Allah SWT menjelaskan kepada kita, penciptaan manusia berasal dari rumpun yang satu. Namun begitu, dalam penciptaan-Nya terdapat dua faktor berbeza. Pertama, faktor yang membezakan antara jantina. Kedua, yang membezakan antara satu kabilah dan kabilah lain. Sebagaimana firman-Nya dalam ayat 13, surah al-Hujurat bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu.”
Justeru, jantina seseorang merupakan faktor asasi dan penentu dalam riwayat hidup semenjak dia lahir hingga meninggal dunia. Islam menetapkan jantina kerana Islam mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi di mana hak-hak lelaki dan perempuan adalah berbeza. Sebagai contoh, dalam undang-undang pernikahan (munakahat), syarat sah pernikahan mesti berlaku antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Jika syarat ini tidak dipatuhi, maka pernikahan tersebut tidak sah dan pergaulan juga menjadi haram. Begitu juga dalam soal pusaka di mana lelaki mendapat dua bahagian berbanding perempuan.
Selain itu, Islam juga menetapkan kedudukan lelaki mesti berada di hadapan saf perempuan ketika solat. Begitu juga batas aurat antara lelaki dan perempuan. Perkara ini juga berbeza mengikut jantina. Islam mengambil kira soal urusan memandikan jenazah iaitu jenazah perempuan hendaklah dimandikan dan diuruskan oleh perempuan, begitulah sebaliknya. Berdasarkan hukum Allah yang menetapkan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan, lelaki juga bertindak sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk seisi keluarga. Maka lelaki selayaknya memiliki sifat-sifat kepimpinan dan lebih tegas berbanding perempuan.
Ini kerana persepsi yang diletakkan ke atas seorang perempuan terhadap sifatnya yang lemah lembut, mengharapkan perlindungan, bersifat keibuan, selari dengan naluri perempuan itu sendiri.
Maka sifat-sifat kejantinaan ini yang perlu dijaga bagi mengelakkan kecelaruan dalam hubungan sesama manusia dan mengekalkan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Kedua-dua faktor berbeza ini adalah asas kepada tamadun manusia dan kehidupan sosial mereka. Manusia mengikut fitrah kejadiannya yang dibekalkan Allah SWT, bertanggungjawab mengawal batas bagi kedua-dua faktor itu. Hikmah seorang lelaki dijadikan berbeza daripada seorang perempuan melalui bentuk dan nalurinya adalah agar kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, sewajarnya ciri perbezaan itu dikawal dengan baik dalam kehidupan sosial manusia.
Mustafa al-Khin menegaskan secara prinsipnya, Islam mengharamkan penyerupaan lelaki seperti perempuan dan penyerupaan perempuan seperti lelaki sama ada dari segi pakaian, perhiasan dan kelakuan. Dalil pengharaman penyerupaan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW. Daripada Ibn ‘Abbas r.a berkata, maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”(Hadis riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Tirmizi).
INTERSEKS
Golongan ini dilaknat oleh Nabi SAW sama ada lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya. Dalam hal ini, ia merujuk kepada golongan lelaki yang menyerupai wanita dari pelbagai sudut sehingga menonjolkan seseorang lelaki itu sebagai wanita, bukan lagi sebagai lelaki. Golongan ini juga dikenali dengan istilah mak nyah. Golongan wanita yang menyerupai lelaki dikenali sebagai pengkid.
Seterusnya, menurut Profesor Dr. Hatta Sidi, transgender ialah perkataan payung merangkumi pelbagai bentuk identiti seperti sebelum pembedahan, selepas pembedahan (pertukaran jantina), transeksual yang belum lagi menjalani pembedahan, golongan yang melaporkan diri mereka dilahirkan sebagai jantina yang salah, golongan mak nyah memakai pakaian perempuan (tradisinya dikenal sebagai transvestit) dan golongan individu interseks (dahulu dikenal sebagai hermaphrodites) yang mempunyai kedua-dua organ pembiakan lelaki dan perempuan.
Meskipun begitu, Islam mengakui terdapat manusia yang mempunyai kekeliruan identiti jantina. Golongan ini dipanggil khunsa yang mempunyai dua alat kelamin, lelaki dan perempuan. Khunsa terbahagi kepada dua, wadih (nyata) dan musykil (tidak nyata). Khunsa wadih memiliki tanda dominan kelelakian atau keperempuanan. Khunsa musykil pula tiada tanda dominan, sukar dibezakan seperti air kencing keluar serentak atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.
Selanjutnya, Imam empat mazhab berbeza pandangan mengenai kedudukan mukhannath (lelaki yang berperwatakan seperti perempuan) menurut syarak. Mazhab Hanafi misalnya menjelaskan, ia adalah sifat lembut pada perbuatan yang menyerupai perempuan sedangkan dia lelaki. Dia dianggap orang fasiq kerana cenderung kepada sifat kewanitaan. Mazhab Syafie pula berpandangan, mukhannath adalah seorang lelaki berkelakuan seperti wanita sama ada dalam pergerakannya atau keadaannya. Jika dengan sebab kejadian semula jadi, maka tidak dikira berdosa, selagi mana dia tidak berpenampilan menyerupai wanita.
Justeru, persoalan yang paling penting adalah bagaimana untuk masyarakat bergaul dengan golongan transgender atau mak nyah berdasarkan panduan syarak? Sebagai Muslim, sudah pasti kita perlu mengutamakan hukum yang ditetapkan. Namun pada waktu sama, berdiskusi serta membimbing golongan tersebut dengan pendekatan hikmah dan tepat mengenai sudut pandang Islam tentang kedudukan mereka perlu dilakukan.
Masyarakat juga perlu menyedari kehadiran mereka sebagai kumpulan yang perlu dibimbing berdasarkan panduan agama. Elemen pendidikan dan pencegahan kepada yang belum terjebak, bimbingan dan nasihat kepada mereka yang ingin berhijrah dan kembali kepada fitrah, serta penguatkuasaan kepada mereka yang mempromosi gaya hidup bercanggah dengan norma masyarakat, perlu bergerak seiring agar isu transgender atau mak nyah ini dapat ditangani secara holistik.
DR. Mohd Izwan Md. Yusof ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










