Gentar suara anak muda? - Utusan Malaysia

Gentar suara anak muda?

NURUL ASHIKIN MABAHWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

NAMA DR. NURUL ASHIKIN MABAHWI mungkin masih lagi belum dikenali seperti pemimpin-pemimpin politik wanita lain.

Namun, tidak mustahil gadis berusia 32 tahun yang merupakan pemegang Ijazah doktor falsafah (PhD) Sistem Alam Sekitar dari Institusi Teknologi Shibura, Jepun ini mampu menjadi tokoh politik yang disegani dalam sedikit masa lagi.

Berbekalkan semangat dan iltizam melawan salah guna kuasa dan wang ringgit, beliau yang merupakan Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) bersemangat menjadikan medium politik sebagai suara menentang sebarang salah laku dalam pentadbiran kerajaan.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, beliau yakin suara wanita mempunyai aura dan kuasa yang boleh mengubah pentadbiran negara menjadi baik dan telus, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan contoh kepada negara-negara lain dalam semua aspek.

Nurul Ashikin Mabahwi ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Perkembangan terbaharu?

NURUL ASHIKIN: Sekarang dalam fasa menggerakkan sayap Pejuanita Muda di seluruh negara.

Bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak lagi boleh turun padang sebaliknya berubah dengan memperbanyakkan gerakan di media sosial.

Pada masa sama, kita sedang mengenal pasti masalah rakyat dan bentuk bantuan yang boleh diberikan, selain memberi penekanan terhadap isu ekonomi dan gangguan seksual yang meningkat sejak PKP pertama lagi.

Gesaan demi gesaan dibuat tetapi nampaknya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seolah-olah tidak begitu mengambil serius isu ini yang kini sudah pun menjadi masalah global.

Dr. merupakan pengasas dan Presiden Kelab Bunga Raya Jepun, kini Ketua Pejuanita Muda. Apa perbezaan cabaran ketika menguruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan berjuang dalam politik?

Cabaran utama ialah sasaran yang diperlukan. Kelab Bunga Raya Jepun terdiri daripada gabungan pelajar dan profesional Malaysia di Jepun.

Jadi, sasaran lebih kecil berbanding Pejuanita Muda yang menyasarkan wanita muda di seluruh negara.

Sekarang saya perlu fikirkan impak kepada bangsa, agama dan negara. Selain itu, saya perlu memastikan ideologi Pejuang diterima oleh orang ramai.

KERAJAAN PN

Terdapat dakwaan proklamasi darurat dibuat untuk kepentingan politik. Komen?

Jika dilihat, alasan proklamasi darurat adalah untuk mengekang penularan Covid-19. Tapi kita melihat pandemik itu boleh dikekang melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, malah PKP juga sudah memadai sebenarnya.

Jadi, apabila darurat digunakan sebagai alasan, ia tiada sinergi dengan kes penularan yang semakin meningkat. Maka saya tidak boleh nafikan ia bersifat politik, lebih-lebih lagi badan legislatif seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tidak bersidang.

Saya tidak nafikan kerajaan perlukan kuasa yang tinggi dan kuat untuk memastikan mereka boleh mengawal keadaan sewaktu pandemik tetapi pengisytiharan darurat bukanlah jalan terbaik.

Selain kes Covid-19 semakin meningkat, isu dwistandard dalam penguatkuasaan SOP dan ketidaktentuan politik menjadi punca utama ekonomi jatuh merudum. Benarkah?

Ia adalah sentimen yang berlegar di media sosial. Saya bersetuju dengan kenyataan itu.

Lihat sahaja dalam mengawal Covid-19, ekonomi, nasib rakyat yang tidak terbela dan yang paling ketara gagal dalam membentuk sebuah kerajaan dengan kestabilan politik yang kukuh. Sebab itu kita melihat ada yang menarik sokongan, ada pula dikatakan mendapat sokongan.

Apabila sebuah kerajaan dibina tanpa kestabilan politik, susah untuk mereka menguruskan negara dan jika akhirnya Parlimen bersidang pun, ia bukanlah kerajaan yang mempunyai majoriti kukuh untuk membuat keputusan.

Apa kerajaan patut lakukan?

Pastikan rakyat dibantu sewajarnya. PKP kali ini tidak jelas mengenai bantuan yang diberikan. Tiada pengumuman moratorium kepada pekerja.

Pastikan ada bantuan diberikan kepada peniaga kecil dan mereka yang terjejas dari segi ekonomi. Kita juga dapat lihat di laman sosial, ada kampung yang terputus bantuan. Negara tidak akan maju jika rakyat berterusan susah.

Selain itu, saya mencadangkan agar mewujudkan barisan pakar perubatan dan pakar pengurusan bencana wabak berjangkit dalam membantu kerajaan sementara pakar ekonomi sebagai penasihat dalam merancakkan ekonomi.

Pada masa sama, tunaikan janji-janji kepada rakyat seperti pemberian komputer riba. Sekolah sudah buka, tutup, buka, tutup pun masih lagi bantuan yang diharapkan tidak sampai.

Bercakap soal ahli politik mudah dijual-beli, nampaknya wang ringgit menjadi pertaruhan dalam memastikan seseorang kekal berkuasa dalam kerajaan. Pandangan Dr.?

Ia adalah satu percaturan politik yang tidak sihat. Apabila sokongan hilang dan kemudian muncul di media sosial ahli Parlimen dibeli dan tiba-tiba mengatakan mendapat sokongan.

Itulah, Malaysia memerlukan satu akta yang kukuh untuk menghalang ahli politik daripada melompat parti dan ia perlu dilaksanakan dengan baik.

Kerana itu saya menggesa agar perbanyakkan suara di media sosial bagi menggesa dan menghentam perbuatan membeli ahli Parlimen.

Akhirnya, selepas terkesan, mereka rasa malu dan akan menjaga integriti. Apabila mereka mudah dibeli, jelas membuktikan integriti ahli politik pada tahap membimbangkan.

Makin lama digantung kuasa legislatif, makin banyak isu tidak diselesaikan malah semakin bertambah. Pendapat Dr.?

Saya merujuk kepada kenyataan mereka yang pakar dalam ekonomi seperti Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Dr. Nungsari Ahmad Radhi yang menyatakan darurat ini memberi impak kepada ekonomi.

Pelabur juga tidak berminat untuk melabur di negara yang dalam status darurat.

Apabila Parlimen tidak bersidang, pembangkang tidak boleh bersuara, maka semak dan imbang tidak berlaku.

Malah jika setiap keputusan dibahaskan dahulu di Parlimen, saya percaya kerajaan akan dapat membuat pertimbangan yang lebih baik kerana kritikan, soalan ataupun cadangan penambahbaikan yang dilontarkan pelbagai pihak akan membantu.

SUARA ANAK MUDA

Himpunan Tuntut Undi 18 di depan pintu masuk bangunan Parlimen pada 27 Mac lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Kenapa kerajaan dilihat ‘takut’ untuk menyegerakan Undi 18?

Undi 18 ini telah pun lulus di Parlimen, namun tidak pasti kenapa kerajaan berdolak-dalik dengan isu ini. Jika tidak dilaksanakan dengan telus pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, ia akan memberi indikator bahawa kerajaan tidak yakin mampu memenangi hati anak muda.

Penangguhan ini dilihat sebagai satu usaha menghalang kebebasan bersuara dalam kalangan belia. Komen?

Pada saya, ia lebih kepada tidak menghormati anak muda untuk menentukan hala tuju dan kepimpinan negara, selain tidak yakin dengan kemampuan anak muda yang mampu membuat keputusan.

Saya yakin usia 18 hingga 20 tahun sudah cukup matang untuk membuat keputusan dalam memilih wakil rakyat.

WANITA DALAM POLITIK

Peranan wanita dalam sesebuah parti politik sebagai tulang belakang tidak boleh dinafikan. Apa impak peranan pemimpin wanita Muda di dalam senario politik Malaysia?

Penukaran landskap politik negara yang lebih segar. Sejak dahulu politik ini didominasi kaum lelaki. Munculnya wanita-wanita muda dalam arena politik membuatkan landskap politik kita lebih inklusif dan suara-suara yang memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak juga lebih lantang.

Pola politik juga telah berubah, wanita terutama sekali wanita muda tidak boleh dilihat hanya mampu memperjuangkan mengenai khidmat masyarakat dan keluarga tetapi juga mampu menguruskan portfolio negara yang penting berkaitan ekonomi, alam sekitar dan pembangunan.

Dalam Pejuang sendiri, kami yakin mampu melahirkan pemimpin wanita muda yang berkualiti untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.

Pemimpin wanita kurang melompat parti. Benarkah?

Saya lebih suka mengaitkan sikap melompat parti ini dengan integriti ahli politik itu sendiri berbanding aspek jantina. Ini kerana ada sahaja wanita yang lompat parti tetapi tidak ramai.

Namun, jika kita ingin bercakap secara umum, ya, kita boleh nampak, wanita lebih setia dan konsisten dengan parti kerana faktor integriti dan pendirian lebih jitu.

Awal bulan lalu, Dr. mengiklankan pencarian exco Pejuanita Muda. Apa perkembangan terbaharu?

Ramai yang memohon. Kita akan luaskan juga pencarian. Sudah masanya kita meramaikan pemimpin wanita muda dan mengubah landskap politik negara.

Selebihnya boleh dilatih lagi, kita yakin Pejuanita Muda akan menjadi platform terbaik melahirkan ramai pemimpin wanita muda yang berkualiti.

Kita akan mengambil mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, malah suri rumah juga digalakkan menghantar permohonan.

Ini kerana suara suri rumah juga tidak boleh diketepikan dan mereka mempunyai banyak isu yang perlu diselesaikan.

Jika masalah masa atau tanggungjawab terhadap anak menjadi alasan untuk mereka bergiat aktif, suka saya beritahu bahawa kita sedang merancang untuk menyediakan fasiliti penjagaan kanak-kanak semasa golongan ibu bermesyuarat atau turun padang.

Perkara ini saya sudah lakukan di Jepun dan ia amat berjaya bagi membolehkan wanita menguruskan kerjaya, minat dan keluarga.

ISU PALESTIN-ISRAEL

Bagaimana rakyat di negara ini boleh membantu penduduk Palestin?

Bantu kita membuat gesaan. Gesaan media sosial memainkan peranan yang penting. Sebarkan kesedaran agar lebih ramai tahu kekejaman Israel. Suarakan semahunya sehingga rakyat Palestin bebas daripada kekejaman ini.

Apa usaha Pejuanita Muda dalam isu ini?

Kita ada lancarkan sumbangan kerjasama dengan sebuah NGO, MyCare bagi membantu mereka di sana.

Apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia selain hanya mengutuk?

Malaysia sepatutnya mengambil peranan membuat gesaan diplomasi antarabangsa seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Banyakkan keluar kenyataan antarabangsa dan cari sokongan negara lain yang senada dengan kita. Ia tidak mustahil jika ada kemahuan politik.

Jika dilihat netizen lebih ‘laju’ menghentam tindakan Israel berbanding kerajaan sehingga perkataan ‘koyak’ disenaraikan dalam kamus dalam talian, Urban Dictionary?

Suara kerajaan kuat sebenarnya kerana mereka ada medium, ada Kementerian Luar, ada KPWKM, ada sumber kepada kedutaan tetapi sayang tidak nampak satu kemahuan politik untuk membantu. Ia amat mengecewakan.

Kuasa media sosial boleh memberi gesaan kepada Israel tetapi (usaha netizen) lebih cantik jika disusuli oleh diplomasi kerajaan.

Tidak mustahil kita mampu menggerakkan kembali Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersuara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN