PENDEDAHAN Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai 10,000 tan makanan yang masih elok dan plastik dibuang ketika baru beberapa hari umat Islam mengerjakan ibadah puasa adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.
Seolah-olah Ramadan bertukar menjadi pesta makanan dan bulan untuk makan semata-mata sehingga berlaku pembaziran yang sedikit sebanyak mencalarkan imej Islam dan menimbulkan persepsi buruk terhadap umat Islam. Di sudut lain, ia menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar yang akhirnya merugikan semua.
Perkara ini sudah tentu tidak betepatan dengan falsafah Ramadan yang mengajak umat Islam untuk berjimat cermat dan bersederhana.
Untuk itu, masyarakat Islam digesa supaya tidak mengubah tabiat makan sehari-hari kerana dikhuatiri menyebabkan seseorang lupa tujuan berpuasa dan membeli apa sahaja.
Anggaplah bersahur sama seperti sarapan pagi yang biasanya sederhana dengan sebungkus nasi lemak dan teh tarik.
Begitu juga ketika berbuka seperti makan tengah hari dengan sepinggan nasi, lauk-pauk, sayur-sayuran dan minuman yang dianggarkan tidak lebih RM10.
Apabila kebiasaan ini diubah maka terjadilah pembaziran dan malas untuk berjemaah di masjid dan bertarawih yang merupakan satu daripada keunikan Ramadan.
Malah jika bersederhana dan mengamalkan tabiat makan seperti biasa pasti ada lebihan daripada bajet yang dapat pula dimanfaatkan untuk tujuan beribadah dengan harta ketika Ramadan.
SEKOLAH
Ia dapat diganti dengan menyumbang makanan untuk orang berbuka puasa yang besar ganjarannya. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi).
Malah dalam riwayat lain orang yang berbuat demikian termasuk dalam golongan istimewa yang didoakan oleh para malaikat.
Dalam pada itu, dengan bersederhana ketika berbuka mampu mengingatkan kita kepada saudara seagama yang ketika ini dilanda kebuluran akibat peperangan dan musibah yang menimpa mereka.
Bagi mereka, makan atau tidak, sama sahaja kerana berkemungkinan sudah berhari-hari tidak menjamah makanan. Justeru, bersederhana dalam menyediakan juadah berbuka puasa dapat membantu golongan yang memerlukan sama ada di dalam atau luar negara.
Begitu pula terdapat institusi pendidikan Islam yang sedang giat mengumpul dana sepanjang Ramadan untuk pembinaan sekolah dan bangunan tambahan ataupun menyediakan juadah berbuka puasa untuk para pelajar. Maka, menjadi tanggungjawab semua untuk membantu memenuhi keperluan mereka.
Moga nikmat Ramadan dapat dipenuhi dengan segala aktiviti ibadah agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi bertemu Ramadan.
Bertambah lagi rugi apabila gagal tidak meraih kurnia Ramadan yang berlipat kali ganda ganjarannya di sisi Ilahi dan tidak terdapat pada bulan-bulan lain.
DR. Mohd. Ali Muhamad Don ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.










