FAM perlu toleransi isu kemanusiaan - Utusan Malaysia

FAM perlu toleransi isu kemanusiaan

HEIN Htet Aung menunjukkan simbol tiga jari ketika perlawanan Selangor FC II menentang PDRM FC pada 6 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TINDAKAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung pemain kelab divisyen dua Selangor FC II dari Myanmar, Hein Htet Aung kerana meraikan jaringan gol dengan menunjukkan simbol tiga jari mencetuskan tanda tanya.

Alasan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu ialah bola sepak mestilah melangkaui kaum, agama dan politik.

Simbol tiga jari sinonim dengan konflik di Myanmar apabila rakyat negara itu yang menyertai tunjuk perasaan mengangkat tiga jari sebagai tanda menentang pihak tentera negara itu.

Adakah FAM lupa pendirian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tentang isu kemanusiaan juga sudah mula berubah? FIFA dan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah memperkenalkan kempen Respect dan No Racism bagi menentang diskriminasi perkauman dan warna kulit yang berlaku di seluruh dunia.

Adakah perlakuan itu sesuatu yang sensitif menurut FAM apabila rakyat Myanmar terpaksa menghadapi rampasan kuasa oleh tentera negara itu? Sedangkan isu itu bukan berbentuk politik tetapi lebih kepada soal kemanusiaan.

Pelbagai negara dari seluruh dunia mengutuk tindakan junta tentera Myanmar yang merampas kerajaan daripada pemimpin sah, Aung San Suu Kyi. Malah, rampasan kuasa itu juga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di negara berkenaan yang mengakibatkan lebih 500 orang awam terbunuh.

Keputusan menggantung pemain Myanmar di bawah Artikel 59,Kod Tatatertib FAM seperti tidak kena dengan maksud asal undang-undang tersebut kerana perbuatan itu tidak menjejaskan semangat kesukanan.

Jika FIFA boleh bertoleransi tentang isu kemanusiaan, kenapa tidak FAM?

YUSLAINI AZMI
Ketua Wanita Muda AMK Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya