Asal menangkan rakyat - Utusan Malaysia

Asal menangkan rakyat

RAKYAT tidak kisah siapa kerajaan yang mentadbir asalkan berupaya menangani kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM 9 Mei 2021, ulang tahun ketiga detik bersejarah Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional. Tetapi tidak lama, hanya 22 bulan pakatan itu menikmati kuasa.

Tumbang juga setelah sebuah parti kecil, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu yang mengepalai kerajaan berpaling arah keluar gabungan – membentuk kerjasama dengan parti yang ditumpaskannya, UMNO.

Dan Bersatu masih mengepalai kerajaan hari ini, biarpun cakap-cakap berlegar seantero – tiada majoriti di Parlimen.

Betapa ajaibnya politik Malaysia. Bertukar kerajaan dalam tempoh satu tahun 10 bulan sahaja. Ada rakyat ambil kisah?

Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh dari PH pada 24 Februari 2020 ada orang ramai ambil peduli? Berbeza sekali reaksi pilu, sedih sebahagian besar kita waktu beliau meletak jawatan Perdana Menteri keempat 22 Jun 2002.

Apa yang bermain di benak fikiran rakyat hari ini? Isunya, rakyat kurang kisah siapa yang mengepalai kerajaan.

Politik yang banyak cakap dan pandai berpura pura sudah jelak di mata rakyat. Apa lagi dengan politik balas dendam dan mencari salah orang, sedangkan harapan rakyat hanya tinggal harapan.

Apa yang rakyat mahu adalah kos sara hidup yang ditangani. Apabila ini semua berada di landasan baik, isu-isu lain seperti pendidikan dan kesihatan akan turut diimbangi. Masalah kenaikan harga barang di satu dua negeri masih gagal ditangani. Malah inilah impak yang cukup kuat dihadapi rakyat.

Lebih-lebih lagi cabaran yang sedang dihadapi akibat ramai yang hilang kerja, sumber pendapatan lenyap tiba-tiba dan masalah luar jangka akibat penangan Covid-19.
Apa yang rakyat mahukan adalah pengurusan ekonomi negara yang stabil.

GST vs SST

Suatu ketika, cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan untuk menstabilkan pendapatan negara supaya kita tidak bergantung atau memperjudikan ekonomi negara kepada turun naik harga minyak dunia. Atau menjadi hamba kepada keputusan OPEC dan Bank Pusat Amerika yang umpama menyerahkan untung nasib rakyat Malaysia ke tangan kuasa luar.

Setelah GST dihapuskan oleh kerajaan PH dan digantikan dengan SST, kita berbalik pula kepada masalah lama yang sebenarnya telah kita selesaikan.

Keadaan ekonomi merudum bukannya disebabkan legasi kerajaan sebelum PH, namun kerana hasil tangan kerajaan yang mengambil alihnya selepas itu.

Apabila mereka membuat keputusan untuk menghapuskan GST dan memperkenal SST, harga barang tetap naik. Kemudian hasil kerajaan hilang berbilion ringgit akibat ketirisan pendapatan kerajaan oleh peniaga yang lari dari membayar cukai. Akibatnya kebergantungan kerajaan PH kepada hasil minyak meningkat.

SST menaikkan harga barang dan lebih memudaratkan daripada GST kerana ketirisan hasil cukai yang hanya menguntungkan tauke-tauke perniagaan yang lari dari cukai tetapi merugikan negara dan rakyat keseluruhan.

Tidak habis di situ, prestasi menteri-menteri kerajaan PH tempoh hari lebih banyak menjadi ‘buah mulut’ rakyat. Sebilangannya di bawah standard yang sepatutnya.

Ketika belum berkuasa, pemimpin-pemimpin PH berjanji seolah-olah mereka adalah superman untuk selamatkan negara. Konon mahu selesaikan masalah ekonomi, hapuskan tol, turunkan kos sara hidup dan beri kesejahteraan kepada rakyat.

Malangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea. Ini sehinggakan terpaksa copy paste daripada apa dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

Lantas mempengaruhi keputusan di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), dengan lima PRK di ambang pengakhiran kuasa kecundang apabila rakyat mula menolak calon kerajaan.

LESU
Setahun memerintah sejak Mei 2018, nilai ringgit tidak bermaya. Bursa Malaysia lesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Kelihatannya mereka tidak dapat merasai denyutan hati rakyat yang semakin marah.

Antara yang diperkatakan ialah dominannya fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran sehingga kelihatan menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan orang Melayu dan institusi Raja Melayu.

Insiden seperti percubaan meretifikasi ICERD, Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan menteri yang kelihatan tidak kompeten dan kurang integriti telah menghakis keyakinan rakyat.

Dari sudut ekonomi, PH dikatakan gagal memperbaikinya. Pertumbuhan KDNK kuncup dari 5.8 peratus kepada 4.7 peratus dan tidak menunjukkan prospek melepasi 5 peratus.

Setahun mentadbir, pasaran ekuiti di Bursa Malaysia turut melemah. Di bawah PH, market capitalisation mengecil dan waktu itu pasaran Malaysia sudah kehilangan lebih RM200 bilion sejak mengambil alih. Ia sekali gus meletakkan prestasi Malaysia sebagai yang terburuk di Asia.

Dikatakan penolakan pegawai perkhidmatan awam terhadap kerajaan dulu yang berpunca dari sikap tidak menghormati perkhidmatan awam, menambah lagi luka lemahnya prestasi kerajaan PH.

PH dimomokkan sebagai tidak menjanjikan Malaysia yang lebih baik.

Napoleon Bonarparte, pemimpin tentera Perancis (15 Ogos 1769 – 5 Mei 1821).

Ini diburukkan lagi dengan kemunculan Little Napoleon atau Napoleon Kecil yang tidak boleh diperkecilkan keberadaannya dalam senario politik semasa.

Ia merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukan, tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa yang berada di peringkat tertinggi.

Barangkali lagak itu didukung oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya, lantaran kuatnya hubungan si “Little Napoleon” tadi dengan mereka yang berkuasa.

Menteri-menteri dan seluruh anggota pentadbiran dalam kerajaan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini harus ambil iktibar dan teladan.

Isunya hari ini, sekali lagi ditekankan: Rakyat tidak kisah siapa kerajaan yang mentadbir, asalkan berupaya menangani kos sara hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×