RM2.8 juta jayakan CSR Epic Berhad

RM2.8 juta jayakan CSR Epic Berhad

PERSERTA program Epic Jom Bersih bergambar bersama selepas melakukan pembersihan di Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu. - UTUSAN /WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT : Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) memperuntukkan RM2.8 juta bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr. Ts Mukhtar Suhaili berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 peratus digunakan bagi tempoh Januari sehingga kini. 

“Alhamdulillah, dua tahun kebelakangan ini EPIC berhad  mencatatkan hasil dan keuntungan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Justeru itu, kita bukan hanya menyesuaikan keuntungan tetapi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat khususnya rakyat Terengganu.

“EPIC Berhad terus komited melaksanakan CSR sebagai syarikat milik kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti setempat, ” katanya pada program Epic Jom Bersih 2026 di Pantai Air Tawar di sini hari ini. 

Menurutnya, antara program CSR yang dijalankan adalah dalam bidang pendidikan untuk murid daripada keluarga berpendapatan rendah, bola sepak dan atlet basikal Terengganu serta sukan-sukan lain. 

Sementara itu, menerusi program CSR pembersihan pantai yang dianjurkan dengan kerjasama kira-kira 400 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija serta sukarelawan daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini, sebanyak 1.3 tan metrik sampah dapat dikumpulkan. 

Katanya, melalui program EPpic Jom Bersih 2026 bukan hanya sekadar aktiviti gotong-royong semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting dalam menyatukan pelbagai pihak untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara khazanah alam negara. 

“Usaha seperti ini mencerminkan komitmen berterusan Epic Berhad dalam mendukung prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mana aspek penjagaan alam sekitar, pembangunan sosial serta tadbir urus yang bertanggungjawab sentiasa menjadi antara fokus utama syarikat.

“Sebagai syarikat yang beroperasi dalam industri tenaga, kami percaya tanggungjawab yang dipikul tidak terhenti kepada aspek operasi dan prestasi perniagaan, malah turut merangkumi usaha memastikan keseimbangan antara pembangunan industri, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN