Tok makan apa tu? - Utusan Malaysia

Tok makan apa tu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memandang­kan cuti semester baru sahaja bermula, aku bercadang menangguhkan rancangan untuk pulang ke kampung kerana rakan sebilikku, Ikmal beria-ia benar mengajakku untuk menemaninya pulang ke kampung datuknya yang terletak di satu daerah terpencil di Hulu Perak.
Sebagai kawan rapat, aku bersetuju. Lagipun katanya kami pergi pun bukannya lama, hanya tiga hari. Menurut Ikmal sudah lama dia tidak menziarahi datuk dan neneknya, sejak keluarganya berpindah ke Taiping setahun lalu.
Petang itu sebaik sampai, kami disambut mesra oleh mereka. Walaupun usia datuk dan neneknya sudah lebih separuh abad, namun masih sihat. Rumahnya bersih dan persekitarannya nampak terjaga.
Malam itu selepas menikmati juadah, kami berborak di dapur. Macam-macam yang kami bualkan. Datuk dan neneknya juga cukup sporting, sanggup mendengar cerita kami terutamanya tentang pelajaran.
Hampir satu jam berborak, akhirnya Ikmal beritahuku dia hendak masuk tidur. Aku angguk kepala. Aku beritahu kepadanya mataku masih belum menggantuk, jadi aku ingin baring sebentar di anjung rumah sambil menonton TV. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Aku baring di sofa anjung rumah sambil membelek telefon di tangan Suasana malam cukup sunyi. Sedang leka membelek telefon, datuk ikmal muncul tiba-tiba di hadapanku. Aku tersentak.
“Eh, kenapa tidur di anjung ini? Pergilah masuk ke bilik,” katanya sambil membetulkan ikatan gulung kain dipakainya.
“Eh, tak apalah tok. Sekejap lagi saya masuk lah. Lagipun mata ini tak mengantuk lagi,” kataku sambil tersengih.
Dari kelam cahaya lampu yang disangkut dipaku tiang seri, aku dapat melihatnya dengan jelas. Nampak matanya liar memerhati sekeliling seakan mencari sesuatu.
“Eh, atuk mengapa tak tidur lagi? Dah lewat ini,” tanyaku kepadanya. Dia tidak membalas pertanyaanku. Matanya masih meliar seakan mencari sesuatu. Aku yang berasa kurang selesa terus bangun dan duduk menghadapnya.
“Nak tidurlah ini. Kau jangan pula tidur di anjung ini. Pergi temankan Ikmal di dalam itu,” katanya lagi.Aku angguk perlahan. Fikirku mungkin dia tidak selesa melihat tetamu tidur di luar. “Dah, nanti jangan lupa masuk tidur. Sudah lewat malam ini. Jangan tidur seorang dekat depan ini pula,” katanya mengingatkan aku sebelum melangkah ke dapur.
Aku angguk sambil tersengih. Sesekali aku picit tengkukku yang berasa lenguh gara-gara seharian berada di dalam bas.
Tidak lama kemudian, aku berasa mataku semakin berat mengantuk. Aku tukar siaran TV, malangnya semua rancangan pada malam itu langsung tidak menarik.
Selesai menutup TV, aku menuju ke dapur untuk ke tandas. Tiba-tiba aku tergamam.
Di meja makan aku lihat satu sosok yang tak ubah seperti datuk Ikmal sedang duduk sambil menikmati hidangan di meja dengan lahapnya.
Nampak taburan nasi dan tulang-tulang ikan berselerakan di atas meja. “Eh, atuk tak tidur lagi ke? Makan apa malam-malam ni,” tanyaku sambil menuruni anak tangga untuk ke tandas. Pertanyaanku tidak dijawab. Sosok tersebut masih leka makan sambil menundukkan muka ke arah pinggan di hadapannya. Nampak dia sangat berselera sekali.
Dalam hatiku terdetik rasa pelik. Rasanya tadi datuk Ikmal sudah makan bersama kami, dua pinggan juga bertambah nasi, takkan dia masih lapar lagi, fikirku dalam hati.
“Atuk makan apa tu?” tanya ku sekali lagi. Kalau-kalau dia tidak mendengar pertanyaan ku tadi. Dia masih tidak menjawab. Dia hanya leka menikmati makanan di hadapannya. Sesekali dia mencampakkan tulang dan sisa-sisa lauk berhampiran pinggannya.
Aku hampirinya setelah dia tidak memberi sebarang reaksi. Ketika itulah aku dengar suaranya yang merengus seakan tidak berpuas hati melihat aku menghampirinya.
Aku tersentak. Terus aku batalkan niat dan menuju ke tandas. Sebaik keluar aku terkejut. Sosok yang menyerupai datuk Ikmal tadi sudah tiada di meja makan. Aku garu kepala. Pelik pula rasanya kerana sekejap tadi dia ada di situ, sudah hilang pula.
Tiba-tiba bulu tengkukku meremang. Aku perasan semua sisa tulang yang berselerakan di atas meja tadi sudah bersih. Aku intai baki lauk pauk di setiap mangkuk dan pinggan, semuanya sudah habis licin. Aku tergamam.
Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tanpa buang masa aku bergegas naik ke anjung dan masuk ke bilik.
Aku lihat Ikmal sedang lena tidur. Aku tarik selimut dan berselubung. Sehingga ke pagi mataku tidak boleh lelap, fikiran masih dihantui apa yang ku lihat sebentar tadi. Ketika itu juga telingaku dapat menangkap pelbagai bunyi aneh di sekeliling rumah.
Tidak sedar jam berapa akhirnya aku terlelap. Sebaik bangun, cahaya matahari sudah cerah menembusi jendela. Ikmal juga sudah tiada di bilik. Sebaik turun ke dapur aku lihat Ikmal dan datuknya sedang menikmati sarapan sambil neneknya pula sibuk membasuh pinggan mangkuk yang berlonggok di sinki berhampiran.
“Haa… dah bangun pun kau. Aku malas kejut tadi, tengok bukan main lena kau tidur,” kata Ikmal ketawa sambil mengajakku sarapan bersama.
Aku hanya tersengih. Sesekali aku jeling ke arah datuknya yang berada di hadapannya ketika itu.
“Pukul berapa tidur malam tadi?” tanya datuknya kepadaku.
“Entahlah tok, rasanya dalam pukul 1 kot,” kataku teragak-agak. “Oh, lewat tu… atuk lepas saja makan malam terus masuk tidur. Dah tua-tua ini mata pun tak larat nak berjaga lewat malam dah,” katanya sambil menuang air untukku.
“Err… atuk tak bangun dan keluar makan lagi ke malam tadi? tanyaku inginkan kepastian.
“Eh, tak adalah. Tok kalau dah masuk tidur memang tak bangun dah,” katanya sambil tersengih.
Aku terdiam mendengar jawapannya. Jika benarlah apa yang diperkatakan datuknya itu, maka siapa yang menegurku di anjung rumah? Dan siapa pula yang aku lihat sedang makan di meja ini malam tadi?
Aku terdiam. Rasanya ingin sahaja aku tanya Ikmal tentang apa yang ku lihat malam tadi tetapi rasa tidak manis pula. nanti apa pula fikirnya. Jadi aku ambil keputusan untuk rahsiakan sahaja. Yang pasti memang ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang terjadi di rumahnya malam tadi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya