Tunjukkan sifat mesra pelanggan - Utusan Malaysia

Tunjukkan sifat mesra pelanggan

PENJAWAT awam perlu ikhlas ketika menjalankan tanggungjawab dengan tidak mencampur aduk masalah peribadi di tempat kerja. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADUAN orang ramai terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan awam seperti kurang budi bahasa, bercakap kasar, lambat menjawab panggilan telefon dan penguat kuasa mengasari peniaga jalanan sering kedengaran sejak akhir-akhir ini.

Walaupun ia dianggap kes terpencil, namun imej sektor awam tetap tercalar. Aspek pelanggaran budi bahasa tidak boleh dikompromi. Ia perlu diamalkan sepanjang masa.

Sifat mesra pelanggan mestilah ditunjukkan oleh penjawat awam selain mengamalkan budi bahasa yang baik dan nilai-nilai murni. Sifat ini juga dituntut dalam Islam.

Perkara ini bergantung kepada diri kakitangan awam itu sendiri. Jika mereka menganggap kerja itu sebagai ibadah, maka tugas tersebut perlu dilunaskan bersama amalan budi pekerti yang luhur.

Kebolehan mengawal perasaan amat penting ketika berurusan dengan orang ramai. Ia mempunyai kaitan dengan pengurusan emosi, sekali gus membolehkan seseorang itu berbudi bahasa.

Penambahbaikan dari semasa ke semasa perlu untuk meningkatkan mutu keberhasilan dan kebaikan para pekerja terutama bagi mereka yang berkhidmat di barisan hadapan, kaunter, setiausaha pejabat, setiausaha akhbar, setiausaha politik, termasuk mereka yang berurusan dengan orang ramai.

Penjawat awam perlu bertindak secara matang dalam mengawal suasana bagi meningkatkan imej dan reputasi perkhidmatan awam. Jangan campur aduk masalah peribadi dan politik di tempat kerja.

Apabila kerajaan mengumumkan bantuan kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri, penjawat awam perlu tekad untuk berkhidmat dengan lebih mesra dan kompeten.

Kayu ukur atau penanda aras penyampaian perkhidmatan adalah terletak di tangan pelanggan.

YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya