Perluas kempen Malaysia destinasi selamat dilawati - Utusan Malaysia

Perluas kempen Malaysia destinasi selamat dilawati

KERAJAAN melalui Kementerian Kesihatan boleh mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada sektor ekonomi dan antara paling terjejas teruk ialah industri pelancongan.

Tempahan hotel dibatalkan, jumlah kursus dikurangkan, perjalanan antara negeri dibataskan dan pelbagai syarat serta prosedur operasi standard (SOP) ketat diperkenalkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan penularan wabak terbabit kekal terkawal.

Secara tidak langsung, industri pelancongan tidak mempunyai pendapatan sehingga sebahagian syarikat gulung tikar.

Statistik yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia menunjukkan pendapatan daripada sektor pelancongan pada 2020 hanya RM12.7 bilion berbanding RM86.1 bilion pada 2019.

Krisis yang melanda industri pelancongan perlu diberi perhatian. Sektor pelancongan penting bagi menjana pendapatan negara. Pelbagai inisiatif boleh dirancang sekarang yang boleh dilaksana pasca Covid-19.

Antaranya memperluaskan kempen Malaysia Destinasi Selamat Dilawati. Kempen seperti ini perlu difokuskan kepada negara luar yang mempunyai permintaan tinggi seperti China.

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan boleh mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik dengan penawaran pakej-pakej menarik sekali gus meletakkan negara sebagai destinasi pilihan.

Selain itu, penggiat industri pelancongan perlu menekankan aspek pematuhan kepada SOP yang selamat serta mesra pelancong dalam usaha meyakinkan pelancong luar negara untuk terus datang tanpa rasa bimbang.

Bagi memastikan kelangsungan hidup industri pelancongan, adalah penting bagi pihak berwajib dan semua pihak berkepentingan memberi fokus kepada pasaran domestik. Ia adalah kunci untuk industri pelancongan negara segera pulih.

DR. ZALIHA ZAINUDDIN
Ketua Bidang Pelancongan
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya