UMNO tanpa ‘lampu Aladdin’ - Utusan Malaysia

UMNO tanpa ‘lampu Aladdin’

Orang UMNO tidak nafikan ada golongan yang digelar ‘pengkhianat’ parti yang lompat ke Bersatu. Itu takdir yang berlaku. Sebahagian yang masuk Bersatu pun, ada alasan tersendiri dan masalah peribadinya. – GAMBAR MSTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING manusia mengulangi perilaku sejarah seperti disebut dalam peribahasa Inggeris, “History repeats itself”.

Salahkah Machiavelli, pemikir politik Itali abad ke-16? Kata Machiavelli, segalanya harus diperalat termasuk agama untuk menjayakan matlamat menghalalkan cara.

Begitupun Machiavelli tidak salah. Dia membongkar apa yang nyata dalam kehidupan politik bahawa keunggulan ditentukan tafsirannya oleh siapa di dunia ini menang atau ingin menang.

Namun kita masih boleh menunjukkan Machiavelli tidaklah sempurna. Walaupun bertunjangkan kuasa, harus diselitkan tanggungjawab untuk berlaku adil kepada orang lain iaitu rakyat agar tidak terjadi dek penangan ‘gajah sama gajah berlaga, pelanduk mati di tengah-tengah’.

UMNO hari ini perlu terima kenyataan dan hakikat. Kumpulan yang bermasalah dalam parti itu yang disebut ‘kluster ini, kluster itu’ – andai jika masih sayangkan UMNO, berjiwa besarlah. Bukannya untuk mereka ini keluar UMNO, tetapi jangan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15.

Ramai ahli penentu?

Jika mahu mainkan peranan memenangkan UMNO, raikan tanggungjawab tersebut. UMNO ada 3.6 juta ahli tetapi pengundi Malaysia keseluruhan setakat Ogos 2020 mencecah 15 juta. Ada baki 11.4 juta orang yang bukan ahli, itupun pada Mei 2018 terbukti keahlian parti teramai bukan penentu kemenangan. Tumpas kepada parti-parti yang ratusan ribu sahaja keanggotaannya.

Senario politik hari ini berubah amat drastik. Pemimpin yang khususnya duduk dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu termasuk menteri besar dan menteri kanan berilah peluang dan ruang kepada orang lain. Yang terpalit dengan skandal, inilah masanya cerminkan keikhlasan dan perjuangan anda.

Pada masa sama, pemimpin Pas pula janganlah anggap diri itu ‘suci bersih’ sahaja. Ada kalangan pemimpin Pas yang mula naik hari ini, tiba-tiba terus ‘berlumut dengan kekotoran’. Ada segelintir sudah ada ‘anak menantu uruskan bisnes di tempat strategik’. Bukan suatu yang menghairankan era ini.

Serupa juga dengan UMNO, mereka dari kalangan kepemimpinan Pas yang ‘orang lama’, eloklah berundur. Khusus untuk UMNO, berilah ruang kepada Khairy Jamaluddin (KJ), Shahril Sufian Hamdan dan Asyraf Wajdi Dusuki. Jika ada orang mengata mereka tak cukup pengalaman, ambil contoh Jocelyn Yow, 25, wanita yang mempunyai susur-galur dari Malaysia tempoh hari. Bukankah dia dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, bandar di wilayah Riverside, California pada Disember tahun lalu?

Untuk bersaing dalam cabaran politik yang sengit hari ini, UMNO harus pilih mereka yang benar-benar komited kepada parti. Bukannya yang lari dari perjuangan. Bukan juga seperti pemimpin yang bila UMNO karam pada 9 Mei 2018, dia tinggalkan saf kepimpinan parti.

Hari ini rakyat dambakan fakta serta bukti kewibawaan pemimpin. Sayangnya, kebanyakan yang jadi menteri belum cukup ampuh. Malah sebilangannya belum capai KPI nya.

Orang UMNO tidak nafikan ada golongan yang digelar ‘pengkhianat’ parti yang lompat ke Bersatu. Itu takdir yang berlaku. Sebahagian yang masuk Bersatu pun, ada alasan tersendiri dan masalah peribadinya.

Cuma kata Sam Waterston: “If you’re not moving forward, you’re falling back”. Maka semua pihak perlu berlapang dada. Sesuaikan diri dengan keadaan pandemik Covid-19 dan norma baharu.

Kompromi

Seperti mana kes wakil-wakil rakyat UMNO yang menang, apa salahnya kalau UMNO berkompromi dengan Pas-Bersatu dari aspek agihan kerusi. Lebih baik ambil langkah setapak ke belakang, untuk maju dua tiga tapak buru kejayaan. Mungkin ada formula 50-50 untuk pembahagian kerusi-kerusi yang bertindan antara tiga parti Melayu ini.

Kalau ikut teori daripada kalangan orang UMNO dan Perikatan Nasional sendiri, kebarangkalian untuk Melayu-Islam menang lebih tinggi jika dapat dihalakan formula kepertandingan dua penjuru.
Pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September 2020 adalah contoh terbaik bagaimana agihan kerusi (walaupun kesaksamaan tidak cenderung ke arah Bersatu) telah membuktikan kesepakatan UMNO-Pas-Bersatu itu berbaloi.

Sudah hendak masuk tahun ketiga sejak UMNO/BN tumbang Mei 2018, kelihatan belum ada iktibar yang diambil. Bukankah UMNO terpaksa menjadi pembangkang, tetapi diizinkan-Nya hanya sekejap dalam 22 bulan untuk menjadi kerajaan semula?

UMNO masih belum dapat rentak semasa menjadi ‘pembangkang untuk menang’. Meskipun sering dicanangkan angka kemenangan 7-0 yang diraih dalam siri pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU-14 menerusi Muafakat Nasional, UMNO tidak boleh mendabik dada. Jangan terlalu ‘terpana’ kerana ada orang UMNO sendiri terpaksa akui dan berterus terang bahawa “kepimpinan atas parti hari ini tampak membawa gaya dan haluan kepimpinan masing-masing.

Perhatikan Bersatu. Diam-diam berisi. Senyap-senyap bagus. Tak bising-bising. Kerja jalan, suatu vaksin yang sangat positif. Tampak strategic thinking itu pada Bersatu. Yang penting dalam mana-mana strategi – keberanian untuk buat keputusan. Parti yang dikatakan baru setahun jagung itu memiliki strategi dan taktikal ad-hoc yang tajam.

Diam-diam ubi

Lihat Bersatu, dalam diam-diam mereka bikin kerja. Muncul penubuhan PN peringkat negeri di Terengganu, Johor dan Selangor serta tempat-tempat strategik. Jangan hentam keromo dalam isu soal agihan kerusi UMNO-Pas-Bersatu.

Ingat tak lagi adegan filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959, di mana dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S. Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Jika adegan di atas dituruti, bak kata orang tua-tua ‘menangis air mata darahpun tak berguna’ pada malam keputusan PRU-15 nanti.

UMNO belum ada lampu Aladdinnya. Lampu aladdinnya ada pada kesepakatan parti itu dengan Bersatu dan Pas.  Jom UMNO, Bersatu dan Pas, bergabunglah demi masa depan Islam dan Melayu!

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN