Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat. Saya pernah beberapa kali menulis tentang hal ini dalam Utusan Malaysia beberapa tahun lalu. Sebagai kumpulan ketiga yang mengambil UPSR pada 1990, saya melihat sememangnya sudah sampai masa UPSR dimansuhkan.
Hal ini bukan kerana semata-mata pandemik Covid-19 yang menjejaskan pengajaran dan pembelajaran murid-murid tahun enam tetapi juga selama ini umum mengetahui sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan ramai ibu bapa menyasarkan jumlah A yang perlu diperoleh anak-anak mereka dalam UPSR.
Pada masa sama, sering kali berubah-ubah format dan jumlah subjek yang diambil oleh calon UPSR. Pada zaman saya, UPSR hanya melibatkan empat subjek, ditambah dengan satu peperiksaan yang menguji kecerdasan intelektual (IQ). Anak sulung saya pula mengambil lima subjek, manakala anak kedua mengambil enam subjek. Tidak diketahui secara jelas, apakah implikasi perubahan ini? Berbeza dahulu, ibu bapa tidaklah begitu mengejar jumlah A tetapi situasi sebegini sudah berubah sejak kebelakangan ini.
Dalam apa-apa situasi pun, proses pembelajaran itulah yang sebenarnya sangat penting. Misalnya, seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) sekalipun, bukan setakat untuk mendapat sijil PhD tetapi apa yang utama ialah proses pembelajaran semasa menjalankan kajian PhD. Proses pembelajaran yang secukupnya dialami oleh pelajar PhD akan mendidik pelajar tersebut lebih terlatih untuk menjadi penyelidik yang bagus dan ke hadapan.
KONDUSIF
Analogi sama boleh digunakan bagi seorang murid tahun enam yang akan memasuki pembelajaran di sekolah menengah nanti. Apakah sebenarnya yang kita inginkan daripada anak-anak kita? Adakah hanya jumlah A semata-mata? Jumlah A terbanyak tidak menjanjikan kecemerlangan kehidupan mereka pada masa hadapan. Jadi, selepas pemansuhan UPSR ini, penekanan perlu dibuat ke atas proses pembelajaran itu sendiri. Seorang murid perlu diajar dalam persekitaran yang kondusif tanpa tekanan peperiksaan semata-mata.
Mereka ini wajar dididik supaya beretika tinggi. Kita boleh ambil contoh bagaimana sistem pendidikan di negara-negara maju telah menjadikan mereka sebagai manusia yang beretika ketika dewasa. Tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.
Dewasa ini, kita boleh lihat pelbagai kes rasuah dan penyelewengan berlaku di sana sini di Malaysia. Ini termasuklah berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Selain faktor-faktor persekitaran yang menyebabkan mereka terjebak dengan rasuah dan penyelewengan, faktor pendidikan juga perlu memainkan peranan sejak kecil lagi. Anak-anak kecil wajar dididik agar berintegriti pada setiap masa.
Selain itu, permasalahan sosial dalam kalangan pelajar masih belum lagi dapat ditangani dengan baik. Ramai yang terjebak dengan penagihan dadah dan jenayah-jenayah yang lain. Dari satu sudut, ada golongan anak-anak muda yang cemerlang dalam peperiksaan, manakala ada yang tertinggal jauh sehingga terjebak dalam masalah sosial dan jenayah. Mereka ini tidak wajar dipinggirkan. Perlu berada dalam arus perdana sejak awal lagi. Setiap anak-anak kecil yang akan menjadi dewasa kelak memiliki peranan yang tersendiri untuk berbakti kepada agama, keluarga dan negara.
KREATIF
Di samping mendidik anak-anak kecil beretika tinggi, sistem pembelajaran perlu ke arah mendidik mereka berinovasi dan kreatif. Era sekarang memerlukan ramai usahawan dan pekerja yang berinovasi dan kreatif dari segenap segi. Ambil contoh krisis kesihatan pada masa kini yang menyebabkan ramai dibuang kerja dan tidak kurang juga menghadapi masalah kewangan. Mereka yang inovatif dan kreatif akan cepat menghadapi suasana seperti ini agar dapat meneruskan kehidupan dengan baik.
Lagipun dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang, mahu tidak mahu, tenaga kerja dan usahawan serta peniaga perlu sentiasa berinovasi dan kreatif dalam menghadapi pelbagai cabaran. Hal inilah yang perlu ditekankan dalam kalangan anak-anak kecil seawal mereka memasuki sistem pembelajaran.
Asasnya di sini, generasi muda sekarang merupakan pelapis untuk menjaga dan mensejahterakan negara pada masa sekarang. Ini perlu didahului oleh sebuah sistem pendidikan yang benar-benar menyediakan mereka sebagai pemimpin yang cemerlang dari segenap aspek.
PROFESOR Madya Rohami Shafie ialah Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.










