Apabila membaca karya-karya klasik seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Pandawa Lima, kita perlu cuba memahami kandungannya dalam konteks zaman ia dikarang.
Sejak awal tahun ini, saya terlibat dalam projek penceritaan semula teks Bhagavad Gita dalam bahasa kebangsaan. Teks ini merupakan sebahagian kecil daripada epik Mahabharata yang merupakan puisi terpanjang di dunia.
Semasa meneliti dan menceritakan semula kandungan kesemua 701 sloka (rangkap puisi) dalam bentuk prosa, saya mendapati suatu hal yang amat ketara dalam Bhagavad Gita. Watak utama ialah Krishna dan Arjuna. Ada beberapa lagi watak sampingan tetapi watak wanita langsung tidak muncul dalam karya yang mengandungi 18 bab itu.
Hal ini sedikit menghairankan kerana epik Mahabharata (Hikayat Pandawa Lima) dipenuhi banyak watak wanita yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan cerita. Memandangkan kisah Bhagavad Gita berlaku di medan perang serta melibatkan monolog Krishna, maka mungkin itulah sebabnya watak wanita tidak diketengahkan.
Namun begitu, watak wanita tetap memainkan peranan penting sehingga menyebabkan perang besar antara Pandava dan Kaurava yang berlangsung selama 18 hari di Kurukshetra. Maka, Bhagavad Gita tidak harus dilihat secara berasingan jika kita mahu tahu perihal sebab dan akibat.
Dua watak wanita yang amat penting dalam Mahabharata ialah Kunti dan Draupadi. Pembaca epik berkenaan pasti masih ingat pelbagai keunikan yang ada pada diri kedua-dua wanita itu. Keunikan itu pula pasti tidak sesuai dilihat menggunakan kaca mata zaman sekarang dan konteks masa kini.
Sebagaimana dinyatakan sejak awal tadi, kisah-kisah berkaitan watak Kunti dan Draupadi perlu dihayati dan difahami dalam konteks zaman dahulu. Pasti ada sebab mengapa kedua-dua watak itu disajikan sedemikian oleh Vyasa yang dikreditkan sebagai pengarang Mahabharata.
Kunti ialah salah seorang isteri Pandu, si raja yang impoten (mati pucuk) dan tidak mampu menjadi seorang bapa. Ada versi mengatakan dia disumpah, tidak boleh ada anak. Sewaktu raja itu sedang berdukacita, Kunti tampil mendedahkan bahawa dia tahu mantera sakti yang boleh digunakan untuk menyeru dewa di kayangan untuk memberi anugerah putera kepadanya.
Pandu terasa amat gembira kerana mengikut tradisi, seorang lelaki yang meninggal dunia tanpa ada anak tidak akan mencapai moksha (nirwana) mengikut ajaran Hindu.
Dengan persetujuan suaminya, Kunti membaca mantera bagi menyeru Dharmaraja, dewa keadilan.
Maka, Kunti mengandung dan melahirkan Yudhishthira. Anak itu dianggap putera Pandu yang sah. Kegembiraan Pandu tidak bertahan lama kerana memikirkan nasib keturunan jika putera sulung itu ditakdirkan terkorban dalam perang.
Sebagai seorang isteri yang setia, Kunti menggunakan mantera itu sekali lagi untuk menyeru Vayu iaitu dewa angin. Maka, lahirlah Bhima. Selepas itu, atas permintaan Pandu juga, Kunti menyeru pula Indra, ketua dewa di kayangan, lalu melahirkan Arjuna.
Pandu yang tidak mampu menjadi seorang bapa secara semula jadi masih belum berpuas hati. Dia mahukan lebih ramai anak tetapi Kunti tidak sanggup menyeru lebih ramai dewa untuk mengurniakan anak kepadanya.
Madri ialah isteri kedua Pandu. Kunti mengajar mantera ajaib kepada madunya. Madri bertindak bijak dengan menyeru pasangan kembar Ashwini Kumara iaitu dewa yang dikaitkan dengan perubatan dan kesihatan. Dengan cara itu, Madri berjaya mendapat anak kembar yang dinamakan Nakula dan Sahadeva.
Demikian secara ringkas kisah menarik bagaimana Pandu memperoleh lima orang putera yang dikenali sebagai Pandava. Tindakan Pandu, Kunti dan Madri meminta bantuan pihak luar untuk mendapat anak boleh sahaja dibincangkan dan dibahaskan dari sudut sains persenyawaan in vitro (IVF).
Yudhishthira, Bhima, Arjuna, Nakula dan Sahadeva pula berkahwin dengan wanita yang sama, iaitu Draupadi. Konsep poliandri merujuk kepada keadaan seorang wanita berkahwin dengan lebih daripada seorang lelaki. Kita biasa mendengar amalan poligami tetapi amalan poliandri mungkin membuatkan mulut ternganga kerana ia amat asing bagi kita.
Pasti ada sebab mengapa pengarang Mahabharata menggambarkan Draupadi menjadi isteri kepada lima adik-beradik itu. Lebih menarik apabila dikisahkan bahawa dia mampu melayan kelima-lima suami sama rata dan sama adil. Malah, Draupadi melahirkan lima orang anak.
Apabila Pandava terpaksa tinggal dalam buangan di hutan selama 12 tahun, Kunti tidak turut serta. Sebaliknya, Draupadi pergi bersama-sama mereka. Pembaca Mahabharata yang teliti akan menyedari bahawa selain Draupadi, setiap seorang Pandava ada beberapa isteri lain.
Misalnya, Yudhishthira ada seorang lagi isteri bernama Devika. Bhima turut beristerikan Hidimbi (raksasa) dan Valandhara. Isteri-isteri lain Arjuna bernama Ulupi (ular), Chitrangada dan Subhadra (adik Krishna). Isteri kedua Nakula bernama Karenumati, manakala isteri kedua Sahadeva bernama Vijaya.
Anehnya, susulan kekalahan berturut-turut Yudhishthira dalam permainan dadu (judi), kelima-lima putera itu terpaksa menerima hukuman tinggal di dalam hutan selama 12 tahun dan setahun lagi dalam persembunyian. Hanya Draupadi dibawa bersama, seolah-olah wanita itu merupakan isteri sah bagi mereka berlima.
Tentu ada sebab mengapa dikisahkan demikian dalam epik Mahabharata. Sebagaimana kita sedia maklum, sebuah karya turut berperanan merakam zaman serta pemikiran masyarakat pada waktu itu. Malah, mungkin juga dijadikan alat untuk melakukan kritikan secara halus kepada pihak atasan (kuasawan) pada zaman berkenaan.
Maka, apabila kita berpeluang membaca karya-karya epik tempatan dan luar negara, kita wajar cuba meneliti budaya dan pemikiran yang cuba disampaikan secara tersurat dan tersirat menerusi penulisan kreatif itu.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










