Sejak Amerika Syarikat (AS) menabalkan Joseph Robinette Biden Jr. sebagai Presiden ke-46 dalam majlis yang mendapat tumpuan seluruh dunia, ada yang memberi tumpuan kepada ucapan sulung beliau yang dilihat cuba untuk memulihkan luka yang dialami negara itu sepanjang kepimpinan Donald Trump terutama di saat-saat akhir peralihan kuasa. Tidak kurang juga yang memberi tumpuan kepada nyanyian lagu kebangsaan Star Spangled Banner versi Lady Gaga yang dilihat seolah-olah merayakan kelahiran semula AS.
Namun, paling menarik perhatian bukan sahaja kepada saya bahkan seluruh dunia adalah deklamasi puisi dalam majlis tersebut oleh seorang gadis muda bernama Amanda Gorman.
Puisi The Hill We Climb nukilan gadis kulit hitam berusia 22 tahun itu ditulis khas sempena majlis tersebut. Sensasi yang dicetuskan oleh Amanda Gorman hampir menenggelamkan ucapan sulung Biden sendiri. Bahkan dalam satu temu bual, Amanda memberitahu, ada yang mengusiknya dengan menyatakan dia bertuah apabila Presiden AS sendiri yang memberikan ucapan pembukaan dalam majlis puisinya!
Diamati bait-bait puisi gadis itu, tidak dapat dinafikan kefasihan permainan kata-katanya sangat mengalir sementelah dia adalah graduan dari Ivy League University meskipun di awal usianya, dia menghadapi kesukaran dalam bertutur. Namun, apa yang lebih menjadikan puisi itu hidup ialah apabila baris katanya tidak terawang-awang bahkan menjejak ke bumi yang nyata.
Dalam batasan ruang dan waktu, Amanda Gorman merakamkan segala apa yang telah, sedang dan seharusnya berlaku bagi AS.
Demikianlah mesej dakwah yang seharusnya disampaikan bahkan telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan golongan mukmin selepas itu. Dakwah yang bertujuan menyeru manusia kepada Allah harus dipaksikan kepada mesej yang jelas, tuntas dan membumi seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku; aku dan dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata; (dan aku menegaskan:) maha suci Allah (daripada segala i’tiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf, ayat 108)
Seruan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sentiasa hadir dalam nada realiti masyarakat baginda SAW. Dalam situasi penyekutuan terhadap Tuhan yang layak disembah masih menebal dalam kalangan masyarakat di awal seruan Nabi SAW, mesej-mesej dakwah yang lebih menumpukan kepada keesaan Allah dan menolak konsep ketuhanan selain-Nya menjadi tema melatari dakwah dalam tempoh yang dikenali sebagai fasa makkiyah.
MADANIYYAH
Fasa dakwah dalam tempoh madaniyyah pula sarat bertumpu kepada soal pengaturan interaksi sosial masyarakat yang rencam pegangan kepercayaan, latar belakang dan sebagainya. Bergerak atas asas yang sentiasa realistik inilah yang menyebabkan Islam mampu diterima dan mencipta gelombang yang bukan sekadar menggegar Semenanjung Arab tetapi jauh menerobos seluruh pelosok dunia.
Lantas cabaran dakwah masa kini bukan sekadar harus berlegar di sekitar wacana pengaplikasian teknologi terkini sahaja. Tanpa menafikan betapa penguasaan dan penggunaan teknologi terkini amat penting dalam penyampaian mesej Islam, namun jika kandungan mesej itu sendiri tidak realistik dengan situasi semasa, terawang-awang bahkan penuh bersadur khayalan dan dongeng, maka datangkanlah sejuta teknologi penyampaian yang sofistikated sekalipun, mesej Islam akan tetap dipandang hambar dengan keterpaksaan dan bukannya sahutan yang sepenuh jiwa.
Menjadi tanggungjawab setiap organisasi, gerakan dan individu yang bertekad untuk membawa panji seruan Islam bagi menekuni segera apakah keresahan dan kehendak yang wujud dalam masyarakat, lantas menghadirkan penyelesaian yang dibawa melalui mesej Islam tersebut. Dalam menghadapi dampak yang penuh kesukaran akibat pandemik Covid-19, organisasi, gerakan dan individu yang membawa mesej seruan Islam tidak cukup sekadar retorik seputar mesej sabar, kasih sayang dan tawakal semata-mata.
Seruan yang dibawa perlu turut memberi cadangan penyelesaian atau sekurang-kurangnya bantuan yang akan meringankan sedikit keresahan masyarakat yang dihimpit sesak dengan bencana kesihatan dan ekonomi ekoran pandemik ini. Seruan yang lebih menyeluruh inilah yang lebih didambakan oleh masyarakat bukan sahaja Muslim bahkan yang bukan Muslim.
Buktinya jelas apabila wujudnya personaliti dan organisasi yang membawa mesej Islam tidak sekadar retorik dengan slogan kasih sayang, kesabaran dan kemurahan hati bahkan menghadirkan bukti perbuatan secara amali, penerimaan masyarakat merentasi segenap sempadan jelas terserlah.
FALSAFAH
Itulah juga falsafah gerakan dakwah yang Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) bertekad untuk menzahirkan. Dengan didanai oleh wang rakyat, Yadim meyakini bahawa kepada rakyatlah sewajarnya dana itu dikembalikan dengan didasarkan kepada mesej Islam yang jelas. Sebagai contoh, dalam misi bantuan banjir 2020-2021, Yadim memperuntukan sekitar RM500,000 wang awam dan korporat untuk disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan semasa termasuk pasca banjir lalu di seluruh negara.
Bantuan tersebut merangkumi barangan makanan, kit kebersihan, penyediaan tempat ibadat, tenaga sukarelawan mencuci serta pengisian kerohanian. Pakej bantuan sebegini kami fikirkan akan menjadi bentuk seruan Islami yang menyeluruh meliputi keperluan fizikal dan spiritual yang relevan dan realistik. Sehingga kini, 5,987 keluarga telah menerima bantuan dan insya-Allah, selagi mana diberikan kemampuan daripada setiap sumbangan yang diterima, Yadim akan meluaskan lagi cakupan seruan dakwah bil hal ini dengan tumpuan mula diberikan kepada bantuan pusingan kedua bagi kumpulan yang terjejas dek penangan Covid-19.
Kesimpulan daripada coretan pada kali ini sebenarnya mudah. Sering kali seruan Islam itu diibaratkan seperti cahaya yang menerangi. Namun, sekadar memperihalkan sifat cahaya tersebut tanpa menzahirkan terangnya cahaya itu secara amali dan realistik, maka amat sukar untuk dilihat gelombang penerimaan tercetus. Justeru, tiada pilihan lain kepada setiap organisasi, institusi atau individu yang bertekad untuk membawa amanah seruan ini, selain daripada membina keberanian untuk menjadi cahaya yang menerangi, bukannya sekadar pemerihal kepada cahaya seperti diungkapkan Amanda Gorman di hujung puisinya yang masyhur itu.
Moga Allah terima!
PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).










