Pendakwaan terhadap lapan Ahli Jawatankuasa Kerja dan Kemajuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerantut kerana membantah pendidikan tulisan Jawi yang dimasukkan dalam kurikulum pendidikan aliran bahasa Cina menyebabkan beberapa kenyataan keras dikeluarkan sebilangan pihak sebagai tindak balas yang bukan sahaja mengecam tindakan mahkamah itu. Ia juga menegaskan bantahan terus mereka terhadap pendidikan tulisan Jawi itu yang merupakan pengenalan sahaja.
Selain kenyataan yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pendakwaan itu yang dianggap tidak munasabah kerana berupa perhimpunan aman sahaja, mereka untuk sekian kali menyatakan bantahan keras lagi tidak berganjak terhadap langkah memperkenal tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK). Mereka menyeru etnik India untuk ikut bertindak bagi terus menolak pendidikan tulisan Jawi itu kepada murid di tahap dua, iaitu dari tahun empat sehingga enam.
Ia disarankan sebagai usaha bersatu padu di samping penggemblengan kerjasama bukan Melayu untuk menentangnya bagi melindungi pendidikan bahasa ibunda dan identiti SJK sebagai sekolah aliran bahasa Cina dan Tamil. Dalam pada itu melalui kenyataan yang berbau perkauman, ditekankan dengan tegas bahawa mereka tidak sesekali menolak tulisan Jawi, tetapi hanya tidak mahukannya dalam kurikulum SJK.
Ini ironi kerana penerimaan tulisan Jawi secara umum oleh mereka, didapati bercanggah apabila mereka pula berikhtiar secara khusus untuk menampiknya di SJKC. Ini bukan sahaja penghujahan yang tidak masuk akal, ia memperlihat sikap munafik yang buruk. Ini kerana ia yang berupa pengakuan untuk menerima, menyokong dan membela tulisan Jawi pada kata-kata, tidak pun diperlihat melalui perbuatan. Dengan ini, tulisan Jawi yang diakui tidak pun dibantah mereka itu, langsung tidak mahu pula diperlaku sebegitu, waima pada kadar kecil sahaja sebagai pengenalan dalam bentuk ringkas, sebanyak tiga halaman sahaja daripada sukatan pelajaran setebal ratusan halaman.
Penghujahan dan sikap itu terang-terangan memperlihat betapa tidak ikhlas dan palsunya kata-kata sokongan tersebut kerana ia langsung tidak mahu dipadankan, walau hanya sekelumit melalui tindakan mereka yang terus mahu membantah dan dengan amat keras pula. Dengan ini, hujah menyokong itu hipokrit semata-mata, manakala sikap jelik sama sekali tidak mengendahkan musibah yang boleh timbul apabila dipertikai tulisan Jawi yang merupakan lambang negara.
Sebenarnya pendidikan tulisan Jawi tidak merupakan isu lagi setelah dijadikan pilihan sahaja di SJK. Sehubungan itu, hanya 23 SJKC daripada 1,298 buah dan dua daripada 524 sekolah jenis kebangsaan Tamil yang memilih untuk mengajarnya setelah diluluskan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) masing-masing. Bagaimanapun, dalam keadaan kompromi ini melalui pilihan yang diberikan, aktivis pendidikan aliran bahasa Cina masih mahu terus mengungkit-ungkit ketidaksesuaian tulisan Jawi berada dalam kurikulum sekolah aliran bahasa ibunda, meskipun sebegitu kecil sekali kadarnya.
Dalam hal ini, aktivis ini terus mahu mempercayai akan adanya pertelingkahan antara ibu bapa dengan PIBG ekoran pemilihan yang wajib dibuat tentang pendidikan tulisan Jawi. Ini kerana ibu bapa yang memilih itu rata-ratanya daripada etnik Melayu, manakala kepimpinan PIBG di SJK kebanyakannya bukan Melayu. Seterusnya, perseteruan dalaman sekolah, iaitu akan adanya kelompok guru bersetuju dan tidak yang dikhuatiri boleh menimbulkan masalah berpuak-puak adalah dalil lain untuk keperluan pendidikan tulisan Jawi ditolak.
HENTAM KROMO
Satu lagi alasannya ialah kehilangan kuasa membuat keputusan oleh lembaga pengelola sekolah (LPS). Sebenarnya LPS tidak ada sebarang peranan dalam ehwal kurikulum, iaitu pengajian akademik pada sesuatu tahap. Sebaliknya, ia yang sering membantu sekolah dalam pelbagai kegiatan, tidak dapat dinafikan terlibat secara aktif lagi langsung dengan perihal kokurikulum, iaitu urusan bukan akademik. Dengan peranan sedemikian jelas pada LPS, meleset sekali hujahnya untuk melibatkannya dalam membuat keputusan akademik.
Berbalik kepada kenyataan keras menolak pendidikan tulisan Jawi, seruan dibuat kepada semua pertubuhan Cina dan individu yang mencintai pendidikan aliran bahasa Cina agar tampil bersuara untuk mendesakkannya ditangguhkan sementara bagi dikaji semula sekali lagi. Sehubungan itu, keputusan sudah dibuat, iaitu ia dipelajari secara pilihan sahaja. Oleh itu, apakah lagi yang hendak dikaji semula pada kali ini?
Dengan desakan hentam kromo ini, tidak dapat disangkal lagi etnik Cina memang memusuhi tulisan Jawi. Walhasil selalu memberitahu, mereka tidak membantahnya. Yang sebetulnya adalah sokongan pura-puraan dan hanya tidak mahukannya dalam kurikulum SJKC yang sememangnya adalah lafaz lidah bercabang semata-mata.
Sesungguhnya isu tulisan Jawi di SJK adalah manifestasi kesetiakawanan etnik Cina yang sedikit pun tidak jujur selain tindakan mereka yang sama sekali tidak cerdik. Ini kerana lain yang diperkata, iaitu tidak membantahnya, lain pula yang dilakukan, yakni tidak mahu menyokongnya. Lebih jelik lagi, ia memperlihat kepandiran etnik Cina itu sendiri kerana bebal sehingga melakukan kesilapan, selain menjengkelkan sampai menimbulkan masalah dalam membantah pendidikan tulisan Jawi.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










