Cheras Sentral ‘mati’? - Utusan Malaysia

Cheras Sentral ‘mati’?

PEMANDANGAN di dalam Cheras Sentral yang sunyi sepi tanpa kelibat pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUNYI, sepi dan lengang. Itu keadaan yang dapat dilihat di pusat beli belah Cheras Sentral terletak di Taman Len Seng, Kuala Lumpur. Bangunan ini terletak di laluan Lebuh Raya Cheras-Kajang berdekatan Plaza Tol Grand Saga Batu 9, Cheras.

Lokasi ini dikira cukup strategik kerana berada di laluan utama penduduk dari Cheras, Kajang dan Hulu Langat untuk ke ibu negara setiap hari. Malah, pusat beli belah ini cukup bertuah kerana bersebelahan stesen MRT Taman Connaught.

Namun, pusat beli belah sembilan tingkat ini sudah kelihatan seperti pekan zombi. Pelbagai kedai termasuk dari jenama terkenal tidak lagi beroperasi. Pasar raya yang terletak di tingkat paling bawah sering bertukar jenama sehingga semuanya terpaksa gulung tikar.

Pusat beli belah ini hanya dikunjungi orang ramai yang ingin menonton wayang di tingkat sembilan.

Dek kerana bangunan itu yang lengang dengan kelibat manusia dan sunyi sepi, ada pasangan kekasih berpelukan dan bercumbu di kaki lima.

Entah mana silapnya, mungkin aspek promosi yang kurang memberangsangkan menyebabkan pusat beli belah ini tidak dikunjungi orang ramai. Cheras Sentral dibuka sebelum MRT laluan Sungai Buloh-Kajang siap dibina.

Sepatutnya sebelum virus Covid-19 melanda tahun lalu, pihak pengurusan boleh merangka pelan promosi seperti mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menjadi tuan rumah bagi mana-mana acara pertandingan sekolah di peringkat daerah mahupun negeri.

Selain itu, pihak pengurusan boleh menghantar kertas kerja cadangan kepada kerajaan untuk menambah satu lagi cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan kemudahan kaunter perkhidmatan awam. Sudah tentu, nasib pusat beli belah yang bagai telur di hujung tanduk ini dapat diselamatkan.

Tidak dinafikan, pusat beli belah ini terpaksa bersaing dengan Cheras Leisure Mall dan Eko Cheras Mall yang hanya terletak berhampiran.

Cheras Leisure Mall adalah antara pusat beli belah yang paling lama bertahan dan sudah melebihi usia 20 tahun, manakala Eko Cheras Mall baru berusia setahun jagung, namun kedua-duanya berjaya.

Kalau diimbau sejarah bangunan itu, ia dahulu dikenali sebagai Plaza Phoenix yang akhirnya menjadi pusat beli belah ‘berhantu’ sekali gus mencatatkan sejarah sebagai projek komersial yang gagal.

Wawancara oleh sebuah portal berita tempatan bersama wakil pengurusan Malaysia Land Properties Sdn. Bhd. (Mayland) pada 2012, mereka begitu yakin mampu mengubah nasib pusat beli belah itu. Namun, selepas hampir sedekad harapan itu ternyata meleset.

Plaza Phoenix dibuka pada Disember 1994, namun terpaksa ditutup Ogos 2005. Pada 2008, Mayland yang merupakan pengusaha hotel dan pemaju hartanah berpangkalan di Hong Kong mengambil alih projek tersebut.

HASIF
Cheras, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya