Rancakkan penyelidikan gunaan - Utusan Malaysia

Rancakkan penyelidikan gunaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik membaca komentar Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Perlu institusi penyelidikan, bukan universiti dalam Utusan Malaysia pada 27 Januari lalu.

Saranan beliau tentang pelaburan jangka panjang kerajaan khususnya institusi penyelidikan awam berfokus bebas dengan aset modal insan berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) ditempatkan di situ amat menarik perhatian.

Selain itu, persekitaran kelembapan ekonomi pada hari ini memerlukan campur tangan kreatif kerajaan ke arah mempromosikan persekitaran ekonomi setempat yang lebih memberangsangkan.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita pada masa kini menjejaskan ekonomi serta pasaran kerja warga tempatan.

Malah impak ini turut terkena tempias kepada komuniti warga asing kerana banyak bidang pekerjaan yang dikuasai mereka sebelum ini diambil alih oleh rakyat tempatan demi kelangsungan hidup.

Ini memaksa mereka dihambat keluar oleh pihak berwajib melainkan mereka yang memenuhi syarat dan berstatus pekerja mahir. Dalam mengharungi tekanan kelembapan ekonomi implikasi daripada pandemik ini, Malaysia terus dihimpit dengan beberapa laporan negatif.

Misalnya, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mendedahkan, Malaysia mengalami penguncupan 68 peratus pelaburan asing pada 2020 berbanding negara-negara ASEAN lain yang mengalami penguncupan jauh lebih rendah.

Lebih parah, Penarafan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 terhadap Malaysia menunjukkan penurunan berbanding 2019 dengan mata penarafan 51/200 dan kedudukan di tempat ke 57/180 merentangkan jalan berliku yang sukar dalam pengurusan pelaburan langsung asing (FDI) untuk 2021.

Oleh yang demikian, saranan Ibrahim untuk mewujudkan institusi penyelidikan yang mampu menyambung sinergi penyelidikan sains asas yang dibangunkan oleh universiti awam kepada penyelidikan berbentuk sains gunaan dan seterusnya produk pengguna siap perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Pada permulaan adalah lebih baik sekiranya usaha ini dilaksanakan dalam bentuk pelaburan swasta menggunakan entiti perniagaan setempat seperti pengeluar kosmetik tempatan bagi menampung lompang pelaburan asing ini.

Tindakan ini sekurang-kurangnya mengurangkan kebergantungan rakyat kepada produk asing dan menggalakkan penggunaan produk tempatan seterusnya merancakkan ekonomi tempatan.

Entiti perniagaan tempatan perlu bekerjasama mengembangkan bahagian penyelidikan dan pembangunan dan komersial (R&D&C) masing-masing menggunakan bahan, kepakaran dan penyelidikan sains gunaan tempatan bagi menghasilkan produk buatan Malaysia yang memenuhi kriteria dan piawaian antarabangsa.

Melalui rantaian kerjasama penyelidikan sains asas di peringkat universiti awam dan R&D&C entiti perniagaan setempat sahajalah akan membolehkan ekonomi Malaysia terus kukuh.

Rantaian dari makmal ke pasaran telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Korea Selatan, Jepun malahan Thailand sebagai salah satu aspek melindungi ekonomi mereka.

Ditambah dengan kempen serta galakan kerajaan untuk rakyat menggunakan produk tempatan, insya-Allah pasti akan hadir sinar di hujung terowong.

TUAN AHMAD MARWAN TUAN ROSDI
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.