Kenyataan kerajaan memulakan pemberian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca (AZ) kepada pemohon sukarela menerusi Pusat Pemberian Vaksin khas amat wajar dan dialu-alukan. Tindakan berkenaan diputuskan susulan kegusaran rakyat mengenai keselamatan vaksin itu. Kegusaran ini tercetus kerana kurangnya maklumat menyakinkan kepada pengguna.
Begitu juga kenyataan pemberian vaksin yang dimulakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19 kerana jumlah kes positif jangkitan di kedua-dua negeri adalah lebih tinggi umumnya. Turut serta adalah pemberian vaksin AZ kepada kerajaan negeri Sarawak memandangkan ia merupakan negeri yang direkodkan mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang tinggi setakat ini. Oleh itu, AZ tidak diarus perdanakan seperti vaksin sebelum ini.
Difahamkan juga vaksin AZ hanya akan diberikan kepada pemohon sukarela yang sudah melihat segala fakta mengenai vaksin itu dan penilaian kesihatan ke atas mereka akan dibuat. Hakikat ini penting kerana ia selaras dengan prinsip penggunaan ubat-ubatan untuk pesakit atau penerima ubat-ubatan itu berhak mengetahui segala maklumat tentang ubat-ubatan (termasuk vaksin) yang disasarkan kepadanya sebelum ia setuju untuk menggunakannya. Soalnya kini, adakah ‘segala fakta’ yang dijanjikan telah dimaklumkan? Ia bukan setakat janji tetapi hak kepenggunaan yang diamal di seluruh dunia sebagai asas penggunaan ubat-ubatan secara rasional.
Malangnya amalan ini sering tidak dilakukan dengan sempurna kerana ingin meraih keuntungan sebanyak mungkin. Bibit-bibit ini dapat dirasai dalam ‘perlumbaan’ menjual vaksin kepada negara kaya dan maju, sedang negara-negara miskin dicicirkan dengan sengaja walaupun mereka juga mempunyai hak kesihatan yang sama, apalagi memandangkan virus Covid-19 tidak memilih negara, bangsa atau darjat kekayaan. Namun, amalannya berbeza dan rakyat wajar memahami percaturan ekonomi tamak haloba yang turut diamalkan. Oleh itu, wajar berwaspada supaya tidak terlibat dengan muslihat percaturan tersebut. Semua rakyat berhak mendapatkan yang terbaik sepertimana golongan lain.
AYAM TAMBATAN
Pada awal lagi, vaksin AZ diakui bermanfaat walaupun kesan sampingan yang didapati berlaku. Malah dianggap ayam tambatan pada jangkaan awal kerana beberapa fakta seperti penggunaan teknologi yang mantap dan mudah disimpan dan diangkut berbanding jenama lain yang telah mula digunakan terdahulu. Apatah lagi melibatkan Universiti Oxford sebagai rakan penyelidiknya dan ditawar dengan harga berpatutan secara nisbi. Namun malangnya, semua aspek positif ini tidak dapat bertahan mengatasi jenama lain apabila dibandingkan dari segi kadar ‘kemujaraban’ dan juga kesan sampingan yang mula menggugat nyawa si penerima seperti laporan yang diterima oleh badan-badan berwibawa di banyak negara. Akibatnya, penggunaan vaksin tersebut terpaksa digantung buat sementara dan digunakan semula selepas beberapa perubahan syarat penggunaan dikenakan bagi mengelakkan lebih ramai penerima vaksin tersebut mengalami gejala pembekuan darah dalam otak mengikut prinsip penggunaan rasional tadi. Hal-hal ini tidak dilaporkan untuk mana-mana jenama lain setakat ini, walaupun telah digunakan lebih dahulu dan melibatkan lebih ramai penerima di seluruh dunia termasuk Malaysia. Jelas jangkaan AZ sebagai ayam tambatan mula meleset dan bukannya lagi pilihan terbaik. Ini wajar diberi maklum kepada semua rakyat dan bakal menerima suntikan AZ oleh kerana “pemberian vaksin ini tidak dihadkan kepada mereka yang layak untuk menerima vaksin dalam fasa dua PICK,” mengikut sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), minggu lalu.
Kini Malaysia telah pun menerima 268,800 dos vaksin AZ dan dibuka kepada semua. Siapa cepat, dia yang dapat vaksin AZ. Diberitakan semua tempahan telah pun dipenuhi dalam masa singkat. Pun begitu, kerajaan negeri Sarawak tidak bersetuju dan tegas dalam keputusan AZ bukan untuk rakyatnya!
Berlatar belakang fakta dan perkembangan mutakhir, jelas AZ bukannya pilihan pertama antara vaksin yang sedia ada kini. Ini turut disokong beberapa badan berwibawa negara lain. Ada antaranya terus menggantung sama sekali penggunaannya seperti di Denmark, Norway, dan Hong Kong. Sedangkan Israel dilaporkan cuba melencongkan penghantaran vaksin tersebut ke tempat lain kerana tidak akan menggunakannya bagi rakyatnya. Amerika Syarikat (AS) juga berbuat demikian (terkini AZ dihantar ke India dan Mexico) kerana AZ masih belum pun berdaftar di negara itu sehinggalah kini. AS memberikan tumpuan kepada jenama utama lain yang telah disuntik kepada lebih 100 juta orang tanpa muslihat setakat ini.
PETIR
Pada umumnya ada pihak menyamakan kesan sampingan AZ, khususnya pembekuan darah di saluran otak dikatakan terlalu kecil berbanding kekerapan terpanah petir kepada sesiapa sahaja. Perbandingan ini kurang sesuai.
Pertama, dalam kes panahan petir, tidak sesiapa yang memilih mendedahkan diri apabila petir sedang sabung-menyabung. Sebaliknya masing-masing berlumba menyelamatkan diri sebaik mungkin.
Sikap tersebut berbeza apabila bakal pengguna vaksin diuar-uarkan mendaftar untuk disuntik dengan jenama yang jelas terbukti berisiko tidak kira sekecil mana pun.
Kedua, jika pun diandaikan disambar petir, seseorang itu sama ada terselamat atau sebaliknya, terpulanglah.
Berbeza dengan vaksin, selepas disuntik ke dalam badan, ia seolah-olah berterusan sedangkan petir berlaku berulang kali.
Pendek kata, penting kita semua peka dengan cara maklumat di(salah)gunakan untuk tujuan tertentu. Maka tidak hairanlah yang laporan terkini perniagaan syarikat AZ mencatat ratusan juta keuntungan, walaupun jualan vaksin tidak sebeberapa dalam pasaran vaksin global. Rangkuman perkembangan ini perlu dimaklumkan kepada pengguna supaya mereka prihatin dan celik maklumat. Kesudahannya merekalah yang bertanggungjawab penuh ke atas kesihatan sendiri berpandukan maklumat yang benar-benar terkesan untuk melindungi diri, bukan untuk pihak yang rakus serta berkepentingan sempit.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










