Menang sorak kampung tergadai - Utusan Malaysia

Menang sorak kampung tergadai

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIASAN pepatah Melayu yang sering diungkap agar menjadi nasihat kepada kita. Jeritan kuat suara, memekik terlolong, perkumpulan sana-sini, suara feudal, suara war lord.

Ini semua karenah yang akan mencorakkan pemikiran yang sempit tanpa menggunakan fakta yang hakiki, hanya berkiblat nafsu hati.

Pemikiran yang jumud ini bukan sekadar menjadi intipati perjuangan, tetapi disebalik pemikiran tanpa cakna ini, ia hanya tertumpu kepada beberapa individu dalam mencapai sesuatu maksud yang cuba dihalalkan.

Hari ini, Jiwa yang merdeka satu masa dahulu sudah dipenjara didalam diri ramai Melayu. Masih menyimpan suara, masih menggigit kuku, masih dibiarkan harta benda mempengaruhi diri, masih menyimpan hasrat kepentingan individu.

Walaupun dalam logik akal, mereka sedar akan kekalahan pasti ditemui, terus terjerumus dalam penghinaan. Adakah kita akan biar, Si luncai untuk tenggelam dengan labu-labunya? Kerana, dek kerana si luncai, habis sekampung menerima padahnya.

Permainan Politik hari ini yang masih berpaksi kepada kelompok-kelompok ‘kabilah’, makin hari makin jauh sungguh terpisah dengan hakikat kehendak bangsa yang semakin dihimpit dengan kehidupan dalam kemiskinan.

Saban hari kita melaungkan ‘demi perjuangan!’, tetapi apa yang kita perjuangkan? Adakah nasib bangsa dan rakyat, atau nasib poket dan kepentingan sendiri.

Tidak dinafikan, di luar sana, masih ramai di antara kita punya perasaan membuak-buak untuk berjuang demi anak bangsa, kehangatan yang makin kelam masih ada di dalam jiwa yang bacul tidak termampu membendung untuk dizahirkan dalam perjuangan.

Mana bangsaku yang dahulunya Pendekar Kemerdekaan? Mana hilangnya jiwa amuk yang dahulunya tercatit dalam kamus dunia? Mana perginya laskar bangsa di dalam Sulatus Salitin? Semuanya menikus dalam Politik yang kotor dan jijik kerana masih disuapkan dengan janji-janji keduniaan.

Perjuangan ini bukan milik sesiapa, bukan juga milik mana-mana pemimpin. Ia lahir dari kesatuan Melayu yang mahu melihat kemerdekaan di selitupi dengan kain pelikat orang Melayu dan panji Islam. Islam ditegakkan menjadi tiang seri, hak bangsa dijaga rapi.

Namun, semua ini sudah menjadi lapuk dalam diri ramai pejuang. Mungkin mereka kini lena tidur diselubungi sutera lembut pemberian pembesar dan petualang.

Tangisan puluhan ribu anak bangsa sudah boleh dilupakan. Mereka bermegah dalam mencatur politik, bermegah dengan buaian kuasa, kalah menang bukan lagi menjadi matlamatnya. Matlamat menjaga kesucian Islam bukan lagi keutamaan. Semuanya, terkunci rapi. Mulut yang berzikir, mengucap syahadah juga seperti sudah dipateri.

Mana perginya panyair yang turun dari gunung, sudah bertahun dia duduk di situ beratus-ratus tahun? Ke mana genggaman yang dijanjikan untuk menjulang tangan anak bangsa? Kini layu, hanya kuat menggenggam kuasa.

Mana perginya anak kecil yang bermain api hingga membakar dirinya sendiri? Mereka tidak tahukah sengketa sesama sendiri yang akan membawa lenyapnya cinta kepada bangsa? Mungkinkah tiada makna lagi ungkapan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’.

Melayu masih ada, tetapi Melayu hanya menumpang di tanah airnya. Hanya gah menjulang nama, tetapi tiada kuasa.

Bangsaku masih belum sedar akan kekalahan, Allah SWT sayang pada kita, namun masih kita tidak mengenal erti ini adalah peluang kali kedua.

Datuk Razlan Rafii adalah Ahlis Majlis Tertinggi UMNO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya