Kenapa dahulu tak bantai? - Utusan Malaysia

Kenapa dahulu tak bantai?

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serangan zalim rejim Israel ke atas umat Islam di Palestin pada akhir Ramadan lalu sekali lagi mengocak keamanan dunia dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang rata-ratanya tersentuh emosi mereka dengan kezaliman yang berlaku.

Pemimpin kerajaan termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing mengeluarkan kenyataan keras mengutuknya pada 8 dan 11 Mei lalu.

Muhyiddin antara lain menyeru masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas dan mendesak Israel untuk menghentikan segera kezaliman terbaru terhadap rakyat Palestin.

Tidak cukup itu, baru-baru ini Muhyiddin menyampaikan satu perutusan khas bagi mengulangi pendirian berprinsip kerajaan yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya, sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral.

Turut dinyatakan beliau adalah penegasan penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Turut diulangi, pendirian Malaysia menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin, yang dikatakan merupakan satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel.

HARAM

Kenyataan Muhyiddin itu malangnya segera dikecam oleh pemimpin pembangkang seperti Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang menyamakannya dengan tindakan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Beliau berkata, sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini untuk menubuhkan kerajaan yang mereka mahu dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana.

Kenyataan sebegini menampakkan betapa penuturnya tidak memahami realiti geopolitik semasa di Asia Barat malah geopolitik di peringkat antarabangsa, malah meletakkan beliau menyimpang daripada konsensus pertubuhan-pertubuhan sedunia.

Untuk makluman, penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 ini telah diterima oleh 57 buah negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan turut dipersetujui oleh 120 negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Penyelesaian dua negara ini malah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 1397 yang diluluskan pada 12 Mac 2002, menyatakan ia meyakini visi sebuah rantau dalam mana dua negara, Israel dan Palestin wujud dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Menyusul kelulusan Resolusi 1397 itu adalah pengisytiharan Inisiatif Keamanan Arab melalui Sidang Kemuncak Beirut oleh Liga Arab pada 28 Mac 2002 yang menawarkan keamanan kepada Israel sebagai timbal balas kepada penerimaannya terhadap kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqqadis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Begitulah seterusnya sehingga penyelesaian dua negara ini dipersetujui oleh Perhimpunan Agung PBB, yang Malaysia adalah salah sebuah negara anggotanya, antara lainnya pada 25 Januari 2011 dan 19 November 2013.

BEBAS

Sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 1 Mac 2020, inilah pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti yang dijelaskan oleh Hishammuddin pada 15 Ogos 2020, iaitu “Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mengulangi pendirian dipegang sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqqadis sebagai ibu kota Palestin adalah satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.”

Malah, sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum itu pun, dalam mana Mohamad adalah Menteri Pertahanan, inilah juga pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai isu Palestin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Februari 2020.

Ayat sama yang diungkapkan oleh Muhyiddin inilah juga yang disebut oleh Dr. Mahathir waktu itu, tetapi dalam bahasa Inggeris, iaitu “Malaysia kekal dengan pendiriannya bahawa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin, adalah boleh diterima.”

Soalnya, mengapa Mohamad selaku anggota Kabinet pada waktu itu langsung tidak mempersoalkan, apatah lagi membantai kenyataan Dr. Mahathir ini kerana mengiktiraf kewujudan negara haram Israel seperti beliau lakukan terhadap Muhyiddin sekarang?

NAJIB

Selaku Presiden sebuah parti komponen PH, Mohamad juga sepatutnya terikat dengan kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antaranya pada 29 Januari 2012 menyokong Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 1397 dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan penyelesaian dua negara.

Begitulah seterusnya jika ditoleh ke belakang lagi sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, pendirian sama juga kita temui.

Najib dalam perutusan beliau bersempena Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin pada 28 November 2016 umpamanya menyebut: “Kita menyeru semua pihak mengambil tindakan segera dan menunaikan komitmen mereka terhadap penyelesaian dua negara.”

Begitu juga dengan Abdullah yang umpamanya menyebut dalam satu persidangan antarabangsa mengenai isu Palestin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 28 Mac 2005 bahawa bukan sahaja Malaysia, tetapi masyarakat antarabangsa juga menyokong penyelesaian dua negara dalam isu Palestin.

Tidak dinafikan, kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin menyentuh emosi kita. Begitu pun, cadangan dan tindakan yang kita buat hendaklah sentiasa bersifat rasional, bukan emosional dengan memahami realiti geopolitik semasa.

Apatah lagi bila terbukti pendirian kerajaan Malaysia ini turut dipertegaskan kembali oleh Indonesia dan Brunei seperti tertera dalam kenyataan bersama Presiden Indonesia dan Sultan Brunei, kelmarin.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (CONGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×