'Kuatkan jentera, bersedia hadapi apa sahaja yang mendatang'

‘Kuatkan jentera, bersedia hadapi apa sahaja yang mendatang’

AMINUDDIN Harun ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan perlu mula menguatkan jentera parti itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya dalam masa terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua kepemimpinan parti termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu juga perlu memastikan negeri ini terus dapat diuruskan dengan baik

“Kita mahu tunjukkan bahawa kita akan terus bekerja. Barisan Exco, ADUN dan pimpinan parti harus memastikan negeri ini terus diurus dengan baik.

“Kita akan serahkan pilihan raya untuk kita lawan sesiapa pun yang ingin berhadapan dengan kita. Apa yang penting hari ini, kita perlu kuatkan jentera, kukuhkan saf dan bersedia menghadapi apa sahaja yang mendatang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam ini.

Aminuddin sementara itu, berterima kasih kepada rakyat negeri ini yang terus memberikan sokongan ketika dirinya dan kerajaan negeri berdepan isu penarikan sokongan.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini perlu dijadikan sebagai satu pengajaran dan pembelajaran kepada semua pihak agar kekal tenang serta sabar dalam menghadapi sebarang ujian politik.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan serta memberikan sokongan kepada saya dan PH, sekali gus memberi kekuatan kepada kami. Apa yang berlaku ini perlu dijadikan sebagai didikan supaya kita terus matang dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Aminuddin berkata, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan parti berhubung kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang memaklumkan kesemua 14 ADUN dari Barisan Nasional (BN) kekal hilang percaya terhadapnya.

“Tidak apa, kita tunggulah, komen daripada pimpinan mereka pula. Tunggu pimpinan. Pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN