Ramai dalam kalangan kita mungkin mula mengenali karya-karya klasik dan epik sejak usia kanak-kanak. Kemungkinan besar, karya yang dibaca bukanlah edisi lengkap atau edisi asal. Sebaliknya, kita membaca versi mudah atau edisi ringkas.
Misalnya, kisah-kisah Hang Tuah dan rakan-rakannya dibaca dalam bentuk buku cerita kanak-kanak. Begitu juga kisah Raja Suran, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang dan Badang. Hanya kemudian, ramai dalam kalangan kita berpeluang membaca kisah penuh dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Pengalaman sama juga dimiliki dalam pembacaan karya-karya besar dari Barat, misalnya cerita-cerita Shakespeare. Malah, jauh sebelum membaca teks lengkap Ramayana atau Hikayat Seri Rama dan Mahabharata atau Hikayat Pandawa Lima, kita tentu telah membaca pelbagai versi ringkas yang sesuai dengan usia kanak-kanak dan remaja.
Karya-karya klasik dan epik lama memang sering diceritakan semula dan diberi interpretasi mengikut zaman dan lokaliti. Oleh hal demikian jugalah pelbagai cerita rakyat boleh dinikmati dalam pelbagai versi di seluruh dunia.
Kita tinggalkan sebentar karya klasik dan epik lama yang sudah ada dalam banyak edisi dan versi mengikut kesesuaian umur pembaca. Bagaimana pula dengan karya moden, khasnya novel yang dihasilkan oleh para penulis Malaysia?
Komponen Sastera (Komsas) yang diperkenalkan di sekolah seluruh negara sejak 2000 masih boleh dipertikaikan kejayaan dalam mencapai objektif meningkatkan minat membaca dan menghargai karya sastera, seterusnya mampu menghasilkan karya sastera yang kreatif dan bermutu.Sebenarnya, teks Komsas yang digunakan di sekolah masih sama dengan versi asal, walaupun mungkin sedikit ‘pemurnian’ dilakukan supaya sesuai dengan khalayak pembaca remaja (pelajar). Misalnya, novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain pertama kali terbit pada 1971.
Novel berkenaan diulang cetak banyak kali dengan pembetulan bahasa mengikut sistem ejaan baharu, misalnya pada 1996 dan 2003. Kemudian, penyuntingan (pemurnian) dilakukan sebelum diterbitkan sebagai Interlok Edisi Pelajar (2005). Apabila dijadikan teks Komsas dengan judul Interlok Edisi Murid (2010), lebih banyak penyuntingan sudah dilakukan.
Bagaimanapun, tidak banyak perkara diubah. Malah, Lim Swee Tin pernah berhujah, novel berkenaan terlalu tebal lalu mencadangkan 20 halaman dibuang (digugurkan). Novel Interlok memang berat dan mungkin sukar untuk menarik minat pelajar pelbagai aliran untuk menikmatinya.
Keadaan ini mengingatkan saya kembali kepada karya epik yang terdapat dalam pelbagai edisi mengikut umur pembaca. Kisah-kisah Sejarah Melayu, Ramayana dan Mahabharata memang sudah ada dalam pelbagai versi. Selain versi kanak-kanak dan remaja, karya berkenaan turut disampaikan dalam bentuk komik, animasi dan filem. Bagaimana pula karya moden tempatan?
RINGKASAN
Sejak kanak-kanak, saya gemar membaca majalah Reader’s Digest. Sebagaimana dicadangkan judulnya, majalah berkenaan memberi ‘ringkasan’ atau edisi ringkas pelbagai esei, rencana dan karya kreatif. Maka, orang ramai boleh mencerna (digest) edisi ringkas berkenaan dan kemudian memutuskan untuk membaca karya asal.
Malah, sejak 1950, Reader’s Digest Condensed Books diterbitkan secara berkala. Mulai 1997, diterbitkan pula sebagai Reader’s Digest Selected Editions. Novel East of Eden (John Steinbeck), To Kill a Mockingbird (Harper Lee), As the Crow Flies (Jeffrey Archer), The Firm (John Grisham), dan The Ghost (Robert Harris) antara karya yang diterbitkan dalam siri ini.
Apa yang disajikan bukan ringkasan atau ulasan novel. Sebaliknya, versi pendek karya itu dipersembahkan dengan cara yang mampu menarik minat khalayak umum. Orang ramai berpeluang membaca versi ringkas (condensed, abridged) karya-karya hebat. Sekiranya buku berkenaan sangat menarik, tentu sahaja pembaca tidak keberatan membaca versi asal (unabridged) pada masa depan.
MURAH
Bagaimana pula keadaan di Malaysia? Tentulah tidak wajar untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, kita perlu memikirkan apakah kekangan yang wujud dan apakah pula langkah yang boleh diambil untuk menyajikan karya sastera tempatan dalam versi ringkas kepada pembaca pelbagai peringkat umur.
Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan 26 karya Sasterawan Negara di bawah projek Edisi Malaysia Membaca wajar dipuji. Orang ramai boleh menikmati karya-karya unggul pada harga murah. Akan tetapi, kandungan buku masih sama dengan versi asal. Bezanya hanyalah reka kulit minimalis dan buku dicetak menggunakan kertas surat khabar (newsprint paper).
Novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, misalnya, sudah banyak kali diterbitkan sejak 1961. Sekiranya diteliti, tidak banyak perubahan dibuat dalam kesemua edisi. Hanya versi terjemahan Inggeris (1975, 1991 dan 2013) oleh tiga penterjemah berbeza menampakkan perbezaan amat nyata.
Tentu amat menarik sekiranya karya-karya terpilih Sasterawan Negara dan novel-novel yang menang hadiah peringkat kebangsaan diterbitkan pula dalam edisi ringkas (abridged). Khalayak umum yang bukan peminat tegar novel dan karya sastera juga mungkin akan berminat membaca edisi ringkas itu untuk mengetahui apakah kehebatan novel berkenaan.
Kita sedar bahawa usaha ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hal-hal berkaitan hak cipta, hak penerbitan, royalti dan sebagainya perlu difikirkan dan diselesaikan bagi menjayakan projek ini. Bagaimanapun, kerja akan menjadi lebih mudah sekiranya pihak penerbit, penulis dan penyunting berbincang bersama-sama. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Sama-sama kita impikan masa depan di mana generasi muda di Malaysia sudah kenal novel-novel para Sasterawan Negara selepas berpeluang membaca versi ringkas yang disajikan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak, remaja dan dewasa.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










