Radzi bukan berdiam diri, tetapi... - Utusan Malaysia

Radzi bukan berdiam diri, tetapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dilantik memegang portfolio pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin jarang kelihatan di media. Malah, Menteri Kanan Pendidikan itu hanya tampil dalam sidang akhbar untuk membuat pengumuman khas atau menjawab isu-isu tertentu berkaitan pendidikan.

Tentunya bukan mudah untuk mengemudi sebuah Kementerian yang dinaungi hampir 5 juta murid di seluruh negara dengan hampir 500,000 guru dan warga KPM. Malah, bukan hanya satu institusi perlu dipedulikan, bahkan lebih 10,000 sekolah harus dicakna demi kelangsungan pendidikan negara.

Apatah lagi, dalam suasana negara dilanda wabak Covid-19, ia menjadi cabaran besar khususnya kepada beliau untuk merangka strategi dan kaedah terbaik sekali gus membuat satu keputusan yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Dalam hal itu, Mohd. Radzi yang baru sahaja menyarung ‘kasut’ dalam tempoh pandemik dilihat banyak berdiam diri berbanding menjawab segala isu yang menjadi perbualan umum.

Ia berbeza dengan Menteri Pendidikan sebelumnya yang dilihat sentiasa kedepan galak memberi komen setiap isu walaupun perkara itu langsung tidak memberi ‘mileage’ kepadanya. Malah tersadung pula apabila bercakap mengenai isu kasut hitam.

Banyak pihak seperti pembangkang mengkritik Radzi kerana bersikap bercelaru dalam pengurusan sistem pendidikan negara ketika pandemik Covid-19 sehingga mengelirukan warga pendidikan secara am.

Ketika diajukan perkara itu pada sidang akhbar di pejabatnya kelmarin, beliau menjelaskan mengapa KPM dan beliau sendiri memilih untuk berdiam diri pada peringkat awal.

“Kita tidak memilih jalan mudah. KPM mengambil pendekatan do the right thing berdasarkan penelitian data dan analisis maklumat, sekali gus mampu membuahkan satu keputusan yang kita rasa paling betul.

“Kita tidak mahu berada dalam senario dan perlu respons kesemuanya,” jelasnya.

Penegasan itu amat jelas. Ada kebenarannya. Walaupun ramai di luar sana bercakap soal pengurusan Covid-19 khususnya dalam sektor pendidikan, tetapi tiada siapa biasa menangani wabak ini, Namun KPM belajar apa yang berlaku setahun yang lalu dan memahami situasi satu persatu.

Keputusan untuk menutup sekolah sepenuhnya sekali lagi tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya hanya bersandarkan dakwaan semata-mata ekoran peningkatan kes dalam kluster institusi pendidikan. Data perlu diteliti sebaiknya sebelum membuat keputusan.

Ketika sekolah ditutup pada 7 November hingga 17 Disember tahun lalu, peningkatan kes mendadak tetap berlaku kerana virus sudah berada dalam komuniti. KPM memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) walaupun ia keputusan sukar .

Pada waktu itu terdapat banyak desakan supaya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditangguh atau dibatalkan. Tetapi dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikeluarkan, peperiksaan itu dapat dilaksanakan dan berjalan dengan baik serta berkesan biarpun amat mencabar.

Ini kerana belum pernah berlaku dalam sejarah SPM, kedudukan meja murid dalam jarak 1.5 meter berbanding 0.8 meter. Sistem pemarkahan pula dibuat secara dalam talian. Lebih 5 juta skrip peperiksaan di scan satu persatu.

Kemudiannya sekolah dibuka bermula 1 Mac secara berperingkat dengan pematuhan SOP tertinggi. Namun timbul pula soal peningkatan jumlah kluster institusi pendidikan seolah-olah sekolah adalah punca dan penyumbang utama kepada peningkatan kes. Dan ketika ini ada pula desakan supaya kehadiran ke sekolah ditangguhkan semula.

Bagaimanapun, Radzi tidak mudah melatah. Data diteliti satu persatu. Berdasarkan dapatan data kes jangkitan daripada Kementerian Kesihatan melibatkan kluster institusi pendidikan hanya meliputi 39.2 peratus atau 99 kluster daripada keseluruhan kluster yang direkodkan di negara ini.

Daripada jumlah itu, hanya 52 kluster melibatkan institusi di bawah KPM atau meliputi hanya 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster dengan merekodkan 2,274 kes (2.07 peratus).

Sebanyak 60.8 peratus adalah melibatkan kluster kes sporadik atau kes-kes jangkitan berlaku dalam masyarakat tanpa dapat dikesan dalam mana-mana kluster daripada keseluruhan 1,080 kluster di negara ini.

“Ini bermakna tidak semua kluster institusi pendidikan di bawah operasi KPM. Kita perlu melihat satu persatu data ini tetapi gambaran di luar sana seolah-olah sekolah adalah penyumbang utama penularan jangkitan Covid-19.

“Jika melihat kepada jumlah data ini, bermakna SOP pengoperasian sekolah yang dikeluarkan KPM berjalan dan dilaksanakan dengan baik dengan kerjasama guru-guru, pentadbir sekolah, murid dan ibu bapa sama-sama berusaha memastikan SOP ini dipatuhi dengan baik,” katanya.

Justeru, data tersebut membuktikan jumlah jangkitan Covid-19 melibatkan kluster pendidikan masih kecil berbanding jangkitan dalam negara secara keseluruhan sekali gus menunjukkan tiada keperluan untuk menutup operasi sekolah buat masa ini.

Pada masa sama, ia mengambil kira rekod kehadiran ke sekolah sejak hari pertama persekolahan dengan merekodkan purata kehadiran 90.26 peratus.

Peratusan itu adalah lebih baik malah menyamai trend kehadiran sebelum penularan Covid-19 di negara ini pada 2019 biarpun pihak sekolah tidak pernah menghukum atau mendenda mana-mana murid yang tidak mahu hadir ke sekolah jika risau sekolah tidak selamat ekoran penularan jangkitan.

Radzi bagaimanapun mengakui bukan pilihan terbaik dalam memastikan operasi sekolah secara bersemuka berjalan lancar tetapi KPM cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah termasuk ke asrama dan mengikuti pembelajaran dengan baik dan pada masa sama mengurangkan risiko jangkitan.

Oleh itu, beliau menegaskan, sebarang respons perlu diteliti sebaiknya bukan secara semberono. Begitu juga isu-isu lain yang memerlukan maklumat tepat seperti kes amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang haid sebagaimana tular baru-baru ini. Sedangkan lokasi kes berkenaan tidak diketahui.

Namun jika ia boleh dipastikan kesahihannya seperti kes di Batu Pahat, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar yang dikatakan mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa pelajarnya, beliau sendiri tampil mengulas kerana siasatan kes itu dibuktikan memang benar berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×