SAYA dalam seminggu ini amat gembira melihat perubahan Pas. Pas tidak lagi macam dulu, memisahkan diri daripada hal ehwal bukan Melayu.
Lihatlah gambar-gambar yang bertebaran di laman sosial kala ini. Tanpa rasa cuak, segan-segan, malu-malu, para pemimpin Pas malah bergambar dengan keikhlasan di hati mendampingi mesra orang bukan Islam sambil mengucapkan kesejahteraan kepada masyarakat Tionghoa sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Baik daripada Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin; Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ustaz-ustaz Pas sehinggalah pemimpin Dewan Muslimat negeri dan Pas Pusat, kesemuanya ceria dengan menyelitkan ungkapan supaya dilimpahi kegembiraan dan kebahagiaan kepada kaum Tionghoa dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Inilah yang kita harapkan. Tiada sikap jumud dan mengecualikan diri, duduk dalam kepompong politik sendiri seperti Pas dahulu kala. Datuk Mahfuz Omar, bekas orang kuat Pas, kini dalam Parti Amanah Negara (Amanah) pun tidak kurang sikap majmuknya.
Pas sudah berubah cukup baik ke arah kemajmukan. Syabas! Demikian juga dalam politik, perubahan Pas cukup ketara. Bersama Muafakat Nasional (MN) yang dikecapi agak gemilang bersama UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga menang 7-0 dalam siri pilihan raya kecil, keakraban itu bagaimanapun kian larut. Hambar dari masa ke masa, hari ke hari.
Pelantikan pemimpin-pemimpin Pas dalam perhubungan negeri Perikatan Nasional (PN) melukakan UMNO. Di Johor dan Selangor, Pas kelihatan tidak lagi bersama UMNO.
Semasa parti-parti yang lain kacau bilau ketika ini, PN pun tidak stabil juga. Bila Pas dan UMNO berpolemik, sipi-sipi masih bercakap soal agihan kerusi, Pas minta pula UMNO berlapang dada tetap berbincang dengan tiga pihak selain UMNO, harus juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun tekad UMNO satu, “yang kita bincang peruntukan/agihan kerusi dengan Pas, bukannya bersama Bersatu.”
Masihkah orang Pas ingat semasa penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah September tahun lepas, berkisar isu kegagalan Pas meletakkan calonnya yang dikaitkan dengan kesilapan strategi ‘makan keliling’.
Difahamkan, kegagalan Pas untuk meletakkan sekurang-kurangnya lima calon dalam PRN ke-16 itu pada awalnya cuba mempersalahkan PN dalam isu tersebut.
Kemudian setelah kempunan, beralih kepada Barisan Nasional (BN), iaitu UMNO yang juga rakan gabungan akrab Pas dalam MN.
Walaupun akar umbi Pas cukup kecewa masa itu, Pas terpaksa akur juga kerana berada dalam komponen PN. Justeru, pemilihan calon untuk PRN itu di luar tanggungjawab BN.
Apabila tidak terpilih, Pas cuba beralih mendapatkan sokongan BN tetapi tidak dilayan oleh BN Sabah. Dengan PN pun hendak, dengan UMNO/BN pun hendak, sekali gus berbalik kepada soal pendirian dan prinsip.
Pas merupakan parti dalam gabungan PN yang dianggotai Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) serta Gerakan.
BN pula terdiri daripada UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.
Pas harus ambil iktibar. Jangan nanti dalam PRU-15, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Selagi UMNO-Pas, dua parti Melayu terbesar ini yang mewakili 65 peratus orang Melayu masih dengan jalan masing-masing, tidak bersatu, Melayu takkan ke mana. Wal hasil balik asal.
Kedatangan Bersatu ke dalam permuafakatan UMNO-Pas ini anggaplah sebagai bonus, sementara menanti ambang PRU-15 yang cukup mendebarkan.
Ketidakyakinan Bersatu dalam menghadapi PRU-15 makin terserlah dengan keputusan Kabinet menangguhkan pelaksanaan pendaftaran pengundi umur 18 tahun secara automatik, baru-baru ini.
Kalau ikut analisis mudah pada pilihan raya umum 9 Mei 2018, andai Pas-UMNO berkompromi dengan tidak menjadikan persaingan tiga penjuru menghadapi Pakatan Harapan (PH), mungkin sekurang-kurangnya 26 kerusi Parlimen milik UMNO terselamat.
Kini, daripada 88 kerusi Parlimen UMNO, menyusut kepada 54 selepas pilihan raya umum itu, seterusnya sekarang tinggal kurang 40 kerusi.
Hakikatnya, bukan hendak ‘menyelamatkan’ UMNO tetapi isunya di sini adalah gambaran lebih makro, yakni survival orang Melayu di tanah air ini.
Adakah Pas sebagai penentu survivalnya? Pun bukan barangkali tetapi setidak-tidaknya Pas terbukti ada pengaruh, pengundi dan penyokongnya sehingga menguasai 18 kerusi Parlimen dan dua negeri seperti UMNO.
Demi orang Melayu, Pas dan UMNO mesti duduk duduk berbincang secara terbuka bersama-sama.
Pas-UMNO harus menunjukkan keikhlasan bersama di atas satu pentas. Tetapi jangan sekadar pemimpin peringkat tertinggi sahaja mengambil inisiatif itu. Pengikut, penyokong dan ahli parti masing-masing mesti dimaklum dan diperjelaskan tujuannya.
Senang cakap, kalau undi Pas-UMNO tak berpecah dan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus undi bukan Melayu kembali, nescaya kuasa Melayu Pas-UMNO boleh kembali dalam genggaman.
Cuma satu sahaja masalah besar di sini, bukan sahaja sekadar dihadapi Pas dan UMNO tetapi semua parti Melayu, iaitu orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu…
Lihatlah berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cendawan lepas hujan. Dari UMNO, muncul PKR dan Bersatu. Dari Pas, muncul Amanah, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan terbaharu, Pejuang dan Muda.
Sekali lagi, UMNO sendiri harus ambil iktibar survival untuk gabungan MN.
Ibarat kisah Trojan Horse ketika tentera Sparta dan Athens membuat muslihat berundur dengan meninggalkan kuda Trojan sebagai ‘hadiah’ kerana gagal menakluki Kota Troy.
Apabila boneka kuda sebagai persembahan kepada dewa ini dibawa ke dalam kota, rupa-rupanya disembunyikan bala tentera di dalamnya.
Akhirnya, tentera Athens dan Sparta berjaya masuk kerana pintu kota dapat dibuka dari dalam.
Pas harus buat pendirian muktamad. Mahu bersama MN atau PN dalam PRU-15 nanti? Isytihar sahaja kerana UMNO pun sudah buat pendirian untuk tidak bersama Bersatu dalam pilihan raya umum nanti.
Serlahkan kejujuran anda Pas seperti mana para pemimpin anda tampilkan dengan keikhlasan penuh jiwa, bukan sahaja mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghoa, malah berpakaian serba merah, sekali gus suatu mesej baharu untuk Malaysia yang lebih baik.
Pas, jujur dan ikhlaslah dalam perjuangan ini!
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










