Hak generasi depan jadi wahana baharu - Utusan Malaysia

Hak generasi depan jadi wahana baharu

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan pembelajaran golongan muda. Bagi sebahagian yang lain, kemajuan kerjaya, rancangan perkahwinan dan memiliki anak turut tergendala. Situasi ekonomi pasti mencabar bagi siswa yang mengambil pinjaman pengajian, sementara lulusan baharu institusi pengajian tinggi risau dalam memburu pekerjaan setaraf. Ibu bapa muda yang menjadi sandaran keluarga dari gaji ke gaji bulan berikutnya berasa perit, terutama jika terganggu dengan hutang.

Satu konsep perundangan yang boleh dimanfaatkan dalam menghadapi cabaran semasa ialah dengan mempertimbangkan hak-hak generasi masa depan. Bidang falsafah moral menggelarnya, kewajipan kita terhadap generasi yang akan datang.

Konsep tersebut boleh diletakkan dalam kerangka Islam dan syariah yang menekankan diri (rohaniah) dan kesejahteraan (ukhrawi). Surah al-Nisa’ ayat 9 menegaskan: “Dan hendaklah mereka (ibu bapa dan penjaga) takut kepada Allah seandainya meninggalkan selepas mereka keturunan yang lemah, yang membimbangkan kesejahteraannya.”

Tiap generasi perlu menggunakan sumber alam dengan bersederhana. Allah melarang daripada pemborosan yang menyebabkan masa depan tidak menentu. Al-Quran menentang para pemboros saudara syaitan dengan “hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang (iaitu)…orang-orang yang apabila berbelanja, mereka tidak boros, dan tidak pula bakhil, dan mengambil jalan pertengahan antara melampau (boros dan bakhil).” (al-Furqan, 25:67).

Sumber harta hanyalah amanah daripada Tuhan, seperti firman-Nya: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah untuk kebajikan masyarakat sebahagian dari harta benda yang Dia telah menjadikan kamu menguasainya sebagai wakil, pemegang amanah.” (al-Hadid, 57:7).

KEBEBASAN POLITIK

Dunia antarabangsa mula rancak membahaskan konsep kewajipan kepada generasi depan dari 1960-an dan pada 12 November 1997, Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memaktubkannya melalui Perisytiharan Tanggungjawab Generasi Sekarang Terhadap Generasi Depan.

Perjanjian antarabangsa tersebut menekankan kewajipan untuk mewariskan kesejahteraan menyeluruh kepada generasi mendatang, termasuk dari segi keperluan asas, kebebasan politik, kekeluargaan, alam sekitar, biodiversiti, kebudayaan, keamanan, pembangunan, pendidikan dan kesaksamaan.

Dunia mula memahami kesejahteraan lebih daripada isu produktiviti nasional dan peluang pekerjaan, tetapi turut merangkumi kesihatan, hubungan sesama manusia, pendidikan, kemahiran, perumahan, kewangan dan kualiti persekitaran.

Perspektif baharu ‘kewajipan kita untuk memenuhi hak-hak generasi yang akan datang’ berupaya menjadi wahana, saranan, instrumen, model dan rangka penyelidikan yang boleh dilaksanakan untuk mewujudkan keadaan lebih baik, bahkan masa depan lebih cemerlang. Dasar dan polisi negara perlu mengambil berat terhadap kesan sesuatu rancangan dan projek baharu terhadap generasi akan datang.

Di Wales, konsep tersebut dikanunkan dalam Akta Kesejahteraan Generasi Depan dan pelantikan Pesuruhjaya Generasi Masa Depan yang memiliki kuasa perundangan bebas daripada Kabinet.

Suruhanjaya tersebut mengusahakan dasar-dasar baharu dengan lunas pembangunan lestari untuk tindakan kerajaan secara menyeluruh. Ini termasuklah dokumen Manifesto for the Future yang digubal pada 2020.

Hungary turut memperkenalkan Suruhanjaya Generasi Depan pada 2008, sementara Finland menubuhkan Panitia Parlimen Untuk Masa Depan pada 1990-an yang mengenal pasti isu-isu rumit pada peringkat awal perencanaan dasar-dasar kerajaan yang berimpak pada hari muka.

Bidang ini menekankan pertamanya, taburan kekayaan yang adil antara generasi. Seperti penegasan al-Qur’an: “Janganlah harta itu hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu.” (al-Hashr, 59:7). Golongan fakir, miskin dan yang menderita kekurangan ada hak dalam kitaran ekonomi negara agar martabatnya diangkat ke tahap keadilan.

MENGECAM

Sebab itu banyak ayat al-Quran mengecam ekonomi yang tidak seimbang, kerana ketaksamaan ekonomi amat sukar dibasmi di tengah-tengah perpecahan masyarakat. Kekuatan ekonomi turut bergantung kepada upah dan gaji yang saksama, sementara wajib terdapat galakan keusahawanan dan pembasmian ‘pendapatan tanpa berusaha.’

Para pengkaji hari ini turut mengenal pasti beberapa perubahan penting dalam cara hidup semasa untuk menjamin keadilan dan kelestarian generasi depan.

Komitmen terhadap pengurangan pelepasan karbon perlu diterjemahkan kepada membangunkan tenaga boleh diperbaharui yang mampu dijana daripada sumber alami. Negara dan rakyat perlu berpindah kepada teknologi baharu seperti panel suria dan pengangkutan lestari.

Pembaharuan kepada sistem makanan yang mampan sama ada dari segi perkembangan amalan pertanian, pengagihan makanan, diet dan pengurusan sisa makanan turut mendapat perhatian.

Lebih jauh lagi, perlu ada perubahan dasar pembangunan ke arah pertumbuhan ekonomi dalam batasan persekitaran tamadun yang mesra-alam. Sebab itu, wacana semasa sarat dengan istilah peradaban ekologikal, ekonomi hijau, pekerjaan kolar hijau, perniagaan mampan dan yang seumpamanya.

Insan perlu insaf menggunakan sumber alam secara berhemat dan tidak sewenangnya melakukan perubahan meskipun atas nama kemajuan sains dan teknologi yang membahayakan ekosistem.

Sebaliknya, mutu udara dan air perlu dipertingkat, dan air hujan ialah rahmat yang perlu dikumpul dan dimanfaatkan sepenuhnya. Bahan untuk pembinaan bangunan harus daripada sumber yang boleh diperbaharui atau dikitar semula dan polisi bangunan yang neutral karbon atau rendah kadar pelepasan karbon perlu dikuatkuasakan.

Pengurusan sisa dan sampah wajib dirancang dalam konteks menyokong kitar-semula sambil mengurangkan sisa pepejal domestik di tapak pelupusan. Membebaskan diri daripada sisa dan sampah adalah selaras dengan amaran Allah: “Dan janganlah kamu menghamburkan sumber kebendaanmu secara boros. Sungguh para pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (al-Isra’, 17:26-27).

DR. Mohd. Sani Badron ialah Felow Utama dan Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN