Sampai bila nak minum ‘teh tarik kaw’? - Utusan Malaysia

Sampai bila nak minum ‘teh tarik kaw’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali selepas hujan lebat, kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman daerah Baling dan Sik, Kedah yang menggunakan air bukit mengeluh apabila bekalan yang diterima keruh dan berlumpur.

Penduduk terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada air bukit tidak mempunyai pilihan lain, terpaksa menggunakan air tersebut walaupun telah bertukar warna sama seperti ‘teh tarik kaw’ dan bercampur selut dalam masa beberapa hari.

Keadaan tersebut dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal sehingga mengancam kolam tadahan air yang dibina penduduk di kawasan bukit terlibat. Difahamkan kegiatan pembalakan tersebut mempunyai permit yang sah dikeluarkan oleh kerajaan negeri, namun tidak dipantau sepenuhnya oleh agensi berkaitan.

Masalah tersebut didakwa telah lama berlarutan di beberapa kampung di dua daerah berkenaan tetapi tiada tindakan drastik diambil untuk memulihkan bekalan air bukit yang tercemar itu.

Sebelum ini, bekalan air bukit atau dikenali sebagai ‘air masyarakat’ yang diterima oleh penduduk untuk kegunaan harian seperti mandi, memasak dan membasuh pakaian cukup jernih dan tidak tercemar.

Malah terdapat penduduk yang meminumnya tanpa perlu dimasak. Selain itu, mereka hanya dikenakan bayaran antara RM3 hingga RM5 sebulan untuk mengupah penduduk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, penduduk kini kesal dan marah apabila mereka mendakwa terpaksa kerap menggunakan air bukit yang keruh dan berlumpur selepas hujan. Kebanyakan penduduk terlibat juga tidak menggunakan bekalan air yang disalurkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana mereka tidak mampu membiayai kos pemasangan paip air.

Selain itu, beberapa kawasan di pedalaman pula tidak mendapat bekalan air SADA dengan sempurna kerana masalah tekanan air rendah sehingga tiada air keluar dari paip.

Pengerusi Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (Peka) Kedah, Mohd. Sobri Ramlee mendakwa, masalah bekalan air bukit yang keruh dan tercemar telah lama berlaku di kawasan-kawasan tertentu di sekitar Baling dan Sik.

Menurutnya, masalah tersebut sentiasa berbangkit selepas terdapat kegiatan pembalakan yang tidak terkawal.

“Kerja-kerja pembalakan sepatutnya dikawal terutama di zon penampan dalam memastikan kawasan kolam tadahan air bukit milik penduduk tidak terancam dan rosak, selain menjamin kelestarian alam sekitar.

“Syarikat pembalakan dan agensi terlibat sepatutnya prihatin dengan tidak melakukan penebangan di kawasan berhampiran kolam tadahan air bukit itu,” katanya.

Mohd. Sobri memberitahu, Peka telah lama memperjuangkan isu tersebut, namun seolah-olah tidak diambil peduli oleh agensi terlibat termasuk kerajaan negeri.

PENDUDUK tidak mempunyai pilihan lain, terpaksa menggunakan air bukit yang warnanya sama seperti ‘teh tarik kaw.’ – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

CSR

Beliau memberitahu, antara kawasan pembalakan yang serius sehingga merosakkan kolam tadahan air berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Hutan Simpan Gunung Inas, Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Rimba Teloi.

“Kajian impak sosial (SIA) dengan mendapat maklum balas daripada penduduk dan jabatan berwajib juga perlu dilakukan secara telus sebelum kerja-kerja pembalakan dijalankan di kawasan terbabit,” ujarnya.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu menangani isu ini dengan serius, bukan sekadar melepas batuk di tangga memandangkan masalah bekalan air bukit tercemar telah lama berlarutan dan tiada jalan penyelesaian terbaik.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini memberitahu, tiada jaminan daripada mana-mana pihak terhadap kolam tadahan yang terdapat di kawasan yang terlibat dengan pembalakan.

“Penggantian itu (kolam tadahan air) biasanya dibuat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kepada penduduk terjejas.

“Jadi, kita berharap syarikat terlibat dapat membantu jika kerja mereka benar-benar telah menjejaskan kualiti air digunakan penduduk,” kata Muhammad Sanusi.

Dalam pada itu, perkhabaran kerajaan negeri akan menaik taraf loji rawatan air (LRA) di Sungai Limau, Baling dan LRA Bukit Selambau di Kuala Muda diharapkan mampu mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan pedalaman di Baling dan Sik.

Baru-baru ini, kerajaan negeri memberi penganugerahan dua projek LRA itu kepada syarikat Widad Business Group (Widad) yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Kerja-kerja menaik taraf LRA di Sungai Limau itu melibatkan kontrak bernilai RM89.8 juta manakala LRA Bukit Selambau pula bernilai RM129.4 juta.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×