HARI sudah senja dan hampir masuk waktu maghrib. Saya berlari ke bilik, lantas melihat ke luar tingkap dengan penuh debaran. Tidak sabar untuk mendengar bunyi ledakan bunga api kerana itu menandakan tibanya waktu berbuka.
Serentak itu, kelihatan percikan bunga api berwarna-warni menghiasi langit senja. Itulah keunikan tradisi Ramadan di Kuala Terengganu yang sering saya rindui.
Suasana sedemikian tidak dapat dirasai di bandar raya tempat saya tinggal. Di bandar, kita menunggu laungan azan dari masjid atau surau berhampiran, televisyen, radio ataupun telefon bimbit.
Bagi warga Kuala Terengganu, bunyi ledakan bunga api yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa dan imsak itu disebut bedil. Semasa kecil, saat menanti bedil ditembak adalah paling menyeronokkan dan sering dinantikan.
Lebih istimewa lagi, tradisi tembakan bedil ini tidak tamat dengan berakhirnya bulan Ramadan, tetapi berlanjutan sehingga genapnya enam hari pertama puasa sunat Syawal.
Dalam kalangan warga Kuala Terengganu sendiri ada yang tidak tahu, lokasi tembakan bedil ialah Bukit Pak Apil. Pada 2010, arwah ayah membawa kami ke Bukit Pak Apil untuk melihat sendiri proses tembakan bedil. Dari situ, kita boleh melihat panorama indah bandar Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya dengan jelas.
Menjelang masuk waktu maghrib, para petugas mula sibuk menyiapkan segala perkakasan untuk proses tembakan bunga api. Sebaik sahaja berkumandang kalimah Allahuakbar, bunga api terus ditembak ke udara.
Bunyi dentuman dan gegarannya begitu kuat sehingga saya rasa mahu terjatuh. Saya mendongak ke atas dan kelihatan percikan bunga api yang seolah-olah memayungi kami dan turun seperti titisan hujan berwarna-warni.
Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana dapat melalui pengalaman indah dan begitu berharga ini. Ia menjadi memori amat istimewa bagi saya sehingga hari ini.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










