Setelah sebulan umat Islam berpuasa, kini tibalah masanya untuk menyambut hari kemenangan. Bagi masyarakat Islam, lazimnya Hari Raya Aidilfitri diraikan dengan penuh kemeriahan bersama ahli keluarga serta sanak saudara tercinta.
Menjelang beberapa hari sebelum tiba 1 Syawal, kebiasaannya warga kota dan perantauan sudah mula mengatur langkah perjalanan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dan berkumpul bersama ahli keluarga. Lebih-lebih lagi persiapan sebelum hari raya seperti gotong-royong mengemas serta menghias rumah, menganyam daun ketupat, membakar lemang, memasak rendang dan mengacau dodol yang sememangnya menggamit kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri.
Sementara di pagi Syawal, secara tradisinya kita akan duduk dan berkumpul bersama, bersalam-salaman serta bermaafan antara satu sama lain. Uniknya, tradisi yang diamalkan ini dalam tidak sedar telah menyuburkan sifat pemaaf dalam diri kita walaupun ia agak sukar untuk dilakukan pada waktu-waktu lain.
Dalam maksud lain, Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut penuh keriangan dan kesyukuran, malah mampu melenturkan kembali hati yang keras sehingga meleraikan segala persengketaan dan perselisihan yang pernah terjadi sebelum ini.
Bagaimanapun, penularan Covid-19 yang masih belum berakhir ketika ini serba sedikit telah menjejaskan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaannya. Berdasarkan perkembangan semasa di negara ini, kerajaan memutuskan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini. Pelaksanaan bertujuan mengawal kembali penularan wabak yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
ZOOM
Terdapat laporan daripada Kementerian Kesihatan, sekiranya tiada sebarang langkah proaktif diambil menjelang Hari Raya Aidilfitri, kes positif jangkitan Covid-19 boleh mencecah 5,000 hingga 10,000 sehari. Justeru, bagi mencegah berlaku mudarat lebih besar, aktiviti merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan. Ia memberikan isyarat bahawa hampir kesemua daripada kita terpaksa beraya di kota.
Walaupun perkara ini serba sedikit mengundang rasa dukacita, ia sebenarnya bukanlah penghalang utama bagi kita untuk berusaha memeriahkan Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaan. Tambahan pula, berbekalkan kecanggihan teknologi berteraskan siber-fizikal (CPS) di era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) telah menghasilkan komponen-komponen seperti internet pelbagai perkara (IoT), data raya, kepintaran artifisial (AI) dan internet jalur lebar 5G.
Sehubungan itu, kewujudan pelbagai aplikasi pertemuan seperti Zoom, Google Meet dan Webex amat membantu dalam mengumpulkan semula kaum kerabat serta ahli keluarga secara dalam talian. Misalnya, kemudahan komunikasi secara berkelompok melalui video conference juga boleh dilakukan secara percuma di aplikasi seperti WhatsApp. Budaya bermaaf-maafan di pagi raya tetap boleh diteruskan meskipun kita kini berada dalam suasana norma baharu.
Bagi anak-anak perantauan yang terpaksa beraya di kota, mereka boleh sahaja menghubungi kedua-dua ibu bapa tercinta di kampung pada pagi raya untuk melepaskan kerinduan dengan bertanya khabar, berbual mesra sekali gus mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan kepada mereka.
BERTAKWA
Dalam syariat Islam, sikap suka memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu ciri bagi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Firman-Nya:
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” Surah Ali Imran (134)
Selain itu, tradisi memohon ampun dan maaf di pagi raya terutama kepada ibu bapa turut termasuk dalam ruang lingkup kewajipan kita untuk berbuat baik kepada mereka. Lebih-lebih lagi, ucapan maaf dan memohon restu daripada kedua-duanya adalah selari dengan perintah Allah SWT agar kita sentiasa memuliakan ibu bapa dengan menuturkan kata-kata yang baik kepada mereka. Tuntutan ini dijelaskan menerusi firman-Nya:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” Surah Al-Isra’ (23)
Oleh hal yang demikian, budaya saling bermaafan di pagi Hari Raya Aidilfitri merupakan antara adat ataupun tradisi masyarakat Melayu yang baik dan perlu diteruskan.
Tambahan pula, perubahan arus kemajuan teknologi semasa menyediakan pelbagai medium kepada kita bagi mengaplikasikannya pada jalan-jalan kebaikan.
Meskipun sebahagian besar tidak dapat pulang beraya di kampung, namun ia bukanlah menjadi alasan untuk kita meninggalkan kelaziman yang baik ini menerusi peranti-peranti pintar serta aplikasi-aplikasi yang dibangunkan secara dalam talian.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.











