Program vaksinasi lonjak ekonomi negara - Utusan Malaysia

Program vaksinasi lonjak ekonomi negara

PERTUMBUHAN ekonomi negara bergantung kepada kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENULARAN Covid-19 di Malaysia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, walaupun banyak pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan termasuklah bantuan Prihatin dan sebagainya, namun peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih berada pada tahap negatif.

Keadaan ini berlarutan sehinggalah pada 9 November yang lepas, syarikat Pfizer Biontech memperkenalkan vaksin dengan kadar keberkesanan sebanyak 94 peratus dan tidak lama selepas itu syarikat Moderna pula mengeluarkan vaksin dengan kadar keberkesan sebanyak 94.5 peratus. Ini merupakan berita yang ditunggu-tunggu kerana dilihat sebagai satu sinar harapan bagi membanteras virus ini.

Kerajaan amat bersifat proaktif apabila bergabung dengan pelbagai agensi luar bagi mendapatkan bekalan vaksin. Pada 21 Februari lalu, kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Kejayaan program imunisasi ini hanya dicapai menerusi imuniti kelompok yang melibatkan lebih 80 peratus rakyat sebagai penerima vaksin.

Apabila menerima vaksin, sudah pasti tahap kesihatan rakyat berada pada tahap optimum dan kadar jangkitan akan semakin menurun. Ini sekali gus dapat meningkatkan produktiviti negara.

Lambat laun prosedur operasi standard (SOP) akan dilonggarkan dan tiada lagi sekatan rentas negeri. Apabila sekatan rentas negeri dimansuhkan, sudah pasti ekonomi akan kembali rancak seperti sediakala. Keadaan ini sedikit sebanyak dapat menarik perhatian dan meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara dan kesannya sudah pasti banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan dan ini merupakan peluang yang ditunggu-tunggu oleh segelintir masyarakat terutamanya yang hilang pekerjaan sejak PKP 1.0.

Impak program vaksinasi kepada ekonomi negara mula dilihat apabila Bank Dunia meramalkan peningkatan ekonomi Malaysia pada kadar 6.7 peratus. Ini jelas menunjukkan bahawa Bank Dunia amat yakin dengan kejayaan program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan.

Ramalan ini sejajar dengan perkembangan beberapa buah negara yang telah menerima vaksin seperti di Amerika Syarikat. Ekonomi negara itu berkembang sebanyak 3.5 peratus, Jepun (2.5 peratus) dan China (7.9 peratus).

Ekonomi Malaysia dijangka pulih dalam tahun 2022. Ini kerana program pemberian vaksin sahaja sudah memakan masa sehingga hujung tahun. Diharapkan ia menepati ramalan yang disasarkan oleh Bank Dunia.

Sebagai rakyat, kita haruslah memastikan program vaksinasi ini berjaya kerana vaksin bukan sahaja melindungi diri malah orang di sekeliling.

DR. NURAZILAH ZAINAL
Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya