Senyuman di sebalik pelitup muka - Utusan Malaysia

Senyuman di sebalik pelitup muka

Beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu dilanda cuaca panas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak hampir setahun lalu, kita sudah membiasakan diri memakai pelitup muka demi keselamatan diri. Tanpa disedari, pemakaian pelitup muka memberi kesan terhadap komunikasi interpersonal di tempat awam.

Sekiranya kita meneliti teori-teori komunikasi, memang dinyatakan kepentingan aspek bukan lisan (non-verbal) dalam menjayakan interaksi kita semasa berbual dengan orang lain.

Sama ada disedari atau tidak, kita akan memandang muka individu yang diajak berbual. Hal ini bukan hanya semasa berbual secara bersemuka tetapi juga apabila berkomunikasi menggunakan panggilan video menerusi telefon pintar atau pelbagai aplikasi lain di komputer riba.

Apabila berbual menerusi panggilan video atau peranti lain, mungkin pelitup muka tidak dipakai kerana tidak timbul isu penjarakan fizikal dan undang-undang pemakaiannya. Maka kita boleh menguntum senyuman kepada rakan.

Akan tetapi, kekangan berlaku sewaktu berbual atau berurusan di tempat awam seperti di kaunter. Sudahlah petugas kaunter di jabatan kerajaan sering dituduh tidak mesra, pelitup muka mungkin memburukkan keadaan. Hal sama juga berlaku jika bertemu seorang rakan di tempat awam seperti pasar kerana tidak boleh melemparkan senyuman.

Memandangkan hampir separuh wajah kita tertutup oleh pelitup muka, maka komunikasi bukan lisan melibatkan gerak bibir sudah terhalang. Kita terpaksa bergantung kepada ‘bahasa’ mata, kening dan dahi untuk memahami makna tambahan yang terkandung dalam perbualan itu.

Penjarakan fizikal pula membuatkan kurang sentuhan atau pegangan tangan walaupun aksi itu juga sebahagian daripada komunikasi dan interaksi antara manusia. Kita masih boleh melihat gerak tangan dan lenggok tubuh seseorang untuk memahami mesej yang disampaikan menerusi bahasa badan (body language).

Suara memainkan peranan penting dalam komunikasi kita pada waktu ini. Cara kita menyebut perkataan dan meluahkan pandangan atau perasaan sangat penting supaya tidak disalah tafsir.

Sekiranya kita tersalah memilih perkataan atau menggunakan nada yang tidak sesuai, mesej yang sampai mungkin berbeza berbanding apa sebenarnya kita maksudkan.

Ada beberapa alternatif yang boleh kita jadikan amalan. Pertama, menggunakan komunikasi bertulis, misalnya kiriman teks menerusi telefon pintar. Akan tetapi, pelbagai masalah dan kekangan baharu pula terpaksa dihadapi.

Misalnya penggunaan bahasa slanga seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia pada 7 Mac lalu boleh menimbulkan jurang komunikasi. Mungkin sahaja kelompok tertutup yang memahami segala simbol dan singkatan akan memahami mesej dikirim, tetapi kelompok umum akan menghadapi masalah untuk memahaminya. Maka, wujud jurang komunikasi kerana ‘bahasa’ (ejaan, singkatan, simbol) yang digunakan hanya difahami kelompok tertentu.

MIMIK MUKA

Kedua, menggunakan panggilan video dari rumah tanpa memakai pelitup muka. Jika tidak berhijab, maka kita dapat saling melihat keseluruhan wajah dan memahami mimik muka yang dipamerkan. Namun begitu, bagi kita yang sudah biasa (terpaksa) menggunakan panggilan video sejak setahun lalu pasti memahami kekangan yang masih wujud.

Dalam istilah komunikasi, ia dinamakan gangguan atau noise yang menghalang penghantaran dan penerimaan (pemahaman) mesej. Para guru dan pelajar yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pasti memahami pelbagai gangguan yang wujud.

Gangguan bukan hanya akibat liputan internet yang mungkin terputus-putus, sekali gus membuatkan visual dan suara juga terputus-putus. Bagi seorang pelajar, misalnya, berinteraksi dengan guru di bilik darjah bersama rakan-rakan sekelas tidak sama dengan berinteraksi bersama guru yang sama menerusi komputer riba sambil duduk di ruang tamu rumah semasa ibu bapaya sedang turut bekerja dari rumah.

Ketiga, bertemu rakan di rumah atau di restoran. Apabila bertemu di restoran, kita berbual sambil makan dan minum. Maka, kita tidak perlu memakai pelitup muka pada waktu itu. Pelitup muka tentu tidak boleh ditanggal sesuka hati. Misalnya, apabila terjumpa seorang kenalan di pasar, kedai runcit, pejabat, atau tempat awam.

Budaya kita memang suka berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan dan kenalan. Malangnya, dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum terkawal sepenuhnya, kita belum mampu menggayakan lirik lagu Senyum yang popular sejak lebih sedekad lalu. Misalnya, Kau tersenyum, ku tersenyum dan senyum… kepada semua.

Sesungguhnya, senyuman adalah mesej paling mudah untuk berkomunikasi dengan orang lain. Malah, sebagaimana dikatakan dalam kalangan orang Islam, senyum adalah sedekah. Malangnya, dalam situasi sekarang, kita menghadapi masalah untuk menyedekahkan senyuman.

Pada masa sama, walaupun sewaktu senyuman tidak dapat dilihat, ia tetap memberi kesan kepada suara dan gaya perbualan kita. Sebagai contoh, apabila berbual dengan seseorang menerusi telefon, pastikan anda tersenyum. Senyuman itu (walaupun tidak dilihat oleh rakan di telefon) tetap memberi aura positif dan menjadikan nada suara lebih mesra.

Maka, apabila bertemu sesiapa di tempat awam, kekalkan senyuman walaupun orang lain tidak dapat melihat senyuman itu. Beritahu diri bahawa senyuman pada bibir akan mempengaruhi suara dan nada perbualan kita. Apabila bibir menguntum senyuman, mata juga akan turut bercahaya dan menampakkan kemesraan dalam komunikasi.

Hal-hal ini tentu boleh disemak ketepatan fakta menerusi buku-buku ilmu komunikasi yang sedia ada dalam pasaran. Atau cara yang lebih mudah adalah dengan cuba mengamalkannya dan lihat sendiri sama ada senyuman yang terlindung di sebalik pelitup muka masih memberi kesan positif kepada perbualan anda dengan orang lain. Mungkin senyum yang tidak kelihatan itu masih suatu sedekah.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN