KUALA LUMPUR: Pelakon, Bront Palarae mengakui mengalami kecederaan pada kotak suara ketika menjalani penggambaran filem Tarung: Unforgiven.
Menurut Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, kecederaan itu berlaku tidak sengaja gara-gara dia cuba menyamai lontaran suara garau dan karisma yang dimiliki Zul
“Zul seorang yang berkarisma besar. Saya mahu nampak kami serasi dan sebab itu saya perlu ikut tenaga dan lontaran suara Zul yang kuat.
“Kalau Zul jeling sahaja, itu tiada masalah bagi saya. Tapi bila suara dia muncul sekali, itu lain sikit.
“Jadi, di sebalik cerita aksi, peti suara juga penting. Saya pula bukan pelakon teater. Saya tidak pandai guna teknik tertentu untuk melontarkan suara,” katanya berseloroh.
Bront ditemui pada sidang media Malam Gala Filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 itu juga berpendirian mahu memberikan tenaga yang sama seperti pelakon lain walaupun ketika kamera tidak fokus kepadanya.
“Saya tidak suka beri diskaun dalam lakonan. Walaupun ‘close-up’ pelakon lain, saya tetap bagi tenaga yang sama.
”Ada babak yang sangat panjang, selalunya sepanjang malam penggambaran berjalan sampai pukul 3 pagi pun belum habis,” jelasnya.
Jelas Bront, pasukan produksi sentiasa memantau keadaan pelakon sepanjang penggambaran berlangsung walaupun dia mula gementar disebabkan kehilangan suaranya dikhuatiri menganggu jadual kerja penggambaran.
Filem Tarung: Unforgiven menceritakan konflik perebutan kuasa yang berlaku dalam kongsi gelap Marga.
Selain Bront dan Zul, filem Tarung: Unforgiven turut dibintangi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.
Filem arahan Razaisyam Rashid ini sudah mula ditayangkan di seluruh negara bermula 7 Mei 2026. -UTUSAN










