkan majoriti ahli Parlimen yang hadir, maka cadangan pelanjutan darurat akan diluluskan oleh Dewan Rakyat. Berbekalkan sokongan majoriti itu, Perdana Menteri boleh menemui Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka, dan satu perisytiharan melanjutkan darurat boleh diwartakan. Jika ini berlaku, hayat kerajaan sekarang berterusan sehinggalah isu Covid-19 dapat diselesaikan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan. Situasi begini boleh kita namakan ‘senario pertama.’

Senario pertama boleh berlaku sekiranya kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) bersedia melakukan ‘gencatan perang politik’ di mana akibatnya semua ahli Parlimen secara sukarela bersedia berganding bahu dengan Perdana Menteri melanjutkan tempoh darurat kerana mereka percaya (telah diyakinkan) bahawa lanjutan itu amat kritikal untuk memenangi ‘perang’ Covid-19. Dalam politik, tidak ada sesuatu yang mustahil.

Situasi sebaliknya juga boleh berlaku, iaitu cadangan Perdana Menteri melanjutkan tempoh darurat ditolak oleh majoriti ahli Parlimen. Situasi ini boleh kita namakan ‘senario kedua’, dan ini boleh ditafsirkan sebagai Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mengikut konvensyen, sekiranya Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, beliau terpaksa memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dan apa yang boleh berlaku selepas itu telah pun disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Perkara 40 Fasal (2)(b), Yang di-Pertuan Agong ada budi bicara untuk tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri agar membubarkan Parlimen.

Jika senario kedua ini menjadi kenyataan, rakyat akan melihat bagaimana kebijaksanaan istana menangani situasi ini berikutnya. Apakah akan ada suatu kerajaan minoriti, kerajaan perpaduan atau satu ‘formula penyelesaian’ baharu yang lain?

Kemungkinan lain

Tidak juga mustahil bagi Perdana Menteri tidak mencadangkan tempoh darurat dilanjutkan. Beliau boleh membuat pilihan membiarkan sahaja tempoh darurat luput yang bermakna Parlimen boleh secara sah kembali bersidang selepas 1 Ogos ini, dan begitulah juga Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Perlu diingat, penamatan darurat tidak memberi kesan kepada Ordinan Darurat yang diluluskan sebelum ini kerana di bawah Perkara 150 Fasal (7), ordinan tersebut boleh terus berkuat kuasa selama enam bulan selepas tarikh tamat darurat, kecuali ordinan itu dimansuhkan terlebih awal di bawah Fasal (3).

Dalam bahasa mudah, walaupun hayat darurat berakhir pada 1 Ogos ini, segala ordinan yang diluluskan semasa darurat terus sah dan berkesan, kecuali dimansuhkan (dibatalkan) menerusi ketetapan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ini bermakna, jika negara mahu kembali mengamalkan demokrasi berparlimen sepenuhnya, maka amat penting sekali Parlimen bersidang seberapa segera atau munasabah sebelum 1 Ogos ini.

Senario terbaik

Senario paling baik adalah Parlimen boleh bersidang seberapa segera, bermakna segala persiapan perlu dilakukan (misalnya menyediakan peraturan sekiranya perlu) hendaklah disegerakan.

Bila sudah bersidang, Parlimen boleh membahaskan cadangan pelanjutan darurat sekiranya perkara itu menjadi hasrat kerajaan. Jika sudah bersidang, ahli Parlimen dari kelompok pembangkang ada peluang (jika mereka mahu), secara sukarela bergabung tenaga dengan kerajaan memerangi pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memelihara kebajikan serta kepentingan rakyat.

Apabila ‘perang’ Covid-19 selesai atau sekiranya tahap imuniti kelompok dapat dicapai dan difikirkan selamat bagi negara mengadakan PRU-15, maka Perdana Menteri boleh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) boleh kembali mendapatkan mandat rakyat menubuhkan kerajaan bhaaru.

Pesanan seorang raja

Dalam karya unggul baginda bertajuk The Role of Constitutional Rulers, Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga bekas Ketua Hakim Negara menyatakan: “A King is a King, whether he is an absolute or constitutional monarch. The only difference between the two is that whereas one has unlimited powers, the other’s powers are defined by the Constitution. But it is a mistake to think that the role of a King, like a President, is confined to what is laid down by the Constitution. His role far exceeds those constitutional provisions.”

Dalam bahasa mudah, maksud baginda: “Jangan fikir kuasa raja hanyalah apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Kuasa raja lebih luas daripada itu.”
Sama-samalah kita renungi maksud baginda.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×