BARU-BARU ini, Rusia meraikan hari kemenangan Perang Dunia Kedua setelah Nazi Jerman menyerah kalah pada 8 Mei 1945. Perang yang memakan masa lebih enam tahun itu telah meragut lebih 60 juta nyawa yang kebanyakannya adalah dalam kalangan penduduk awam.
Kesatuan Soviet dan sekutunya diangkat sebagai hero memandangkan mereka telah berjaya memusnahkan fahaman fasis tajaan pemimpin Nazi, Adolf Hitler yang songsang itu.
Ramai umat Islam termasuk di Malaysia turut meraikan hari kemenangan tersebut dengan kesyukuran. Tidak kurang juga dengan penulisan artikel yang cuba mengaitkan tentang penglibatan umat Islam dalam ketenteraan Soviet.
Apa yang sangat menyedihkan penulis ialah tatkala umat Islam di Malaysia melaungkan slogan antikomunis, mereka secara tidak sedar menyokong Kesatuan Soviet yang dilihat sebagai bapa kepada fahaman komunis di seluruh dunia yang telah membunuh ramai nenek moyang dan para pejuang di tanah air kita.
Bertambah malang lagi melihatkan ramai yang tidak cakna dengan jenayah Kesatuan Soviet ke atas umat Islam sama ada dalam wilayah ditadbirnya atau peringkat dunia.
Ini semua disebabkan kekurangan pendedahan tentang jenayah Kesatuan Soviet memandangkan dunia begitu aktif menceritakan tentang kezaliman Hitler dan Nazi Jerman.
Antara jenayah Kesatuan Soviet ialah pengusiran dan pembersihan etnik umat Islam Tatar Krimea pada Mei 1944. Fakta mencatatkan bahawa hampir 200,000 penduduk Tatar Krimea diusir keluar dari tanah asal mereka ke Siberia dan Asia Tengah dengan alasan kononnya mereka telah mengkhianati kesatuan itu pada Perang Dunia Kedua.
Umat Islam ini terpaksa berhimpit-himpit dalam gerabak kereta api tanpa makanan dan minuman selama berminggu-minggu lamanya. Ramai yang terbunuh dalam perjalanan dan ratusan daripada mereka juga dibunuh dengan cara dilemaskan ke dalam Laut Azov.
KELAPARAN
Kini, sebahagian kecil warga Tatar Krimea telah pulang semula ke Krimea yang pada hari ini merupakan wilayah dalam Ukraine. Pada 2014, Rusia di bawah arahan pemimpin diktatornya, Vladimir Putin telah mengarahkan pencerobohan ke atas Krimea dan melakukan penjajahan haram sehingga ke hari ini.
Itulah sebab mengapa umat Islam wajib bersuara dalam isu Krimea ini kerana ia sangat terkesan kepada saudara kita di sana. Bagaimanapun, sebelum warga Tatar Krimea diusir, hampir 40,000 umat Islam Balkar telah pun merasai neraka dunia itu kerana turut diusir.
Kerakusan pemimpin Kesatuan Soviet sewaktu itu, Joseph Stalin dalam membantai umat Islam tidak terhenti di situ. Pada November 1944, beliau sekali lagi telah mengarahkan pengusiran hampir 115,000 penduduk beretnik Meskhetian Turks.
Seperti biasa, kebanyakan daripada mereka mati kelaparan dan kehausan sewaktu dalam perjalanan. Pengusiran tersebut dibuat semata-mata untuk menekan musuh tradisi mereka, Turki.
Setelah penjajahan baharu Rusia ke atas wilayah Donbass, Ukraine pada 2014, sekali lagi, lebih 2,000 penduduk Meskhetian Turks dihalau keluar dari tanah air mereka. Di mana pandangan yang mengatakan kononnya Putin itu bertoleransi dengan umat Islam?
Ayuh, kita baca lagi, lebih 400,000 umat Islam etnik Chechen dan Ingush terbunuh sewaktu dalam tempoh pengusiran ke kem-kem buruh Kesatuan Soviet pada Februari hingga Mac 1944.
Sekurang-kurangnya 100,000 anggota tentera komunis Kesatuan Soviet turut serta dalam edisi pengusiran tersebut. Kebanyakan terbunuh disebabkan kesejukan musim sejuk yang jatuh sehingga bawah paras 50 darjah celcius.
Pepatah Melayu ada menyebut, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, begitulah kita boleh sifatkan dengan apa yang berlaku pada umat Islam di Chechnya setelah pembubaran Soviet pada 1991, sangkaan mereka untuk mengecapi keamanan dirobek sekali lagi dengan konflik Rusia-Chechnya pada 1994 dan 1999.
SYAHID
Ini termasuk penjajahan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan selama 10 tahun dan lebih 250,000 pejuang negara itu direkodkan syahid di medan perang.
Antara peristiwa menyayat hati ialah kejadian pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk di perkampungan Laghman pada 1985. Sekitar 1,000 umat Islam Afghanistan disembelih dengan sadis hanya kerana mereka mempertahankan akidah daripada mengimani fahaman komunis.
Sebenarnya, terlalu banyak untuk dicatatkan tentang jenayah Kesatuan Soviet ke atas umat Islam. Namun, perlu diketahui juga bahawa pada hari ini, kehidupan umat Islam di Rusia masih dalam situasi sama.
Mereka didiskriminasi dan sentiasa menjadi mangsa perkauman dan jenayah warga Rusia. Malangnya, disebabkan tiada hak kebebasan bersuara dan sekatan media di sana, kita tidak dapat mendengar atau membaca rintihan umat Islam yang tertekan sepertimana yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Khabib Nurmagomedov, petarung seni bela diri campuran asal Dagestan ini pernah menggempar dunia beberapa tahun lalu. Namanya menjulang tinggi kerana berjaya memenangi kesemua perlawanan tanpa kekalahan.
Namun, perlu diketahui bahawa Khabib tidak pernah sesekali mengibarkan bendera Rusia bahkan rata-rata warga Rusia sama sekali tidak menyokongnya. Ramai daripada mereka yang memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap seterunya, Conor McGregor.
Bahkan sebelum kemenangan Khabib ke atas McGregor, Putin hanya berminat untuk bertemu dengan McGregor sahaja. Hari ini sebahagian warga Rusia menyebut Khabib sebagai ‘pahlawan Rusia’, namun, lucunya, sekiranya Khabib tewas sewaktu pertempuran tersebut, beliau pasti akan disebut sebagai ‘warga Dagestan’. Begitulah hipokritnya kaum kulit putih.
Tiada beza antara AS dan Rusia, Stalin dan Hitler, Putin dan Donald Trump kerana walau mereka berbeza pandangan dalam hal ehwal politik sekalipun, mereka tetap akan bersatu apabila berhadapan dengan umat Islam.
Penulis berharap umat Islam tidak termasuk ke dalam perangkap propaganda Rusia yang cuba membersihkan imej mereka melalui manipulasi dan kekeliruan fakta. Jangan jatuh ke lubang sama dua kali! Sedarlah.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.











