“Assalamualaikum, kami datang nak cucuk Covid.”
Mungkin itu dialog yang amat dirisaukan golongan antivaksin mahupun golongan BTS (bimbang terhadap suntikan).
Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin turut beranggapan idea mengetuk pintu dari rumah ke rumah bukan kaedah yang baik.
Persoalannya, kalau mahu menunggu semua rakyat sukarela divaksin, memang sampai kiamat pun tidak akan ramai yang sanggup.
Pendaftaran dengan MySejahtera setakat ini berjumlah kira-kira 7 juta orang. Jumlah tersebut ternyata jauh daripada sasaran imuniti kelompok 70 hingga 80 peratus iaitu 20 juta penerima.
Apa yang dibimbangi, apabila kes baharu dalam lingkungan 1,000 berbanding angka 2,000, 3,000 sebelum ini, orang ramai mungkin menganggap kes Covid-19 semakin reda maka makin kurang yang sukarela untuk disuntik vaksin.
Sebaiknya kempen pendaftaran vaksin dipergiatkan di media sosial dan media arus perdana secara lebih kerap.
TESTIMONI
Imej penderitaan pesakit dan testimoni bekas pesakit Covid-19 juga perlu selalu disiarkan bagi mendatangkan keinsafan kepada orang ramai. Promosi dalam kalangan selebriti dan orang ramai yang berniat untuk disuntik vaksin lebih baik ditukar kepada promosi kesan seseorang selepas menerimanya.
Mungkin itu kaedah terbaik sebagai pemasaran vaksin kepada rakyat. Cuma biarlah individu yang benar-benar menepati terma barisan hadapan diberi vaksin, bukannya sekadar individu yang merasakan dirinya adalah barisan hadapan disebabkan selalu berjumpa orang ramai.
Dahulukan yang utama, utamakan yang layak. Janganlah kerana ada kuasa, boleh suka-suka melompat barisan.
Bagi menggalakkan rakyat mendaftar, bukan pintu rumah yang diketuk. Sebaiknya, ketuklah pintu hati setiap rakyat untuk menerima kehadiran vaksin sebagai penyelamat dan bukan penamat.
Ketuklah dengan berhikmah, bukan diugut dengan denda dan penjara kerana orang yang takut perlu diberi suntikan motivasi terlebih dahulu, barulah segalanya dipermudahkan. Insya-Allah.










