Jaga adab belajar agar ilmu berkat - Utusan Malaysia

Jaga adab belajar agar ilmu berkat

PENULIS (kiri) dalam salah satu kelas agama yang sering disertainya, empat tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Arwah ayah selalu membawa saya mengikuti kelas-kelas pembelajaran agama. Sejak umur lima tahun, saya mengikut ayah ke usrah, kelas hadis, tazkirah dan kuliah agama.

Di kala itu, banyak perkara yang diajar tidak saya fahami. Maka dalam perjalanan pulang, saya akan bertanya pelbagai soalan kepada ayah.

Cara pengisian ilmu sebegini adalah sebahagian daripada aktiviti pembelajaran yang banyak memberi manfaat kepada saya. Selain dididik di rumah oleh ibu bapa, ayah kerap membawa kami menghadiri program-program ilmu agar mendapat pendidikan yang lebih holistik.

Ayah selalu menerangkan tentang adab ketika belajar, khususnya adab berguru. Kata ayah, ketika menuntut ilmu dengan guru, adab hendaklah sentiasa dijaga supaya ilmu dipelajari akan diberkati. Saya masih ingat pelbagai pesanan ayah ketika dalam perjalanan agar faham cara menghormati guru dan majlis ilmu.

Ketika guru mengajar, jangan kita mempersoalkan ilmu yang diajar. Tidak salah untuk kita bertanyakan soalan atau meminta penjelasan. Namun, jangan sampai kita mempersoalkan atau mempertikaikan ilmu yang diajar hanya kerana kita gagal memahaminya. Malah, bukan semua perkara boleh kita fahami hanya berdasarkan logik akal terutama hal-hal berkaitan akidah dan iman.

Dalam mempelajari sesuatu, ada kalanya saya mengambil masa selama beberapa tahun untuk memahami dengan lebih jelas. Ada kalanya pengalaman yang dilalui menolong untuk memahami sesuatu yang dahulunya tidak saya fahami. Sesetengah perkara itu hanya akan dapat kita fahami dengan lebih jelas setelah masa berlalu.

Maka dalam menuntut ilmu, kita harus bersikap tekun dan sabar. Kita tidak boleh terus mempertikaikan sesuatu hanya kerana kita merasakan ia tidak munasabah. Kita harus sedar, sebagai manusia biasa, kita mempunyai banyak kelemahan dan tidak mungkin dapat menguasai semua disiplin ilmu dengan mendalam dalam hanya sekelip mata.

Saya juga diajar supaya menjaga dengan baik dan tertib bahan-bahan ilmu yang ada. Malah, sudah menjadi budaya dalam kehidupan kita untuk meletak buku-buku di tempat yang agak tinggi, dan tidak sekali-kali di bawah paras kaki, apa lagi buku-buku agama. Seperti mana kita menghormati guru, kita juga harus menghormati bahan ilmu dan ilmu yang dipelajari.

Ustaz saya selalu berpesan, dalam menuntut ilmu, kita perlu sentiasa istiqamah atau komited dan bukannya bersikap hangat-hangat tahi ayam. Jangan pula hanya sebulan dua kita bersemangat untuk belajar dan menghadiri kelas, namun setelah itu terus melupakannya.

Menuntut ilmu adalah tuntutan agama. Kita mesti menjaga adab dalam menuntut ilmu supaya ilmu yang kita pelajari akan diberkati. Keikhlasan dan niat yang betul dalam menuntut ilmu adalah amat penting supaya kita sentiasa bersikap rendah diri serta menghargai ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu yang kita ada ke arah kebaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN