TAIPING: Tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun melibatkan perjanjian bagi tempoh selama 25 tahun.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, perjanjian itu merupakan kerjasama antarabangsa yang dipersetujui di antara Zoo Tennoji dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili oleh MPT dan telah dipersetujui pada Mei dan Oktober 2022.
“Perjanjian ini adalah bagi tempoh 25 tahun. Program seumpama ini telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook MPT hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan baik.
Katanya, haiwan tersebut dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan atau mahut yang berpengalaman.
“Berdasarkan rekod pemantauan kesihatan terkini daripada Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor tersebut menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten.
“Berat badan Kelat naik sebanyak 440 kilogram, Dara naik 215kg dan Amoi naik 200kg.
“Perkembangan ini mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian haiwan yang baik serta terkawal, sekali gus menunjukkan kebajikan haiwan berada pada tahap tinggi dan mematuhi amalan terbaik pengurusan haiwan liar dalam kurungan,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah proaktif dan komitmen terhadap ketelusan, pihak MPT akan menyediakan laporan berkala secara mingguan berhubung keadaan haiwan berkenaan berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada Zoo Tennoji.
Katanya, laporan akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.
“Pihak MPT juga akan terus berhubung secara langsung dengan pihak pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN










