Perlu saluran baharu termasuk agama - Utusan Malaysia

Perlu saluran baharu termasuk agama

SAMBUTAN ulang tahun RTM yang ke-75 pada 1 April lalu tidak seharusnya melibatkan pembaharuan pada logo sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 1 April lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyambut ulang tahun ke-75 dengan pelancaran logo baharu yang ketujuh, menggantikan logo keenam yang digunakan sejak Ogos 2004.

Tahniah diucapkan kepada RTM kerana pada tarikh sama melancarkan saluran Sukan RTM bertemakan Sukan Untuk Semua. Sebenarnya, saluran tersebut sudah lama bersiaran sejak Jun 2018 dalam format definisi tinggi (HD).

Pada permulaannya, saluran tersebut menyiarkan pelbagai rancangan RTM dalam format HD sebelum dijadikan saluran sukan bermula musim Piala Dunia Rusia 2018.

Begitu juga dengan saluran Berita RTM yang sudah mula bersiaran pada Disember 2018 menyiarkan slot-slot berita, bual bicara, dokumentari tempatan, majalah, rencana dan travelog.

Berita Pagi, Kapsul Berita Semasa dan Conty News merupakan slot-slot terawal disiarkan hanya di saluran Berita RTM bermula 1 April lalu setelah bertahun-tahun disiarkan melalui TV1.

Sebelum ini, saluran berkenaan sudah ada rancangan-rancangan yang disifatkan eksklusif seperti Cerita Kita, Bicara DR, Pastikan Sahih selain Biz Malaysia.

Serentak dengan itu, RTM mengelolakan rancangan Salam Pagi yang bersiaran pada setiap hari pada pukul 7 pagi selama sejam menerusi TV1.

Ada baiknya RTM melancarkan saluran keagamaan kelolaan sendiri agar siaran azan dapat disiarkan setiap kali waktu solat (kecuali solat Jumaat yang mana siaran langsung disiarkan setiap minggu).

Boleh juga disiarkan siaran langsung solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, tarawih dari Mekah sepanjang Ramadan, majlis tilawah al-Quran sama ada peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa, di samping kesemua rancangan agama termasuk Ehwal Islam yang kebiasaannya disiarkan setiap Khamis malam Jumaat.

Selain itu, RTM perlu juga melancarkan saluran TV4 (bahasa Melayu), TV5 (bahasa Cina) dan TV10 (hiburan umum Inggeris) agar kelima-lima saluran TV1, TV2, TV4, TV5 dan TV10 bersiaran mengikut niche (jurusan) serupa tetapi bahasa berbeza.

Apabila TV4 bersiaran nanti, tidak salah jika saluran tersebut diselitkan dengan sedikit program berteraskan agenda nasional dan kenegaraan di samping menyiarkan drama, filem, telefilem, rancangan hiburan dan kadangkala siaran sukan secara langsung dengan ulasan bahasa Melayu.

Lagu-lagu patriotik hendaklah dimainkan menerusi TV4 setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali serta Krismas.

Saluran TV1 selaku saluran TV pertama negara tiada masalah untuk bersiaran dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Saluran TV2 pula buat masa ini menyiarkan beberapa rancangan Tamil selain sedikit rancangan Cina, boleh cuba menyiarkan lebih banyak rancangan Tamil selepas ini.

Sementara itu, TV6 yang ketika ini masih lagi saluran percubaan terpaksa menyiarkan rancangan-rancangan lama kelolaan RTM, bagi membuktikan saluran berkenaan milik RTM.

Diharap apabila penyiaran sebenar TV6 bermula nanti, adalah lebih baik menyiarkan banyak program anime Jepun di samping animasi tempatan.

Diharap RTM mendengar rayuan kami dan segera melancarkan saluran-saluran tersebut.

MAHU RTM BERUBAH
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya