LEBIH sedekad lalu ketika berkunjung ke Singapura, sama ada untuk bercuti atau menziarahi saudara-mara di sana, antara hobi paling saya suka ialah membeli akhbar di republik itu. Ini bukanlah kerana tidak puas membaca laman berita dalam talian dari negara itu, namun ada laporan bersifat eksklusif atau premium yang hanya disiarkan menerusi akhbar semata-mata.
Saya sanggup bersusah-payah redah cari kedai runcit yang jual akhbar pada awal pagi.
Ironinya, satu yang agak ketara di Singapura apabila sebahagian besar orang Melayu di sana seperti pelik tengok saya teruja membelek akhbar tunggal berbahasa Melayu negara tersebut.
Lebih mengujakan, ketika singgah berehat di medan selera, saya dapat melihat kelibat ramai warga Singapura etnik Melayu di republik itu pula leka dan amat tekun membaca Utusan Malaysia.
Khabarnya, ada yang kirim ahli keluarga di Johor beli akhbar ini, bahkan ramai juga yang tidak kisah apabila perlu menyeberang tambak semata-mata mahu mendapatkan naskhah surat khabar berkenaan.
Puncanya hanya satu, akhbar harian yang diterbitkan sedekad selepas Malaysia mencapai kemerdekaan itu terkenal lantang dalam isu Palestin tanpa jemu memperjuang hak kebebasan rakyatnya.
‘Roh’ inilah yang tiada dalam media massa di Singapura waima lebih sedih, akhbar dan stesen penyiaran di republik itu tergamak menggelarkan pejuang Palestin sebagai pengganas atau militan.
Bagi yang jenis teliti, mungkin akan sedar berita mengenai Palestin di Singapura akan diolah sehabis ‘jahat’ mengikut rentak stail agenda pemilik media antarabangsa pro-Zionis di Barat.
Sementelahan, berbeza polisi luar negara kita, Singapura diketahui menjalin hubungan diplomatik cukup erat dengan rejim Israel sejak dinyah keluar dari Malaysia pada 1965.
Ini meliputi pelbagai bidang terutama ketenteraan apabila pasukan komando elit republik itu dilatih khas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang dianggap antara skuad terbaik di dunia.
Natijahnya, senario berat sebelah itu akhirnya membawa ‘padah’ apabila majoriti besar masyarakat Melayu Singapura semacam bangkit memboikot media republik berkenaan secara senyap.
Justeru, Utusan Malaysia dan Utusan Online menjadi wadah popular dalam kalangan kaum minoriti tersebut khususnya laporan mengenai krisis Palestin-Israel yang tidak berkesudahan.
Kisah dari negara kota singa itu bukan rahsia baharu, lantas saya teringat Tokoh Wartawan Negara 2006, Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin pernah membangkitkan perkara sama.
Malah beliau berkata, masyarakat Barat sendiri memulaukan stesen CNN dan akhbar ternama Amerika Syarikat dikenal pasti pro-Zionis sebab agak meluat laporan ‘bias’ isu Palestin.
Mereka beralih kepada stesen tertua di dunia, BBC yang seimbang gaya pemberitaannya dek diwujudkan atas Piagam Diraja pada 1927 meskipun ada kala laporan berat sebelah sedikit.
Hakikatnya, kita wajar bersyukur kerana media arus perdana di negara ini masih ‘waras’ pro-Palestin dan jika ada pro-Israel, ia dianggap kes terpencil yang janggal.
Sehubungan itu, inisiatif RTM segera mohon maaf setelah kecoh tular perihal Berita Mandarin TV2 menggelar Hamas sebagai militan, jelas mengambil iktibar apa berlaku di Singapura.
Sebagai stesen penyiaran tertua di negara ini, reaksi pantas umat Islam marah dengan penghinaan itu membuktikan ia wajar ditangani agar tidak berulang sekali lagi.
Ini termasuk sama ada terjemahan daripada agensi berita asing pro-Zionis itu gagal ditapis ketat secara tidak sengaja atau pun memang sah unsur sabotaj menjelang Hari Raya Aidilfitri.











