Pentadbir IPT, henti jadi bacul - Utusan Malaysia

Pentadbir IPT, henti jadi bacul

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak skandal melibatkan pensyarah dibincangkan secara terbuka dalam media. – Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘POSITIF, bukan negatif. Aktif, bukan pasif.’ – Buya Hamka.

Dalam sesebuah masyarakat, martabat ilmuwan diletakkan pada tahana tersendiri yang bukan sahaja dipandang tinggi tetapi juga dilihat memayungi kerana itulah hikmah ilmu – memelihara kesejahteraan masyarakat yang menggalas. Ilmuwan adalah golongan yang memberi dan mencambahkan ilmu sehinggalah masyarakat di sekeliling mendapat manfaat daripada kerja keras mereka.

Dengan bercambahnya kolej dan universiti di seantero negara yang didaftarkan sebagai pusat-pusat pengajian tinggi, bilangan para ilmuwan juga meningkat. Saban tahun, ratusan graduan muda dilantik sebagai pensyarah tempatan. Dengan mempertaruhkan kredibiliti berdasarkan ilmu di dada, mereka memulakan peranan masing-masing sambil menyandang status sosial sebagai pendidik.

Sayangnya, kebelakangan ini kerap pula isu integriti melibatkan golongan ilmuwan dipersoalkan. Baik dari segi penglibatan dalam penerbitan jurnal pemangsa yang tidak menitikberatkan kualiti dan etika, mahupun para pensyarah universiti yang mempolitikkan kerjaya mereka, sehinggalah dakwaan pendidik yang tidak segan dengan sahsiah hidup bermasyarakat. Ada sesuatu yang sudah rosak dan bobrok dalam sistem pengajian tinggi negara apabila semakin banyak skandal melibatkan pensyarah yang dibincangkan secara terbuka dalam media.

KANGKUNG

Setiap dakwaan ini menipiskan kepercayaan masyarakat kepada hikmah dan kebijaksanaan ahli akademik yang sepatutnya menggalas tugas berat merakyatkan ilmu mereka. Bahkan, mutakhir ini istilah ‘profesor kangkung’ digunakan dengan meluas bagi mencela para ilmuwan yang dituduh tidak berkualiti. Istilah ini amat menghina kerana panggilan ‘profesor’ sebetulnya merupakan gelaran akademik tertinggi yang hanya boleh diberikan sejajar pengalaman dan ketinggian ilmu di dada seseorang pendidik.

Terbaru, dunia pendidikan gempar sekali lagi dengan aduan seorang mahasiswi yang melaporkan kepada polis mengenai gangguan seksual yang dialaminya semasa berurusan dengan pensyarah. Tahun lalu, seorang mahasiswi dari universiti terkemuka juga menyiarkan laporan polis yang dibuatnya terhadap pensyarah berkenaan. Laporan polis terpaksa dibuat selepas pihak universiti gagal bertindak dengan berkesan bagi menangani aduan yang dibuatnya.

Seperti wujud trend dalam institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menutup laporan dan siasatan dalaman yang dibuat terhadap ahli institusi mereka. Sedangkan di dunia serba moden ini, perkongsian di media sosial sudah lebih daripada mampu untuk menelanjangkan tabiat buruk ilmuwan yang tidak segan dengan amanah mereka. Pendedahan di media sosial berleluasa apabila desakan dan tuntutan pelajar tiada diendahkan dan secara perlahan-lahan disenyapkan oleh pihak pentadbiran institusi.

Walhal, setiap IPT sepatutnya mempunyai peraturan dalaman yang digarap untuk mengendalikan sebarang aduan dikemukakan kepada pihak pentadbiran secara telus dan efektif. Dek kerana mementingkan kredibiliti nama institusi melebihi kesejahteraan pelajar mereka, pihak pentadbiran sering kali mendiamkan diri jika menerima aduan yang dilihat boleh mendatangkan skandal kepada institusi. Saluran dan prosedur penerima aduan dalaman hanyalah peraturan sempit yang diadakan untuk formaliti tanpa melindungi keselamatan pelajar mahupun integriti institusi.

GULAI

Maka tidak pelik dan janggal apabila saban tahun, ada sahaja IPT yang terpalit dalam skandal gangguan seksual yang dilenyapkan bagai babi merasai gulai. Tabiat buruk ini harus segera dibanteras. Mustahil untuk prestasi dan kualiti IPT dapat dipelihara jika pihak pentadbiran masing-masing masih bersikap bacul dengan amanah yang harus mereka selesaikan. Waima seburuk mana sekalipun skandal yang terpalit, tugas utama mereka adalah untuk memastikan kesejahteraan pelajar terpelihara.

Saya berharap peruntukan khas mengenai prosedur penerimaan dan siasatan aduan gangguan seksual di dalam mana-mana institusi, baik formal mahupun tidak, dapat digarap bersama dalam Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang dicadangkan kepada kerajaan. Dengan cara ini, setiap IPT diletakkan dengan suatu tanggungjawab statutori untuk memastikan mana-mana aduan salah laku seksual terhadap para ilmuwan yang digajikan institusi mereka dikendalikan dengan telus.

Sudah 2021. Amat jelik sekali jika aduan salah laku gangguan seksual dianggap tidak cukup mustahak untuk ditangani dengan kemas di setiap peringkat masyarakat. Semakin tinggi nilai ilmu dan kebijaksanaan dalam sesebuah ketamadunan, seharusnya sama tinggi nilai adab dan hormat dalam masyarakat itu.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN