SEJAK akhir-akhir ini berita mengenai isu integriti terutamanya berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering diperkatakan masyarakat.
Malah warga PDRM cenderung terus ‘dihukum’ apabila membuat sesuatu kesilapan atau mengambil tindakan yang tidak menyebelahi kepentingan mereka.
Walhal, sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh pada 18 Mac 2020, peranan PDRM amat besar dalam memastikan rakyat mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Kita sering melihat di mana-mana, sekatan jalan raya akan dikawal anggota PDRM tanpa mengira masa, waktu serta cuaca selain turut menggadaikan nyawa menjaga keselamatan sempadan negara sama ada di darat mahupun laut.
Ada juga warga PDRM sanggup membantu masyarakat yang terkesan dengan desakan hidup seperti kes seorang ibu yang disyaki mencuri di sebuah pasar raya baru-baru ini.
Malangnya, masyarakat kita tidak melihat ‘kebaikan’ itu sebaliknya ramai mencari jalan dan peluang untuk terus mengkritik PDRM.
Mengakui cabaran yang bakal dipikul, Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bertekad merapatkan kembali jurang antara warga PDRM dengan masyarakat selain mewujudkan semula kepercayaan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.
Tiga fokus utama digariskan Acryl Sani dalam memimpin PDRM ke arah sebuah pasukan polis yang menjaga keamanan, berintegriti dan berkhidmat untuk masyarakat.
Tiga fokus berkenaan adalah untuk memperkasakan integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan serta meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
TELEFON PINTAR
Bagi memperkasakan integriti beliau mencadangkan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) diadakan di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai polis.
“LDP berkenaan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menerangkan topik semasa yang sentiasa menjadi isu.
“Sebagai contoh, kita selalu melihat seseorang anggota polis itu teragak-agak dengan apa tindakan yang perlu dibuat apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.
“Zaman sekarang adalah zaman telefon pintar dengan masyarakat merakamkan tindakan PDRM berhadapan sesuatu situasi dalam bentuk video dan ini sekali gus menghakis keyakinan masyarakat terhadap kemahiran dan kecekapan PDRM yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, kelmarin sempena pelantikan beliau sebagai KPN ke-13 berkuat kuasa pada Selasa lalu.
Acryl Sani berazam untuk mengatasi perkara itu dengan melakukan perubahan dalam budaya kerja untuk menjadikan PDRM lebih berintegriti dan mempunyai jati diri.
Beliau juga tidak melupakan tumpuan kepada fokus kedua iaitu memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM.
Perkhidmatan itu bukan sahaja di kaunter pertanyaan balai polis atau di sekatan jalan raya (SJR) malah, ia diaplikasikan di mana-mana sahaja, tatkala berlakunya interaksi anggota PDRM dengan masyarakat.
“Disitulah berlaku proses perkhidmatan yang bermula kerana PDRM adalah satu organisasi dengan cogan kata Sedia Berkhidmat.
“Cogan kata berkenaan bukan sahaja untuk masyarakat bahkan sesama anggota polis sendiri turut bersedia berkhidmat. Sebagai contoh, anggota polis yang bertugas dalam unit sokongan seperti mekanik dan juruteknik yang memerlukan bantuan antara satu sama lain dalam perkhidmatan,” katanya.
Beliau juga meminta semua pegawai dan anggota polis agar bersikap lebih mesra ketika berurusan dengan masyarakat yang memerlukan bantuan PDRM.
“Saya sering dengar orang ramai dikasari di pejabat pertanyaan dalam bahasa kasar dengan sindiran yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
“Ia satu perkara yang perlu dihentikan di setiap genap aspek di mana perkhidmatan diberikan sama ada di kaunter pertanyaan atau di lokasi SJR,” katanya.
COVID-19
Satu lagi fokus yang diberikan tumpuan oleh Acryl Sani adalah meneruskan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat. Sehubungan itu, PDRM akan sentiasa membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 serta memastikan SOP dipatuhi rakyat.
“Jika sebelum ini, fokus utama PDRM adalah ancaman jenayah yang memberi cabaran kepada kita, namun, sejak tahun lalu cabaran itu telah berubah apabila negara dilanda wabak Covid-19,” ujarnya.
Ini bermakna, PDRM akan terus membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak berkenaan kerana kes Covid-19 dilihat masih membimbangkan dan meningkat sejak kebelakangan ini.
“Saya perhatikan masyarakat seolah-olah sudah mula lesu dengan pematuhan SOP tetapi kita tidak boleh leka dan mereka harus faham bahawa wabak ini berada di mana-mana sahaja.
“Saya faham apa yang dialami oleh mereka (lesu dengan pematuhan SOP) bahkan ramai petugas kesihatan dan warga PDRM mengalami kelesuan tetapi mereka terus tekun.
“Jangan jadikan kebosanan untuk mematuhi SOP ini sebagai perkara yang diambil ringan. Jika tidak patuh SOP, dibimbangi penularan wabak itu tidak terkawal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Acryl Sani turut memberi jaminan PDRM sesekali tidak akan megabaikan kebajikan pesara polis.
Malah arahan akan dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah di seluruh negara untuk membuat semakan mengenai bekas anggota dan pegawai agar maklumat terkini mereka dikemas kini ke Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Bukit Aman.










